Monday, November 16, 2009

Cinta dan hidup Fazura


DALAM usia 26 tahun, Fazura akui hidupnya belum sempurna selagi belum mendirikan rumah tangga dan memiliki keluarga sendiri.


TIADA apa yang lebih menggembirakan buat Fazura apabila filem terbarunya, Pisau Cukur berjaya membuat kutipan lebih RM1 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan sebaik sahaja filem itu ditayangkan bermula 5 November lalu.

Malah, anak kelahiran Pekan, Pahang ini tidak menyangka sama sekali sambutan hangat yang diberikan penonton dan peminat terhadap filem arahan Bernard Chauly itu.

Sebelum ini, sebagai pelakon dia menyasarkan filem tersebut hanya mampu membuat kutipan kasar keseluruhan sebanyak RM1 juta sahaja.

Bukan mahu menidakkan kehebatan filem terbitan Red Films itu tetapi melihatkan kepada respons dan sambutan yang diberikan terhadap filem Gol & Gincu pada tahun 2005, Fazura sedikit skeptikal.

Tidak keterlaluan dikatakan, kejayaan filem tersebut telah berupaya melonjakkan dan menghangatkan kembali nama Fazura selepas dia hampir tersungkur atas peristiwa yang berlaku lima tahun lalu.

"Saya melihat kejayaan filem Pisau Cukur ini adalah kejayaan semua pihak dan bukannya dari diri saya serta pelakon lain.

"Dengan kejayaan yang dikecapi Pisau Cukur buat masa ini, sekali gus ia menyangkal dakwaan yang mengatakan filem urban tidak mampu untuk menawan hati peminat filem di luar bandar.

"Jangan tak tahu, sekarang ini peminat filem di luar bandar semakin bijak dan sudah pandai menilai filem yang mampu memberikan hiburan terbaik serta kepuasan kepada mereka," luah si jelita ini optimistik.

Selain Fazura, filem Pisau Cukur turut dibintangi Maya Karin, Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Umie Aida, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin ini juga yakin dan berkeyakinan tinggi peminat dan penonton tempatan akan terus menyokong filem ini tanpa mengaitkan keputusan kes mahkamah baru-baru ini.

Malah, Fazura dengan penuh tegas memberitahu apa yang berlaku kepadanya adalah berkaitan dengan kehidupan peribadinya dan percaya peminat kini sudah semakin bijak untuk menilai.

"Saya optimis bahawa keputusan kes mahkamah terbaru saya tidak akan mempengaruhi penonton dan peminat untuk terus berkunjung ke pawagam untuk menonton Pisau Cukur.

"Pada saya, kehidupan peribadi dan karier merupakan dua perkara yang berbeza dan seharusnya tidak dicampur aduk," ujarnya yang menyifatkan kes mahkamahnya itu bukan sesuatu yang seharusnya dipandang negatif.

Berbicara tentang kes mahkamahnya itu, dalam nada tenang Fazura memberitahu apa yang dilakukan hanyalah untuk mencari keadilan yang sewajarnya.

Menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak tuntutan samannya terhadap sebuah akhbar tabloid bernilai RM500,000, namun jauh di sudut hatinya, dia tetap bersedih atas apa yang berlaku.

Untuk mengemukakan rayuan pula, Fazura masih belum lagi memutuskan untuk berbuat demikian dan semuanya terpulang kepada perbincangan antara dirinya dan peguamnya kelak.

"Pada saya, soal fitnah adalah satu perkara yang sungguh berat dan saya juga terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

"Kalau keadilan tidak dapat dicapai di dunia, tidak mengapa kerana semuanya akan terjawab dan dinilai di muka pengadilan di akhirat kelak," katanya yang memohon agar kisah mahkamahnya itu tidak lagi diperbesar-besarkan kerana tidak mahu masyarakat berasa jelik dan bosan.

Dalam perkembangan lain, Fazura juga tidak memahami apabila ada sesetengah pihak yang menganggap dirinya begitu eksklusif dan hanya mahu membintangi filem sahaja.

Menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya, Fazura yang pernah membintangi filem Qaisy & Laila serta Gol & Gincu ini memberitahu dia bertuah kerana peluang pertamanya adalah menerusi filem.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang saya hanya mahu berlakon filem dan tidak mahu membintangi drama. Itu hanya tanggapan orang sahaja.

"Berlakon tidak ada label eksklusif dan sebagainya. Saya pandang kepada watak yang mampu mencabar saya sebagai seorang aktres.

"Memang bosan asyik diberi peranan yang sama. Bayangkan, kalau saya sendiri berasa bosan, apatah lagi peminat dan penonton yang akan menonton lakonan saya," katanya yang pernah membintangi drama bersiri seperti Izora, Bicara Cinta, Datin Diaries dan Inspirion.

Mendengar tutur kata dan bicaranya, sudah cukup membuktikan Fazura sudah semakin jauh berubah.

Tiap butir kata yang terpacul dari bibir mongel kedengaran sungguh matang sekali gus membuktikan bahawa Fazura bukan lagi seperti Fazura tujuh tahun lalu.

"Benar. Sejak lima tahun kebelakangan ini, saya telah melalui satu fasa yang cukup memedihkan dan memenatkan.

"Meniti titian hidup yang penuh dugaan dan cabaran telah banyak membuka mata dan minda saya tentang kehidupan serta siapa kawan dan lawan saya.

"Satu yang pasti, selepas peristiwa pahit itu pintu rezeki saya semakin terbuka luas dan saya amat bersyukur dengan rahmat serta pemberian Yang Maha Esa buat diri saya," kata Fazura penuh bersungguh.

Berkat kesabaran serta berbekalkan semangat kental dalam dirinya itu, Fazura kini boleh tersenyum bangga dan puas apabila menjadi pilihan syarikat kosmetik terkemuka, Tohtonku yang melantiknya sebagai jurucakap produk mereka, Nutox Oxyfusion.

Mengikat kontrak selama setahun, Fazura sememangnya pengguna tegar Nutox terutama eye refiner selepas diberi peluang mencubanya selama lima bulan.

Dalam tempoh itu, pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Bicara Hati pada tahun 2004 ini menjelaskan dia dapat melihat banyak perubahan pada wajahnya.

"Saya tidak akan sesekali mengambil tawaran untuk menjadi jurucakap seandainya saya tidak mencuba sendiri kerana tidak mahu menipu masyarakat.

"Sebagai seorang selebriti, kita sering terdedah dengan cahaya limpahan lampu serta matahari yang mampu merosakkan kulit muka kita.

"Jadi, selepas mencuba Nutox saya memang dapat melihat perubahan ketara dan apatah lagi ia mengandungi kolagen sarang burung yang membantu mengatasi masalah penuaan kulit wajah," jelasnya yang sebelum ini pernah menjadi jurucakap Olay Total White selama setahun pada 2004.

Selain Fazura, Nutox Oxyfusion juga melantik aktres terkenal Hong Kong, Bernice Liu sebagai jurucakapnya.

Sempat berkongsi rejim kecantikannya, Fazura bukanlah seorang yang obses terhadap rawatan muka seperti mana yang sering dilakukan oleh kebanyakan wanita.

Katanya, rawatan muka hanya akan merosakkan kulit wajahnya dan apa yang dilakukannya hanyalah mengamalkan pemakanan yang sihat serta meminum air suam dan teh hijau untuk membuang toksin dalam badan.

"Kecantikan itu bukan sahaja dari segi luaran tetapi juga dalaman kerana jika kita sentiasa berasa gembira dan berfikiran positif, ia akan terbit ke wajah kita," katanya sambil tersenyum manis.

Menjadi seorang wanita seperti Fazura bukan mudah apatah lagi memegang gelaran artis yang menuntut kesabaran dan ketabahan yang cukup tinggi.

Bukan itu sahaja, malah terpaksa berdepan dengan tohmahan dan kata nista masyarakat yang sering kali berpandangan negatif terhadap wanita cantik dan memiliki karier sepertinya.

"Perlukah saya memikirkan apa yang orang mahu katakan tentang diri saya? Apa sahaja yang saya miliki hari ini adalah hasil kerja keras saya sepanjang bergelar seorang artis.

"Memang menjadi seorang artis akan selalu bertemu dengan berbagai-bagai orang dari latar belakang dan kedudukan yang berbeza.

"Adakah menjadi artis merupakan satu tiket untuk berdampingan dan mencari lelaki kaya sebagai pasangan hidup?

"Mungkin ya untuk sesetengah wanita tetapi tidak bagi saya kerana apa yang penting bagi saya adalah kerja keras untuk menyempurnakan hidup saya," katanya yang obesi terhadap kasut dan memiliki lebih daripada 200 pasang sehingga menjadikan balkoni rumahnya sebagai tempat menyimpan kasut.

Dalam usia 26 tahun, penyandang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-17 ini mengakui kehidupannya masih belum sempurna dan banyak lagi impiannya yang belum tercapai.

"Sudah pasti saya mahu berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Mungkin ketika itu, saya akan memikirkan untuk bersara dari dunia seni dan menumpukan perhatian kepada keluarga.

"Bilakah masanya, hanya Allah sahaja yang akan menentukan," ujarnya dengan maksud yang mendalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: