SEWAKTU wajah Ayu Raudhah dioles Tiar Zainal, tidak habis-habis dia diusik jurusolek mahupun pemilik butik yang menaja busana dan lokasi, Datin Lynda Rahim. Semua sudah maklum akan gosip terbaru yang berterbangan di udara.
Kisah kononnya Ayu, 25, sedang menjalin hubungan dengan pemain penyerang pasukan bola sepak Liga Super Negeri Sembilan, Zaquan Adha, 21. Ayu sekadar ketawa. Habis kuat pun dia akan mengusik kembali seolah-olah orang yang lain pula yang sedang digosipkan. Sekali-sekala dia beraksi blur dengan usikan terhadapnya.
Kembar Zaquan, Aidil Zafuan yang juga pemain pertahanan skuad yang sama, berkahwin dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 32, secara senyap-senyap di Songkhla, Thailand pada Februari tahun lalu. Rahsia perkahwinan itu didedahkan Disember lalu selepas Rita disahkan mengandung dua bulan.
Terima trend artis - bintang sukan
Lalu daripada ketawa kecil terus menjadi usikan, Ayu dan si dia dikategorikan dalam tempias cinta klasik 'artis-ahli sukan' yang sudah berlaku sejak sekian lama.
Kalau dahulu nama-nama seperti Haleeda-Azman Adnan, Shahril Arshad-Ani Morat, dan Aidil Zafuan-Rita Rudaini, kini timbul pula gabungan Ayu Raudhah-Zaquan Adha.
Gosip 'cinta'nya merebak bak kertas litmus yang menyerap air. Begitu pantas.
"Memang benar apa yang keluar di akhbar. Saya dan Zaquan Adha keluar bersama. Pertama kali keluar ke Hartamas Square, makan bersama dan sungguh tidak disangka ia terus jadi bahan gosip.
"Begitu juga pertemuan seterusnya, ketika perlawanan pasukan Kedah bertemu Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman, Alor Star.
"Boleh kata hari-hari cerita itu keluar. Kalah sewaktu saya bercinta dengan artis dulu," ketawanya manja.
Ayu yang berasal dari Alor Star sebelum ini digosipkan bercinta dengan pelakon, Pekin. Ayu dan Pekin pernah bersama berlakon dalam beberapa drama antaranya Manjalara, Sutera Maya, Jamilah dan Cinta Terhalang.
Ulas Ayu yang mahu segalanya terungkai dan difahami khalayak, hubungannya dengan Zaquan masih di tahap perkenalan. Itu pun bukan dirancang.
Bermula dengan makan beramai-ramai di sebuah meja, ia diikuti dengan keluar berdua sebagai kawan.
"Kalau betul ada hubungan, saya tak akan nafikan. Tapi ini baru dua kali keluar dan kami pun tidak bercakap apa-apa tentang hubungan ini. Kalau betul bercinta, tak apa juga.
"Semuanya menjadikan keadaan agak kekok. Belum apa-apa sudah digosipkan. Segan saya," ujar adik kepada pelakon, Rozita Che Wan ini.
Ayu juga berkongsi cerita bahawa dia merupakan peminat sukan bola sepak. Katanya, Selangor merupakan pasukan yang kuat sekarang, begitu juga Kedah yang pernah menjuarai carta liga.
Ayu malah sanggup berjaga malam sewaktu zaman persekolahan dahulu hanya untuk menonton Piala Dunia. Maka tidak salah kalau kelibatnya kini kelihatan di stadium ataupun padang bola. Itu semua atas dasar minat juga.
Orang cuma tahu nama
Ayu ternyata kurang senang dengan gosip cintanya diperkatakan.
"Mungkin ini masa kisah cinta saya hangat dibualkan. Sebelum ini, perjalanan karier saya bebas daripada gosip. Tapi saya akur.
"Cuma saya harap cerita seperti ini tidak akan menutup ruang karier saya. Sebagai pelakon baru, saya mahu khalayak melihat lakonan saya dahulu, bukan mendengar gosip cinta saya," pintanya manja.
Sempat juga dia membuka cerita perihal bagaimana umum mengenalinya. Percaya atau tidak katanya, orang luar hanya mengenali nama Ayu Raudhah tapi bukan peribadinya.
"Bila saya keluar, ramai tak kenal tapi bila saya sebut nama, baru mereka tahu sayalah Ayu Raudhah itu," ketawa dia bercerita.
Hal ini berlaku katanya mungkin kerana personalitinya yang berubah-ubah. Dalam kaca televisyen dia terlihat lain berbanding di luar. Namun, Ayu tidak menganggapnya satu masalah. Apa yang penting, orang ramai tahu kehadirannya sebagai pelakon.
Sekarang selain sibuk di lokasi drama Nur Kasih, dia baru sahaja selesai penggambaran filem Empat Madu arahan Profesor Madya Abdul Razak Mohideen. Membawakan watak Tipah, karakter itu akan mempamerkan Ayu sebagai seorang yang banyak ketawa sebelum memulakan perbualan.
"Saya juga baru pulang dari Kemboja, 10 hari saya di sana menghabiskan penggambaran drama Lara. Saya bawa watak Suri, seorang gadis Melayu Kemboja. Stail cakap agak meleret-leret," terangnya yang menghadapi masalah kulit disebabkan perubahan cuaca di sana.
Cita rasa lelaki
Sebelum berakhir sesi fotografi yang tebal sulaman ketawa Ayu serta pertuturan dialek Kedahnya, sempat si gadis berkongsi cita rasa. Katanya, dia gemarkan lelaki yang lebih berusia daripadanya yang baru menerjah 25 tahun.
"Kalau ikutkan cita rasa, saya sukakan lelaki yang lebih tua daripada saya. Kalau boleh biarlah 10 tahun lebih tua. Tapi yang penting saya mahukan lelaki yang menyayangi dan memahami saya," katanya ketawa lagi.
Diusik cinta lelaki muda melihatkan Zaquan baru berusia 21 tahun, dia kembali ketawa. Komennya secara umum, lelaki yang muda walaupun ada lagak matang namun masih terselit kebudak-budakan.
Bukanlah satu tabu jika berkasihan dengan lelaki muda, namun segalanya sudah ditentukan Tuhan. Ayu hingga kini belum merancang apa-apa kerana masih meletakkan kerjaya di tangga pertama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: