KOTA BHARU - Seramai lima anggota polis termasuk seorang pegawai ditahan selepas dikesan positif dadah dalam pemeriksaan air kencing di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka ditahan dalam operasi Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman yang melakukan pemeriksaan mengejut pada pukul 3 petang.
Menurut beliau, pegawai polis yang ditahan itu berpangkat Asisten Supritendan Polis (ASP) manakala empat lagi membabitkan anggota polis berpangkat Lans Koperal.
"Dalam operasi itu seramai 300 orang anggota dan pegawai di kem itu diwajibkan melakukan ujian air kencing.
"Daripada 300 orang itu, lima anggota polis berusia 20 hingga 50 tahun itu didapati positif mengambil dadah," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Kata Abdul Rahim, operasi tersebut dilakukan secara mengejut dan ia bertujuan mengesan anggota dan pegawai polis yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: