Sunday, May 24, 2009

Borak Paknil: Wajah iklan kita


ASSALAMUALAIKUM! Minggu ini Paknil nak bawa pembaca ke dalam kenangan silam Paknil ketika mula-mula mengenali dunia glamor.

Ramai menyangka dunia glamor Paknil bermula ketika Paknil bersama TV3 pada 1990.

Sebenarnya, sejak 1984 lagi wajah Paknil mula dipaparkan di kaca TV. Ha, terperanjat ke? Ya, benar.

Sebelum Paknil mendapat peluang muncul di TV3, Paknil berjinak-jinak dengan iklan TV dan cetak.

Banyak juga syarikat iklan menggunakan wajah Paknil ketika itu.

Antaranya Pepsi, Nyal Vitamin C, jam tangan Alba, Metrojaya, Colgate, Southern Bank, Milo, Nescafe Shake dan Cadbury.

Bakat dan wajah Paknil sebenarnya dikesan oleh Ratu Malaysia, Yasmin Yusuf, bukan melalui sesi uji bakat, tetapi secara tidak sengaja.

Ketika itu Paknil bersiar-siar di kompleks City Square pada waktu rehat makan tengah hari.

Ketika dilamar, Paknil rasa kelakar juga sebab tidak sangka ada juga syarikat pencarian bakat menilai wajah Melayu jati Paknil.

Yalah, ketika itu kebanyakan yang terbabit dalam bidang ini berdarah kacukan.



Selepas diberi peluang pertama, Paknil mula mendapat perhatian iklan besar dan rumah produksi ketika itu seperti O&M, Barney Studio, Leo Burnett, Jemima Film dan LensaFilm.



Lebih kurang enam tahun Paknil berkecimpung dalam dunia pengiklanan sebelum mengambil keputusan meninggalkan bidang itu selepas berumahtangga.

Ketika itulah Paknil mengetahui proses penggambaran iklan yang berdurasi 30 saat.

Ia sangat teliti dan kadangkala mengambil masa sehingga seminggu untuk dirakam.

Ketika itu juga Paknil berkenalan dengan model iklan seperti Betty Anne, Zainol McWilson, Jacqueline Eu (kini Datin Seri Tiara), Linda Jasmin (kini guru tari), Christina Danker dan ramai lagi.

Rata-rata mereka berdarah campur berbanding Paknil yang berwajah Melayu jati. Ada juga rasa rendah diri, terutama ketika di lokasi, kerana wajah Paknil tidak ‘setajam’ mereka.

Sememangnya ketika itu wajah Pan Asia memenuhi setiap iklan.

Pernah ketika itu Menteri Penerangan, Datuk Mohamad Rahmat, mengharamkan penggunaan wajah Pan Asia kerana menurut penilaiannya, ia tidak melambangkan wajah Malaysia yang sebenar.

Tercetus juga bantahan daripada bakat iklan Pan Asia kerana terasa seperti dianaktirikan oleh kerajaan.

Paknil ketika itu cuma tersenyum kerana larangan terbaru itu tidak menjangkau diri Paknil.

Sememangnya ketika itu peraturan penerbitan iklan agak ketat, terutama dalam pemilihan bakat dan lokasi.

Kementerian Penerangan amat ketat dalam meneliti ‘story board’ sesebuah iklan. Iklan yang dimainkan di kaca TV mesti buatan Malaysia.

Pendek kata, iklan yang diimport tidak dibenarkan sama sekali. Itu dulu.

Kini Paknil lihat semakin galak pula iklan luar menguasai ruang di negara kita, terutama TV dan cetak.

Syarikat pengeluar dan edaran barangan yang berasal dari luar dilihat seperti lebih senang menggunakan iklan terbitan luar 100 peratus.

Kadangkala pelik juga apabila ada iklan dialih suarakan ke bahasa Melayu kerana yang bercakap itu adalah mat saleh atau bintang Bollywood!

Adakah sebab wajah tempatan tidak layak mengangkat barangan mereka? Kalau ya, kenapa barangan itu ingin dijual kepada warga tempatan?

Mungkin juga kerana undang-undang dan peraturan dilonggarkan berbanding dulu.

Jika ini berlaku, ia adalah sesuatu yang sangat sedih kerana kita tidak menyokong hasil kerja anak tempatan.

Kini, jika kita menonton TV atau wayang, kita seolah-olah ada di luar negara.

Paknil pasti, rakyat asing yang berkunjung ke negara ini juga perasan seolah-olah mereka bukan ada di Malaysia tetapi di kampung halaman mereka. Masyarakat tempatan juga terdedah dengan gaya hidup yang bukan sama sekali milik kita.

Paknil harap pihak terbabit dapat mengambil berat hal ini dan mengembalikan semula hak penerbitan dan tayangan iklan ini kepada anak tempatan. Begitu juga dengan pengisiannya.

Paknil begitu tabik kepada iklan yang diarah oleh Yasmin Ahmad kerana iklannya ada mesej, latar lokasi, pelakon dan elemen tempatan yang diangkat.

Yasmin pasti tidak lupa menyelitkan warna Malaysia ke dalam iklan arahannya.

Namun iklan itu terbukti sungguh berkesan dan dekat dengan hati penonton negara ini.

Tidak sedikit pun kita nampak iklan itu kurang daripada segi mutunya berbanding iklan luar negara.

Yang hairannya, adakah Yasmin seorang saja pengarah yang berorientasi dan bercitarasa seperti itu?

Paknil sokong 100 peratus jika iklan kita berkiblatkan budaya dan latar belakang negara kita.

Ini termasuk daripada segi muzik latar dan suara latar iklan.

Di Indonesia umpamanya, mereka ternyata menyanjung hasil kerja warga mereka kerana setiap iklan yang dimainkan di negara itu yakin menggunakan wajah anak jati dan juga elemen negara itu.

Apabila kita ada di sana, kita terasa bahawa kita sememangnya ada di bumi yang berbeza di mana masyarakatnya sangat menyanjung hasil kerja anak pribumi.

Rakyat Thailand juga begitu. Mereka antara warganegara yang mengagungkan budaya mereka.

Biar semoden mana pun kehidupan yang dipaparkan dalam iklan mereka, lembut bahasa mereka tidak sekali-kali dinodai dengan mencampurkannya dengan bahasa Inggeris atau luar.

Malah di negara itu, filem luar yang ditayangkan juga perlu dialih suara ke bahasa Siam.

Betapa mahirnya mereka melakukan tugas itu sehingga apabila menonton, kita tidak terasa pun seperti filem itu dialihsuarakan!

Itu antara contoh terdekat warga yang menatang budaya mereka. Mereka tidak malu langsung pada nilai masyarakat mereka.

Orang luar mungkin pada mulanya ketawa dengan kualiti iklan yang dilahirkan, tetapi sekurang-kurangnya itulah cermin sebenar masyarakat tempat mereka berpijak.

Kita dari dulu asyik mencanang cogankata ‘Filem Kita Wajah Kita’ tapi ia cuma tinggal hiasan luaran dan tidak dalam inti nadi penerbitan kita.

Sepatutnya kita gunakan ilmu moden yang kita pelajari daripada negara maju untuk mengangkat nilai kita dalam hasil karya kita.

Ini tidak! Ada yang pulang membawa ilmu canggih yang mereka pelajari di Barat bersama cara hidup barat.

Bila ini berlaku, bertambah tersasarlah kiblat kita dan semakin hilanglah jati diri kita dalam pekerjaan kita.

Paknil tak kisahlah jika ada yang kata isi penulisan Paknil minggu ini agak ‘poyo’ atau ‘skima’, kerana sesekali Paknil nak juga jadi ejen penyedar bangsa.

Poyo pun poyolah! Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: