Thursday, November 19, 2009

Asri tak mengaku bersalah


ASRI melambaikan tangan selepas keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.


KUALA LUMPUR - Kekeliruan berhubung penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dua minggu lalu berakhir dengan dia dikenakan pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam.

Sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad, Asri, 38, dengan tegas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Asri didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada JAIS di kediaman No. 2, Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang dekat sini antara pukul 8.10 malam dan 9.45 malam 1 November lalu.

Asri didakwa mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pihak pendakwaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selain turut menolak permohonan untuk menggantung kes itu sementara permohonan memindahkan kes didengar di mahkamah tinggi.

Sehubungan itu, Wan Mahyuddin menetapkan 5 Januari 2010 untuk perbicaraan dengan pihak pendakwaan memaklumkan, sepuluh orang saksi dijangka memberi keterangan.

Mahkamah turut membenarkan Asri dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin. Dua rakan Asri, Mohd. Md Sadik dan Mohd. Ismail Mirasa menjadi penjamin tokoh agama itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: