Friday, May 8, 2009

RM2 punca ajal Saripah


HASHIMAH (kanan) bersama cucu-cucunya dikunjungi Mohd. Zaki (dua dari kiri) di Tumpat semalam.


TUMPAT - Nilai nyawa Saripah Mohd. Noor, 34, dan anak dalam kandungan yang baru berusia tiga bulan hanyalah RM2.

Ini kerana ketika kejadian diragut, wanita itu hanya mempunyai wang RM2 dalam beg tangannya.

Ibu mangsa, Hashimah Hussin, 54, berkata, sebelum tragedi itu, anak kedua daripada sembilan beradik itu meminjam RM5 daripada seorang menantunya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Jel, Repek, Bachok.

“Saripah langsung tiada duit sampai minta dengan mak cik tetapi mak cik pun tiada duit.

“Dia kemudian pinjam RM5 daripada adik iparnya untuk mengisi minyak motosikal dan membeli makanan,” ceritanya ketika ditemui di Kampung Kok Bedullah dekat sini semalam.

Menurut beliau, dalam perjalanan, dia singgah di kedai bagi mengisi minyak motosikal RM3 dan baki RM2 dipercayai untuk membeli makanan disimpan di dalam beg tangannya.

Bagaimanapun, kata Hashimah, wang RM2 itu telah menyebabkan dia menemui ajal bersama bayi dalam kandungannya.

Cerita wanita itu, Saripah sudah dua minggu tinggal di rumahnya bersama dua orang anaknya iaitu Nurul Akmal Alisa Mat Zani, 6, dan Siti Najwa Mat Zani, 2.

Katanya, pada pukul 8.30 pagi kelmarin, Saripah mahu pulang ke rumahnya di Bachok bagi menguruskan pertukaran sekolah anak ketiganya, Syawal Nabil, 8, dari Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Bachok ke salah sebuah sekolah di Tumpat.

“Selalunya dia membawa dua orang anaknya itu tetapi entah kenapa semalam (kelmarin) dia minta saya menjaga anak-anaknya,” ujarnya.

Tambahnya, anaknya itu kerap berulang-alik dari Bachok ke Tumpat yang perjalanannya sejauh kira-kira 60 kilometer.

Jenazah Saripah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kok Bedullah di sini pada pukul 11 malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: