Wednesday, May 13, 2009

Ruqaya pertahan aurat





SIAPA yang mampu melupakan kelibat gadis Bahrain bertudung hijab membakar trek di Stadium Antarabangsa Khalifa pada temasya Sukan Asia Doha tiga tahun lalu.

Gadis bernama Ruqaya Al Ghasara itu mengharumkan nama negaranya yang sebelum ini tidak memiliki seorang pun atlit wanita sebaliknya lebih bergantung kepada atlit lelaki yang 'diimport' dari negara Afrika untuk mencetak kejayaan.

Berikut beberapa fakta menarik mengenai Ruqaya, pelari yang mencetuskan fenomena baru dalam kancah sukan olahraga wanita. Dia juga atlit pertama bertudung hijab yang beraksi pada temasya Sukan Olimpik di Athens pada 2004.


  • 1. Ruqaya Al Ghasara, yang dilahirkan pada 6 September 1982 adalah wanita pertama mewakili Bahrain pada temasya Sukan Olimpik dengan menyertai acara pecut 100 meter wanita pada temasya 2004 di Olimpik Athens. Dia menduduki tangga kelima saringannya dengan masa 11.49 saat dan gagal meneruskan saingan ke peringkat berikutnya.



  • 2. Dia dilaporkan menjadi kemarahan kaum fundamentalis di kampungnya kerana berlari untuk negaranya sekalipun memakai pakaian yang menutup aurat termasuk tudung hijab, pakaian yang menjadi tradisi wanita Arab dan Islam. Dia pernah mengeluarkan kenyataan betapa pemakaian hijab memberikannya 'tenaga tambahan'.



  • 3. Pada 2003, Ruqaya memenangi pingat emas acara 100 dan 200 meter pada Kejohanan Arab di Lubnan.



  • 4. Pada 2004, menjelang Sukan Olimpik, dia memenangi tiga pingat perak dalam acara 60, 200 dan 400 meter pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia di Iran. Dia turut mewakili Bahrain dalam acara 400 meter pada Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Budapest.



  • 5. Pada 2006, Ruqaya memenangi pingat emas acara 200 meter pada Sukan Asia Doha. Kemenangan itu membolehkan dia muncul atlit pertama kelahiran jati Bahrain memenangi pingat emas pada kejohanan olahraga bertaraf antarabangsa. Dia juga meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter.



  • 6. Pada 2007, dia mengambil bahagian pada Sukan Pan Arab di Mesir dan Kejohanan Asia di Lubnan. Dia bagaimanapun menarik diri daripada Kejohanan Dunia IAAF di Osaka kerana kecederaan.



  • 7. Pada 2008, Ruqaya memenangi pingat emas acara 60 meter pada Kejohanan Dalam Dewan Asia di Doha, mencipta rekod baru kejohanan dengan masa 7.40 saat.



  • 8. Dia layak beraksi dalam acara 100 dan 200 meter pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 tapi hanya bertanding dalam acara 200m apabila dia layak ke separuh akhir. Dia adalah pembawa bendera negaranya pada upacara pembukaan Sukan Olimpik.



  • 9. Bakat Ruqaya dikenalpasti sejak di bangku sekolah apabila rakan sekolahnya lebih sukakannya berada dalam pasukan mereka bagi sukan bola keranjang atau bola baling, terutama kerana kepantasannya.



  • 10. Kenyataan terbaru pelari pecut itu dia tidak akan sekali-kali menanggal hijabnya untuk berlari pada pentas antarabangsa.

    "Saya sudah memakai hijab sejak berusia 10 tahun dan saya akan memakainya selama-lamanya. Hijab tidak menjejaskan keputusan perlumbaan saya. Saya sayangkan hijab," katanya. Bagaimanapun dilaporkan dia memakai pakaian direka khas oleh sebuah syarikat di Australia ketika bertanding pada Olimpik Beijing.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: