Sunday, May 24, 2009

Zahiril diperhati


KETIKA diajak berbicara soal bakat, Zahiril Adzim cukup senang sekali. Berlatarkan pengalaman dan ilmu yang dikutip ketika bergelar pelajar Seni Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), gaya seninya menampakkan kematangan.

Sebelum tampil di layar kaca dan layar perak, Zahiril yang selesa dipanggil Bob turut berpengalaman menjayakan beberapa siri teater, antaranya Uda dan Dara, Gema Merdeka, Pentas Opera dan terbaru Air-Con.

Melihat persembahannya, tidak mustahil anak seni ini membesarkan bakat ke layar lebih besar. Walaupun masih baru, Bob nyata mampu melakukannya.

Akuinya, pengalaman dan ilmu yang dipelajari di Aswara sangat berguna. Malah, ilmu berkenaan menjadi panduan dalam mematangkan gaya persembahannya sebelum bergerak ke arus perdana.

“Sejak mula memasuki Aswara, saya memasang niat dan azam untuk menceburi segala bidang berkaitan dalam bidang seni ini.

“Sekalipun mengambil jurusan teater, tidak semestinya saya perlu fokus kepada bidang berkenaan saja. Malah, selaku anak seni, saya harus cuba segala-galanya untuk memperbaiki diri dan mencari pengalaman sebanyak mungkin,” katanya.

Tambah Bob, selepas membintangi Air-Con ketika di akhir pengajiannya di Aswara, jejaka ini mula mendapat peluang beraksi di layar kaca pula.

Katanya, Air-Con seakan-akan menjadi batu loncatan untuknya melebarkan sayap dalam dunia lakonan.

“Air-Con juga memenangi beberapa kategori untuk Anugerah Boh Cameronian. Rasanya, disebabkan kemenangan itu orang semakin ramai menonton teater dan dalam masa sama turut melihat bakat saya.

“Apa-apapun, saya bersyukur bakat ini dilihat pengarah dan penerbit drama lalu menawarkan peluang untuk saya beraksi di kaca TV seperti Kami, Abam, Seandainya Aku Siti dan terbaru, Merah Puteh,” katanya.



Menerusi Merah Puteh, Bob diberi peluang memegang watak utama drama berkenaan, Merah. Diadaptasi menerusi filem Bawang Putih Bawang Merah arahan Allahyarham Datuk S Roomai Noor yang ditayangkan pada 1959, kedua-dua watak utama berkenaan digalas pelakon lelaki, berbeza versi filemnya.



Biarpun pertama kali digandingkan sebagai pelakon utama, ia tidak menjejaskan fokus Bob bersama regunya, Ellyas Abdullah. Dek persefahaman dan pelbagai persamaan, keserasian itu mudah terjalin.

Menurut Bob, meskipun diberikan watak utama sebagai Merah, dia sedar tugas dan tanggung jawab yang perlu dipikul. Katanya, meskipun baru dalam dunia seni ini, dia harus mencabar diri sendiri.

“Saya setuju berlakon dalam drama ini memandangkan watak ditawarkan berbeza dengan yang pernah saya bawa. Saya pernah terbabit dalam drama Kami dan Seandainya Aku Siti, tetapi saya merasakan cabaran berbeza untuk watak kali ini.

“Dalam menjayakan drama ini, saya merasakan sesebuah drama itu penting supaya tidak mengikut corak drama yang pernah diterbitkan produksi sama sebelum ini.

“Maksud saya, pelakon perlu memainkan peranan penting dalam menunjukkan lakonan berbeza daripada apa yang pernah ditonton.

“Bagi memantapkan lakonan, saya bersama Ellyas dan pengarah, Isma Yusoof turut mengadakan perbincangan dan bertukar-tukar pendapat.

“Perbincangan seperti ini penting kerana pelakon bukan saja dapat memahami watak dengan jelas, tetapi berpeluang membaiki kelemahan pada aspek lakonan,” katanya yang turut menjayakan filem indie, Karaoke yang diarahkan oleh Chris Wong.

Merah Puteh ditayangkan menerusi slot Legenda jam 4.30 petang di TV3 dan 8.35 malam (TV9) setiap Isnin hingga Khamis. Penonton bukan saja dibawa mengikuti kisah kehidupan adik-beradik lelaki, malah hubungan mereka akrab walaupun berlainan ibu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: