Monday, November 2, 2009

Alga sumber tenaga baru

Kemampuan alga menyerap gas karbon dioksida menjadi alternatif dalam membantu menangani masalah perubahan iklim.


SAINTIS yakin mereka bakal menemui cara paling murah untuk menukar lemak daripada kolam alga kepada sumber tenaga.


DENGAN kenaikan harga minyak dan perubahan iklim, pakar-pakar sains kini beralih kepada satu sumber tenaga daripada organisma iaitu alga.

Alga yang melekit, cepat tumbuh dan kaya dengan lemak mendapat tempat dalam kajian penyelidikan sebagai salah satu sumber yang berpotensi dijadikan tenaga kitar semula.

Saintis takjub melihat kemampuan alga menyerap gas karbon dioksida yang menyumbang kepada masalah rumah hijau. Ia juga mampu hidup di kawasan tanpa makanan. Seperti nyamuk, alga menghuni kawasan berpaya seperti kolam yang kotor dan air buangan.

Sebagai sumber tenaga yang murah, idea itu dilihat cukup memberangsangkan.

Banyak makmal universiti dan syarikat-syarikat baru telah menunjukkan minat. Pada musim panas yang lalu, ExxonMobil mengadakan perjanjian dengan menyalurkan AS$600 juta (RM1.7 bilion) bagi menampung kerja-kerja penyelidikan dengan sebuah syarikat bioteknologi di California, Amerika Syarikat (AS).


MESKIPUN alga tidak dapat menggantikan fosil, sekurang-kurangnya ia dapat menangani masalah rumah hijau.


Jika projek itu mencapai matlamatnya, saintis yakin mereka akan menemui cara paling murah untuk menukar lemak daripada kolam alga kepada sumber tenaga lalu digunakan dalam kenderaan dan jet terbang.

"Ilham ini cukup realistik dan ia tidak mengambil masa sehingga dua dekad bagi melihat hasil. Sebaliknya, hanya beberapa tahun sahaja," kata jurutera kimia George Philippidis, Pengarah Kajian Gunaan dari Universiti Antarabangsa Florida di Miami, AS.

Salah satu perkara yang menarik perhatian ramai ialah alga mempunyai kekuatan yang tinggi menyerap gas karbon dioksida. Justeru ia menjadi bahan utama bagi aktiviti pembakaran fosil. "Kami boleh bekerjasama dengan industri-industri yang mengeluarkan gas karbon dioksida dalam kuantiti yang besar dan untuk disalurkan kepada alga.

"Hakikatnya, ia dapat membanteras masalah perubahan iklim daripada berterusan," sebut Philippidis.

Memandu

Syarikat Sapphire Energy dari California telah pun menggunakan sumber tenaga itu memandu kenderaan di atas jalan raya. Perjalanan itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang awam. Satu lagi syarikat tempatan menunjukkan minat untuk menggunakan alga bagi menggemukkan ikan yang kemudian diproses bagi mendapatkan minyak.

"Alga boleh ditemui di mana-mana dan jika berada dalam keadaan baik, maka ia bersamaan dengan peluang mengaut keuntungan besar. Menjana alga bukanlah sesuatu yang sukar. Lagipun, alam sekitar menghasilkannya secara semula jadi," jelas Roy Swiger, seorang pakar genetik molekular dan Pengarah bahagian Florida di Institut Bukan Berkeuntungan Penyelidikan Midwest (MRI).


SPESIMEN alga untuk penyelidikan di Florida International University di Florida, Miami, Amerika Syarikat (AS).


Sementara itu, MRI mula menyelidik sumber tenaga baru alga sejak tiga tahun lalu. Ketika itu, Swiger mengeluarkan amaran bahawa ia terlalu awal untuk menjadikan bahan itu produktif.

Ganti fosil

Walaupun tumbuh secara meluas, buat masa ini ia sangat mahal untuk menghasilkan satu gelen tenaga sumber alga.

Langkah itu mengurangkan kos manakala produksi bertambah berlipat ganda. Bagi memperoleh hasil yang membanggakan, para saintis perlu mencari cara termudah mengeringkan alga dan ekstrak lemak iaitu bahan yang mengandungi tenaga terkumpul.


SEPERTI nyamuk, alga menghuni kawasan berpaya seperti kolam yang kotor dan air buangan.


Swiger berasa adalah tidak berbaloi untuk menggunakan tenaga sumber elektrik yang tinggi untuk mengeringkan sedikit alga dan akhirnya mengeluarkan tenaga kitar semula yang bernilai lebih rendah. Jika kajian dan penyelidikan ke atas komoditi diteruskan, besar kemungkinan harga pembuatannya dapat diturunkan.

Apa pun, sumber tenaga daripada alga tidak dilihat sebagai pengganti sumber tenaga fosil secara menyeluruh. Idea itu sudah lama bertiup di arena antarabangsa sejak berdekad lamanya. Begitupun, tidak ramai yang mampu menghasilkan stok yang bernilai pada kos yang berpatutan.

Bagi pakar alga John Benemann, alga dianggap lebih sesuai sebagai sumber makanan yang baik kepada haiwan penternakan, pembuatan kimia dan baja.

Philippidis bersetuju bahawa tidak ada jalan mudah untuk mencari bahan pengganti sumber tenaga fosil. Bagaimanapun, usaha itu dipercayai tidak menghampakan syarikat-syarikat gergasi. "Kita masih di peringkat asas dan apabila produksi meningkat, kos pembuatan akan menurun secara mendadak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: