|
|
DUA puluh tiga tahun lalu, warga kota yang tertekan dan kebosanan ketika berdepan dengan kesesakan lalu lintas ketika memandu sering terhibur tatkala mendengar siaran RMIK @ Radio Malaysia Ibu Kota (kini dikenali KLfm).
Celoteh deejay yang tidak henti-henti selama tiga jam mulai 6 pagi setiap hari dengan pelbagai informasi membuatkan ramai tersenyum sendirian.
Pendek kata, RMIK ketika itu merupakan teman setia warga kota.
Tetapi dalam senyum dan tawa pendengar RMIK mengikuti celoteh deejay berkenaan sambil menghayati lagu-lagu, mereka akan dikejutkan dengan tiupan wisel.
'Prriiittttt'! Begitulah tiupan wisel yang panjang dan nyaring yang akan ditiup tepat pukul 7 pagi setiap hari yang bermaksud kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur sudah bermula!
Walaupun terkejut tetapi tiupan wisel yang kedengaran selama 10 tahun bermula tahun 1986 itu memberi panduan kepada pemandu supaya mengelak daripada melalui jalan-jalan yang sesak agar tidak lewat ke pejabat.
Tiupan itu bukan sahaja bagaikan amaran kepada pemandu, bahkan wisel juga menjadi identiti Zainaldin Zainal , yang membuatkan para pemandu berhati-hati ketika memasuki ibu kota.
Kini setelah 13 tahun berlalu, Zainaldin yang pernah menghiburkan warga kota suatu ketika dulu hilang tanpa khabar berita.
Tiada lagi tiupan wisel, tiada lagi gurauan jauh sekali kuiz dan teka-teki yang menghiburkan.
Cuma sesekali, ada yang terserempak dengan bekas deejay popular ini di masjid di Taman Permata, Kuala Lumpur dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir apabila ada yang menyapa.
Itulah personaliti yang pernah memainkan peranan penting dalam kehidupan warga kota.
Kuasa Tuhan amat hebat. Biar wajah Zainaldin sudah berubah dek dimamah usia, namun suara emasnya masih kekal seperti dahulu.
Dalam meniti usia 64 tahun, Zainaldin lebih selesa menjalani kehidupan seperti pesara kerajaan yang lain tanpa glamor lebih-lebih lagi sekembalinya dari menunaikan fardhu haji ke Mekah pada tahun 1997.
Apa lagi dengan kehidupan bahagia yang dilaluinya di samping isteri tercinta, Nik Mariam Idris, 56 yang juga Pengetua di Sekolah Menengah Hillcrest, Gombak.
Begitu juga dengan tujuh orang anak yang semuanya sudah besar panjang Izza Zarina, 40, Izak Zaidin, 39, Arik Fitri, 35, Ahmad Zam Zam, 30, Dr. Erfa, 28, Mohd. Erfi, 24, dan Mohd. Erfan, 22 tahun serta 18 orang cucu cukup membahagikan veteran dalam industri penyiaran tanah air ini.
Selepas bersara bukan tidak ada yang cuba 'memancingnya' untuk bekerja semula, tetapi baginya, memadailah dengan apa yang sudah dilaluinya semasa berkhidmat dengan kerajaan.
Lebih-lebih lagi selepas kembali daripada menunaikan fardu haji, hatinya sudah semakin tawar untuk bergelar juruhebah.
"Bukanlah kerja ini (juruhebah radio) tidak bagus tapi sudah sampai seru untuk bersara sepenuhnya, agaknya," katanya dalam deraian ketawa yang memecah keheningan coffe house di sebuah hotel di pinggir Kuala Lumpur dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.
Pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1986 hingga 1996, populariti Zainaldin bukan hanya terbatas di kalangan mereka yang sebaya dengannya.
Sebaliknya, remaja berusia belasan tahun juga antara penggemar deejay berkulit hitam manis yang berkumis tebal ini.
Masakan tidak, Zainaldin yang mula berkhidmat di RTM sebagai kerani selama dua tahun mulai 1963 dan kemudian di bahagian penyiaran yang memfokuskan urusan rakaman selama sembilan tahun mempunyai gaya tersendiri ketika di dalam konti.
Apa yang turut membanggakannya, tanpa pendidikan formal dalam bidang penyiaran, Zainaldin yang ditugaskan di RMIK pada tahun 1984 mengendalikan program pagi pada setiap hari bermula pukul 6 hingga 9 pagi berjaya mencipta fenomena tersendiri.
Sebabnya ketika itu, setiap pagi bukan sahaja mereka yang memandu ke pejabat, remaja yang dalam bas perjalanan ke sekolah malah suri rumah juga tidak akan melepaskan peluang menikmati hiburan dan celotehnya di RMIK.
Celotehnya bukan kosong malah diselitkan pelbagai informasi dan ilmu kerana walaupun tiada saingan radio ketika itu, tetapi matlamat Zainaldin untuk mencuri hati pendengar dari lingkungan umur 15 hingga 55 tahun.
"Universiti saya hanyalah suratkhabar. Setiap hari saya sampai di studio pukul 4 pagi dan terus ke bilik berita untuk membaca semua akhbar. Ketika itu ruangan pojok Awang Selamat di Utusan Malaysia paling saya minat kerana sinikal, padat dan tepat.
"Tulisan Awang Selamat banyak memberi ilham kepada saya untuk bercakap pada hari itu dan pada waktu yang sama saya sentiasa berfikir dan berfikir ketika ke udara," cerita Zainaldin yang turut menjadikan dokumentari Men In Crisis sebagai inspirasinya dalam berkarya.
Bukan itu sahaja, malah pada tahun 1986 ketika zaman kegemilanganya sedang diperkatakan, Zainaldin mencetuskan satu lagi idea untuk mengisi ruang waktu siaran yang dikendalikannya.
Dengan persetujuan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Jaafar Kamin dan Ketua RMIK, Yusof Awang, Zainaldin memperkenalkan slot bual bicara selama sejam mulai 8 pagi.
Dalam program itu, Zainaldin menggandingkan ahli panel yang terdiri daripada ahli politik dengan artis tempatan.
Masih lagi terbayang di ruang fikirannya terhadap sebuah episod program itu yang menemukan Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu dengan Sahara Yaacob.
"Memang mendapat sambutan hangat kerana Sahara bukan sahaja terkenal dengan imej rambut ala-ala singa, tetapi dia adalah seorang artis yang padat dengan pengetahuan am.
"Selama sejam, Sahara bukan bercakap tentang dunia seni dan kariernya, malah dia boleh berbual dan bertanya tentang isu-isu semasa khususnya mengenai Kementerian Kerja Raya kepada Samy Vellu," kata Zainaldin sambil tersenyum tatkala mengimbau saat itu.
Walaupun ketika itu RMIK begitu dekat di hatinya dan pengaruhnya masih hebat, Zainaldin pada tahun 1996 membuat keputusan mengejut untuk bersara pilihan pada usia 51 tahun.
Setelah berehat beberapa bulan, pujukan daripada orang-orang tertentu di RMIK membuatkan Zainaldin berubah fikiran dan kembali sebagai juruhebah sambilan di RMIK.
Bagaimanapun sekembalinya dari Mekah 1997, Zainaldin terus meletak noktah pada kerjayanya sebagai deejay.
Sejak itu, datanglah siapa pun untuk memujuk dan memancingnya untuk bertugas semula di RMIK, ia tidak mampu membuka hati Zainaldin untuk kembali 'bersilat' di RMIK.
Kehilangannya memang dirasakan warga kota ketika itu, apalagi gandingannya dengan Zain Hamzah yang bertugas menyusun semua lagu-lagu berirama sentimental untuk hiburan pendengar.
Tetapi akhirnya mereka harus terima kenyataan kerana Zainaldin memang tidak mahu buka lagi diari hidupnya sebagai deejay.
Sebetulnya, ketika bertugas sebagai deejay, Zainaldin langsung tidak pernah terfikir bahawa impak popularitinya ketika ke udara sangat besar.
Sehinggalah ketika membuat permohonan pasport antarabangsa pada tahun 1993 untuk menunaikan umrah, dia dikejutkan dengan teguran daripada seorang pegawai Pejabat Imigresen.
"Ketika beratur di Pejabat Imigresen, saya terkedu apabila ditegur seorang kakitangan di situ kerana menurutnya ketika ke udara saya seperti seorang yang sudah menjelajah seluruh dunia. Tetapi rupa-rupanya baru kali pertama memohon pasport kerana mahu menunaikan umrah.
"Memang saya tidak pernah dihantar ke luar negara sama ada untuk kursus jangka pendek ataupun lawatan. Mekah bolehlah dianggap negara luar yang pertama saya kunjungi. Rujukan saya hanyalah akhbar," akui Zainaldin sambil tersenyum.
Biarpun begitu Zainaldin tidak pernah menyesal kerana sekembalinya dari Mekah satu tabiat buruk yang diamalkan sejak sekian lama dapat ditinggalkan.
Ketika bergelar juruhebah Zainaldin merupakan seorang perokok tegar dan boleh menghabiskan lima kotak sehari.
Hikmah berkunjung ke rumah Allah, sebaik pulang dari sana pada tahun 2000, Zainaldin berjumpa doktor kerana menyedari usia sudah meningkat dan mahu membuang tabiat buruknya itu.
"Doktor nasihatkan saya makan gula-gula. Tetapi saya beritahu doktor ia akan menyebabkan saya kencing manis.
"Akhirnya saya mengambil keputusan sendiri iaitu setiap kali gian mahu merokok terutama selepas makan, saya kemam kurma.
"Tiga bulan saya amalkan itu, akhirnya hingga sekarang saya sudah lupakan terus rokok. Jadi bagi anda yang mahu melupakan rokok, cubalah kemam kurma. Insya-Allah anda akan berjaya," kata Zainaldin meninggalkan nasihat dan formula terbaik buat perokok tegar.
Menyentuh mengenai KLfm, tanpa teragak-agak Zainaldin berkata;
"Maaf saya tidak boleh komen apa-apa sebab sekarang saya memang tidak mendengar radio kerana lebih selesa menonton televisyen kerana stesen televisyen pun semakin banyak.
"Tapi bagi saya apa yang deejay-deejay lakukan semuanya semata-mata kerana kehendak semasa. Bukan itu sahaja malah sasaran pendengar mereka dari usia 15-25 atau 35 tahun sahaja.
"Dulu RMIK ialah pencetus radio bual bicara kerana ketika itu tidak ada ERA, Suria FM atau Sinar FM," Zainaldin berkongsi pendapat.
Kini hari-hari Zainaldin dipenuhi dengan aktiviti hariannya melayan dua orang cucu yang tinggal bersamanya, menjalani terapi elektrik untuk kesihatan dan ke masjid.
"Kalau sudah pencen tetapi masih tidak ke masjid, itu satu masalah," kata Zainaldin sekali lagi sambil diiringi ketawa besar mengakhiri perbualan kami hampir tiga jam itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: