
KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL) buat julung kalinya menyampaikan anugerah kepada usahawan dan pengurus korporat bumiputera dan bukan bumiputera menerusi Anugerah Kepimpinan Perniagaan Malaysia 2009 di sini semalam.
Menurut Pengerusi DPMMKL, Datuk Syed Amin Aljeffri, penganugerahan itu adalah sejajar dengan usaha menjadikan individu-individu yang memenanginya sebagai idola kepada golongan usahawan agar terus berusaha dan berdaya saing dalam mengecapi kejayaan dalam bidang masing-masing.
"Sebelum ini, kami memfokuskan pengiktirafan terhadap pemimpin-pemimpin perniagaan daripada golongan bumiputera dalam sektor komersial dan industri tetapi kini masanya telah tiba untuk beralih kepada komuniti perniagaan rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis itu.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Masterskill Education Group Berhad, Datuk Edmund Santhara dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Anugerah Kepimpinan Perniagaan Malaysia 2009 menyaksikan pemberian 28 anugerah dalam enam kategori berdasarkan pelbagai entiti perniagaan.
Sementara itu, Ahmad Husni berkata, sekarang adalah masanya untuk memberikan sokongan kepada usaha membekalkan pengagihan kekayaan dan peluang ekonomi kepada komuniti bumiputera tanpa mengabaikan golongan bukan bumiputera.
"Kita harus bersedia untuk membina keupayaan dan kapasiti dalam mengharungi cabaran ekonomi menerusi model perniagaan yang mampu menghadapinya.
"Kita harus mengembangkan keupayaan kita di luar pasaran tradisional. Kita sedar bahawa wujud kekangan yang tinggi dalam pasaran global yang merupakan satu cabaran tetapi saya mempunyai keyakinan syarikat tempatan mampu menembusinya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: