Monday, May 18, 2009

Tidak takut cabaran




Yumi beranikan diri muncul dengan album penuh

DALAM keadaan pasaran muzik tidak menentu selain suasana ekonomi yang kurang stabil, tidak ramai penggiat seni yang berani mengambil risiko untuk menghasilkan album penuh.

Paling kurang pun, strategi merakamkan lagu single adalah pendekatan popular yang diambil penyanyi di negara kita. Namun berlainan dengan bakat baru berdarah campuran Jepun, Melayu dan Korea yang mencecah usia 24 tahun pada 3 Julai ini apabila berani melawan arus untuk merakamkan album dengan lapan buah lagu.

Dilahirkan dengan nama penuh Mayumi Kasuga, gadis bertubuh kecil ini mengikat kontrak dengan syarikat FG Music & Filem (FGM) bagi perjanjian kontrak selama lima tahun. Memilih nama komersial Yumi, anak sulung daripada dua beradik ini positif untuk terus tegar mengharungi pancaroba dunia seni. Bersandarkan darah campuran, Yumi juga yakin dirinya mampu menarik perhatian ramai kerana mempunyai kelainan yang tidak pernah ada di pasaran Malaysia.

Niatnya hanya untuk membuktikan kepada syarikat naungannya bahawa memilihnya bukan satu kesilapan. Malahan, dia enggan membiarkan bakat yang ada dipersiakan begitu saja. Album sulungnya nanti bakal tampil dengan pelbagai genre antaranya pop, rock, balada dan ia dilakukan bagi menguji pasaran. Berikan masa setahun kepadanya untuk membuktikan bakat sebenarnya kepada masyarakat.

“Saya sedar berdepan dengan cabaran dunia seni bukanlah semudah. Mahu atau tidak, saya akan hadapinya dengan sebaik mungkin dan positif.

“Ini adalah permulaan untuk saya membina hubungan baik dengan rakan media dalam usaha menjaja nama sendiri. Setiap langkah dan tutur bicara perlu dilakukan dengan hati-hati,” katanya.

Tidak sia-sia usaha anak kepada tukang masak berbangsa Jepun ini kerana titik permulaannya ke uji bakat tahun lalu membuahkan hasil yang baik kepadanya. Ketika itu, Yumi dan teman sekampungnya, Lufya yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim keenam sama-sama menghadiri uji bakat di syarikat rakaman NAR Records. Cuma rezeki Yumi disambar komposer Eddie Hamid yang kebetulan berada di situ.

Ketika itu, Yumi mendendangkan lagu Tiada Lagi yang pernah dinyanyikan Amy Search. Bermula saat itu, peluang Yumi terbentang luas tanpa diduga dek akalnya. Selain Eddie Hamid, album sulungnya turut mendapat sentuhan Othman Mohammad.

“Sejak kecil lagi saya minat menyanyi apatah lagi bapa saya turut meminati bidang yang sama dan menganggotai band sewaktu zaman mudanya. Saya pun bolehlah sikit-sikit menunjukkan bakat memasak seperti bapa. Mujur saya tak menjadi chef dan lebih suka menyanyi.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi terhadap kredibiliti syarikat FGM. Berdasarkan trek pencapaian syarikat ini sebelum ini melahirkan penyanyi seperti Dayangku Intan, Adam Ahmad dan Zaiton Sameon, saya juga mengharap tuah yang sama akan menyebelahi nasib saya. Saya tidak mahu dilabel hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam,” katanya yang sudah merakamkan empat lagu dan album ini dijangka berada di pasaran sekitar Jun ini.

Mengikut perancangan, dalam lapan lagu yang dirakamkan turut dimuatkan beberapa lagu duet. Kini, syarikat FGM dalam perkiraan mendapatkan beberapa calon duet untuk Yumi. Khabarnya, penyanyi Aizat dan seorang penyanyi lama sedang dipertimbangkan untuk berhabung dengan Yumi.

“Mengenai hal ini, saya belum tahu apa kata putus yang sedang diusahakan syarikat. Saya hanya menunggu lampu hijau untuk menyudahkan rakaman lagu termasuk duet dengan penyanyi yang saya sendiri belum tahu siapa,” katanya yang mempunyai sikap kelakar, manja dan mudah mesra.

Info FGM

  • Syarikat ini juga sedang mencari bakat baru dalam bidang nyanyian dan lakonan untuk diketengahkan walaupun akur dengan keadaan pasaran.

  • Bukanlah syarikat baru dalam dunia penerbitan album dan drama. Ditubuhkan sejak 1982, syarikat itu dulunya dikenali dengan nama Omry Record dan bertukar nama FGM pada 1987/

  • Pernah menghasilkan filem komedi Queen COntrol arahan A R Badul dan beberapa buah drama seperti Arus Glamor dan Wajah Wajah Dendam.

  • Berminat untuk di uji bakat boleh menghubungi talian: 03-41438670 atau 03-41438682.

    Info Yumi

  • Menetap terus di Malaysia sejak umur sembilan tahun

  • Kerana bapanya bekerja sebagai chef dan kerap merantau, lalu Yumi, adik dan ibunya pernah tinggal di Jepun, Singapura dan Australia.

  • Sekarang menetap di Ampang bersama keluarganya.

  • Ibunya seorang suri rumah.

  • Masih fasih berbahasa Jepun dan Bahasa Melayu.

  • Gemar makan masakan Jepun seperti sushi, teppanyaki dan ikan mentah.

  • Anak pertama daripada dua beradik.

  • Belum berpunya.



    Profil Yumi

  • Nama penuh: Mayumi Kasuga

  • Nama komersial: Yumi

  • Tarikh lahir: 4 Julai 1985

  • Tempat lahir: Johor Bahru, Malaysia

  • Hobi: Menyanyi, menari dan membaca

  • Usia pembabitan: Sejak umur 15 tahun

  • Kejayaan: Juara pertandingan Pepsi Britney Spears 2001 di Johor

  • Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan model iklan

  • Emel: mayumi.kasuga@gmail.com

  • Iklan: Pizza Hut dan BBC (untuk pasaran Iran)
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: