
Jika Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim yang juga penerbit My Spy berpendapat filem tersebut merupakan filem paling komedi pernah dihasilkan syarikatnya, namun berbeza pula dengan Afdlin yang ada pandangannya tersendiri. Bagi Afdlin, setiap filem yang dihasilkannya berbeza dan mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Setiap filem yang saya hasilkan bergantung pada tema dan pengisiannya. Papadom misalnya, mengisahkan tentang kekeluargaan dan boleh menyentuh perasaan, tapi dalam masa yang sama ada unsur komedinya. Berbeza dengan My Spy yang sememangnya dihasilkan untuk memberi keseronokan kepada penonton dan bersesuaian dengan temanya, aksi komedi. Tapi tidak bermakna, filem ini ‘kosong’ atau tiada pengisiannya kerana ia masih berpandukan tentang hubungan persahabatan.
“Dari dulu saya berpegang, sesebuah filem itu harus ada unsur entertainment untuk memberi keseronokan, tetapi dalam masa yang sama perlu ada unsur kemanusiaan.
“Kali pertama saya membaca skrip My Spy, saya terbayangkan filem arahan saya sebelum ini Los & Faun kerana temanya hampir sama iaitu tentang penyiasatan. Tapi, saya cuba sedaya upaya untuk keluar dari Los & Faun dengan idea pengarahan berbeza,” katanya ketika ditemui di majlis pengumuman kerjasama antara KRU Studios bersama Celcom dan Perodua, di Menara Celcom, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Pilih AC dan Harun Salim Bachik sebagai hero
Menyentuh tentang pemilihan pelakon, Afdlin memberitahu, AC dan Harun sememangnya menepati kriteria watak yang diinginkan. Bahkan kedua mereka pernah terlibat sama dalam filem arahannya sebelum ini, Baik Punya Cilok. Selain mempunyai chemistry yang baik, kata Afdlin, gabungan AC dan Harun juga banyak membantu menghidupkan jalan cerita My Spy.
“Sebenarnya, ini kali pertama saya mengarahkan filem berdasarkan skrip orang lain. Tapi bila dipanggil Norman untuk mengarahkan filem ini, AC adalah orang pertama yang terlintas di fikiran saya untuk menjadi hero My Spy (AJ) . Kemudian, barulah saya mencari siapakah ‘partnernya’ (Salleh) yang kriterianya agak berusia tetapi lucu, jadi saya terfikir, Harun Salim Bachiklah orangnya. Lagipun, dia adalah pelakon komedi yang sangat saya minat sejak dulu lagi.
“Bagi saya gandingan AC dan Harun sangat menepati filem ini kerana bakat komedi mereka sangat menyerlah dan yang paling penting lawak mereka sangat bersahaja. Tak susah bekerjasama dengan mereka, kerana mereka tahu apa kehendak saya. Skrip, macam biasa, memang mereka selalu tokok tambah dan itulah kebebasan yang saya berikan pada mereka kerana dari situlah komedi yang natural akan timbul ” katanya yang menjalani penggambaran selama 30 hari yang berlatarkan Pulau Langkawi sebagai lokasi utama.
Selain AC dan Harun, filem kelima terbitan KRU Studios ini turut menampilkan pelakon Hannah Tan, Carmen Soo, Dahne Iking, Ridzuan Hashim dan Maria Farida. Mengulas tentang penampilan Hannah Tan buat kali pertamanya dalam filem arahannya itu, kata Afdlin, bekas Ratu Cantik Malaysia dan juga Pengacara What Woman Wants di Ntv7 itu telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang penggambaran. Paling dikaguminya, Daphne Iking, yang dilihat sungguh berbakat walaupun baru berjinak-jinak dalam bidang lakonan.
Krew hampir ‘maut’
Memandangkan penggambaran My Spy banyak melibatkan lokasi di laut, maka banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh seluruh team produksi. Selain berdepan dengan masalah cuaca yang tidak menentu, jelas Afdlin, mereka juga berdepan dengan pelbagai risiko terutamanya ketika melakukan penggambaran di tengah lautan.
“Masa 30 hari memang sangat suntuk untuk menghasilkan filem aksi seperti ini. Lebih-lebih lagi ia melibatkan laut, jadi ada sahaja perkara yang tidak diingini berlaku. Pernah ketika kami sedang shooting, tiba-tiba dilanda ribut yang kuat. Masa tu, kelam-kabut dibuatnya dan kami bukan sahaja harus selamatkan diri tetapi juga peralatan penggambaran. Malah saya pernah juga berdepan dengan satu insiden di tengah lautan, di mana ketika itu ada seorang krew jatuh dari jet ski. Dan lebih mengejutkan, dia tidak pandai berenang dan hampir lemas. Apa pun, mujurlah kami semua selamat, dan akhirnya penggambaran My Spy dapat juga disiapkan,” cerita Afdlin yang pernah mengarahkan beberapa filem. Antaranya, Buli, Sumolah dan Los & Faun.
Sudah sinonim dengan filem terbitan KRU Studio, maka My Spy juga tidak terkecuali dari penggunaan teknik Computer Generated Image (CGI). Jelas Afdlin, teknik tersebut banyak membantu jalan cerita malah menjadikan My Spy kelihatan mewah dan canggih.
Secara ringkasnya, filem yang menelan perbelanjaan sebanyak RM2 juta ini mengisahkan tentang dua penyiasat, AJ dan Salleh yang diupah oleh seorang wanita kaya untuk mengintip suaminya, Datuk Osman yang dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita. Bagaimanapun, penyiasatan mereka menjadi lebih rumit apabila terlibat dengan misteri lukisan bernilai jutaan ringgit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: