![]() DARI kanan; Zainir, Tiara, Yazid dan Isma tersenyum puas pada sidang media selepas Konsert Akhir AF7. |
Walaupun mendapat kritikan hebat, Astro sudah membayangkan kemungkinan ada AF musim kelapan
WALAUPUN dikritik hebat daripada pelbagai pihak, Akademi Fantasia (AF) akhirnya melabuhkan tirai Sabtu lalu. Segenap ruang di Stadium Putra, Bukit Jalil dan penonton di rumah yang menonton kemuncak konsert AF7 sudah menyaksikan gelaran takhta kembali bertukar tangan kepada lelaki yang dimenangi Hafiz.
Seperti kebiasaan, pertandingan realiti popular ini datang dan pergi dengan meninggalkan impak tersendiri. Ada bintang kelahiran program ini masih tegar berjuang merentasi arus perdana dan ada juga yang hanya mencipta magis seketika.
Hakikatnya, biarpun sering dihentam, program yang terbitan Astro Ria ini masih mempunyai peminatnya tersendiri. Baik atau buruk publisiti yang diberi, pada akhirnya AF masih bertahan sebagai program nombor satu di stesen TV berbayar itu. Perkara itu diakui Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd , Zainir Aminullah.
“AF musim ini mencapai kejayaan yang membanggakan. Namun seiring dengan pertambahan musim ke satu musim, cabaran dan tekanan yang perlu dihadapi mengikut skala berbeza. Dengan ini, patut saya katakan AF masih relevan.
“Jumlah undian juga bertambah sebanyak 45 peratus berbanding musim lalu dan ia menunjukkan peningkatan malah terus menjadi fenomena. Terima kasih kepada fakulti AF7, produksi dan Tiara sendiri selaku pengetua yang memberi sumbangan besar menjadikan musim kali ini berbeza daripada sebelumnya,” katanya di sidang media selepas Konsert Akhir AF7.
![]() |
| HAFIZ (kiri) bersama Aril dan Akim kali pertama berhadapan soalan wartawan pada majlis sidang media AF7. |
Menurutnya, apa yang dilakukan daripada musim pertama hingga ketujuh semuanya membabitkan transformasi termasuk daripada segi pembaharuan konsep, tenaga produksi, tenaga pengajar dan sebagainya.
“Cuma bezanya, untuk AF7 elemen transformasi itu sendiri dijadikan tagline. Transformasi yang ditekankan itu menjadi tema secara keseluruhan, seperti nak membuktikan bakat mentah peserta yang terus digilap menjadi bintang.
“Dan apa yang saya dapat katakan ia tercapai. Ia memberi petunjuk dan inspirasi bahawa kebarangkalian AF musim kelapan diadakan dengan garapan serta cabaran berbeza,” katanya lagi.
Tiara puas hati prestasi pelajarnya
![]() |
| DIN Beramboi mengusik Hafiz sambil diperhatikan AC Mizal. |
Sementara itu, Datin Seri Tiara Jacquelina selaku Pengetua AF7, berbangga dengan prestasi dan pencapaian yang ditunjukkan lima finalis program itu. Katanya, setiap daripada mereka cukup memberikan inspirasi kepada dirinya termasuklah pihak fakulti sendiri yang setia menyokong manifestasinya dari belakang.
“Astro memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul jawatan ‘keramat’ ini. Saya berbangga dapat bekerjasama dengan tenaga pengajar yang lain. Penat lelah kami di fakulti berbayar dengan berakhirnya AF7. Sebenarnya, tidak semua ditunjukkan di dalam diari AF7 dan tidak sia-sia usaha tenaga pengajar dalam memastikan latihan padu diberikan kepada finalis,” kata Tiara.
Ditanya mengenai transformasi finalis manakah yang cukup memberi impak, Tiara memberitahu Akim, Isma dan Yazid menunjukkan peningkatan paling ketara.
“Akim daripada peserta kurang menyerlah, dia mula fokus dan memberikan kejutan pada setiap minggu. Isma juga membuktikan biarpun sudah beranak lima, dia masih kelihatan ‘hot’.
“Yazid yang pada mulanya tidak yakin dengan diri sendiri kerana bercakap gagap dan sentiasa gemuruh. Manakala Aril dan Hafiz masing-masing menyerlahkan pesona dan bakat yang ada. Mereka bertukar daripada seorang yang bagus ke peringkat lebih hebat,” jelasnya.
Pada persembahan konsert akhir AF7, hanya beberapa finalis memberikan corak nyanyian memberangsangkan. Paling meninggalkan kesan ialah Akim yang bersungguh-sungguh menyanyikan lagu barunya, Bengang dan Bercinta. Malahan setiap kali persembahannya di atas pentas, ia pasti disambut dengan tepukan gemuruh penonton di stadium.
Aura yang sama dirasai dalam persembahan Aril menerusi lagu Kasih Tak Sampai. Namun, persembahan kedua Aril dalam lagu Toksik sederhana saja. Hafiz pula begitu mengesankan melontarkan butiran lirik lagu Masih Jelas, namun persembahan lagu rancak, Kau Bunga Cintaku bagaikan kurang menyerlah.
Yazid pula gagal menyerlah menerusi buah lagu Kasidah Cinta dan lagu baru, Ya Pa Pa. Lagu itu tidak mampu memberi suntikan semangat kepadanya. Isma juga bagaikan hilang arah kerana dua lagu yang disampaikan, Cinta Adam Dan Hawa dan Bisikan... Godaan tidak meninggalkan kesan kepada pendengar.
Selain sembilan bekas pelajar AF7 yang diundang membuat persembahan, lima pelajar orientasi iaitu AB, Kelana, Amin, Cabby dan Faezah diberi kesempatan berharga membuat persembahan.
Juara Akademi Fantasia, Stacy turut memberikan persembahan bertenaga menerusi dua buah medley lagu Gagap dan Pakai Buang. Selain AC Mizal sebagai hos, Adlin Aman Ramlie, Khatijah Ibrahim dan Edrie Hashim melaksanakan tanggung jawab mereka sebagai juri tetap.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: