Monday, May 11, 2009

Rencana Hujan


POPULARITI lagu Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada melonjakkan nama Hujan antara kumpulan indie yang berpengaruh di kalangan peminat pada masa kini.

Sejak mula berkecimpung dalam muzik tiga tahun lalu, mereka mampu berbangga dengan pencapaian muzik sendiri apabila meraih dua anugerah pada Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16), baru-baru ini.

Album mereka yang menggunakan judul nama kumpulan sendiri itu meraih anugerah Album Rock Terbaik manakala lagu Bila Aku Sudah Tiada dipilih sebagai Lagu Rock Terbaik. Bagi vokalis kumpulan ini iaitu Mohamad Noh Salleh atau Noh, kemenangan dua anugerah ini paling bermakna dikongsi dengan peminat yang menyokong perjuangan muzik mereka selama ini.

Di sebalik kemenangan kali pertama pada AIM16, Noh menyatakan mereka juga gembira apabila diberi peluang untuk mengadakan persembahan pada acara tahunan itu.

"Kami sebenarnya turut teruja apabila bergandingan bersama kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) untuk mengadakan persembahan pada malam itu. Pada saya, persembahan itu meninggalkan kenangan manis buat kami. Mulanya, saya sendiri tidak merancang untuk 'terbang' atas penonton tetapi disebabkan sambutan yang diberikan cukup bersemangat, saya dan vokalis MUH, Lan ambil kesempatan untuk terbang.

"Memang penganjur ada memaklumkan jika kami buat sesuatu perkara yang negatif, ia boleh meninggalkan kesan pada kumpulan kami sendiri. Hingga kini, saya masih teringat dengan persembahan itu walaupun Lan tidak disambut sempurna hanya menampakkan kaki ke atas.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana peristiwa itu tidak mencederakan sesiapa, malah saya melihat semua penonton yang berada di situ terhibur. Soal kemenangan, impak besar pada perjalanan karier seni kumpulan kami masih belum berlaku tetapi secara peribadi, anggota keluarga saya menyatakan sokongan pada minat saya dalam muzik," katanya.

Dalam berkongsi kegembiraan, Noh juga menyatakan hasrat untuk melanjutkan pengajian diploma muzik di negeri asalnya iaitu memilih Institut Tinggi Fajar di Miri, Sarawak.

Katanya, dia sudah lama merancang untuk mendalami bidang muzik tetapi tidak mempunyai masa yang sesuai. Namun, kali ini atas sokongan keluarga dan anggota kumpulan, dia merancang untuk memulakan pengajian pada pertengahan tahun depan.

"Saya fikir hasrat untuk sambung belajar tidak memberi masalah pada komitmen saya untuk bersama kumpulan ini. Anggota kumpulan juga faham dan kami akan mencari masa terluang untuk bermain muzik. Mungkin jika saya sibuk belajar, mereka akan ke sana," katanya.



Noh berpandangan, istilah indie bukan hanya terletak pada skop muzik seperti yang diperjuangkan Hujan tetapi merujuk pada usaha penyanyi daripada genre muzik lain yang berdikari dalam menerbitkan album sendiri.



Katanya, tidak perlu membezakan antara kumpulan indie dengan penyanyi dan kumpulan lain, sebaliknya semua penyanyi bersatu untuk kemajuan persada muzik tanah air.

Bagi Mohd Hezry Mohd Hafidz (AG), dia tidak mempunyai masalah jika Noh sambung belajar. Malah, AG turut mempunyai komitmen bersama kumpulan Coco. Dia yang bermain gitar, berusaha membahagikan masa antara tanggungjawab pada dua kumpulan muzik berbeza.

"Kami kerap berlatih jika ada persembahan atau lagu baru yang ingin dirakam. Hingga kini, kami mendapat sambutan positif daripada peminat ketika mengadakan persembahan.

"Nyata, perkembangan Hujan bersama kumpulan indie lain yang makin mencuri tumpuan khalayak turut memberikan persepsi berbeza pada penganjur.

"Sebelum ini, penganjur beranggapan kumpulan indie mempunyai banyak masalah termasuk aspek bajet untuk bayaran. Kini, apa yang kami terima boleh dikatakan berbaloi dengan persembahan yang diberikan. Sebagai kumpulan muzik, aspek mutu persembahan perlu diutamakan.

"Walaupun banyak kumpulan yang dilabel indie tetapi ada antara mereka yang tidak melakukan persediaan yang cukup hingga menjejaskan mutu persembahan," katanya.

Mengenai aktiviti baru, Hang Dimas Santosa (Dimas) pula berkata, mereka sudah mula merakamkan lagu untuk dimuatkan dalam album baru yang dijangka berada di pasaran pada Ogos nanti.

Sebanyak 10 lagu baru dipilih daripada 25 lagu yang ada dalam koleksi mereka. Berbeza dengan pengalaman menghasilkan album pertama lalu, Dimas menyatakan kerja mereka kali ini lebih profesional sama ada aspek rakaman, teknikal, pengurusan, kewangan dan promosi.

"Kami lebih fokus untuk album kedua ini dengan menekankan aspek kreativiti dan mahu melakukan promosi secara jelajah. Kami merancang untuk muncul dengan single pada pertengahan Julai ini. Menariknya, kami memberi peluang pada peminat untuk memilih antara lima lagu untuk dijadikan single.

"Menerusi laman web, http://hujan.org, peminat kami berpeluang mengambil bahagian untuk memilih single baru kami. Malah, kami turut mengajak peminat untuk mencipta aspek kreativiti pada muzik video berdasarkan rakaman asas lagu yang kami rakamkan.

"Mungkin, peminat boleh menambah kesan khas atau animasi pada muzik video itu. Bagi peminat yang berjaya, akan menerima hadiah istimewa daripada kami. Kami fikir pembabitan peminat ini sebagai satu cara kami menyatakan penghargaan pada peminat," katanya.

Walaupun Dimas berasal dari Bandung, Indonesia tetapi dia adalah pencetus pada penubuhan awal kumpulan ini pada penghujung 2005.

Katanya, ketika itu dia bersama Noh menimba pengalaman bekerja bersama produksi Excellent Pictures milik Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Mereka yang terbabit dengan kerja susunan muzik untuk drama dan filem terbitan produksi itu, kemudian berminat untuk menubuhkan kumpulan muzik secara serius pada 2006.

Untuk persembahan jelajah, kumpulan ini selesai mengadakan persembahan di Bandung dan Jakarta, Indonesia pada awal Mac lalu.

Kata Dimas, sambutan yang diterima selama dua minggu di sana cukup menggalakkan hingga dua lokasi berikutnya iaitu Yogyakarta dan Surabaya terpaksa dibatalkan.

"Kami berpeluang mengadakan promosi di 20 stesen radio di sana termasuk stesen TV, Antv. Saya sendiri tidak sangka peminat di sana dapat menerima kami dengan baik. Biarpun pertama kali menyaksikan persembahan kami tetapi mereka sudah menyatakan minat dan turut menggelar diri sebagai peminat setia kami iaitu Raingers," katanya.

Sebelum ini, Hujan pernah mencipta sejarah pada karier muzik mereka apabila berpeluang mengadakan persembahan jelajah di United Kingdom (UK) pada Mac tahun lalu. Menariknya, ketika itu, kos persembahan mereka ditaja pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

"Dalam kunjungan selama dua minggu itu, mereka mengadakan persembahan di empat lokasi iaitu Manchester, Liverpool, Sheffield dan Cardiff.

Kata AG, peluang ke UK hadir apabila dia berhubung dengan rakannya di sana menerusi Internet sekadar berhasrat untuk bercuti. Bagaimanapun, hasrat itu berubah bila rakannya itu tertarik untuk menjemput Hujan mengadakan persembahan di sana.

"Kami terharu apabila pelajar di sana sanggup mengumpul wang untuk menaja persembahan kami di sana. Jika difikirkan memang banyak wang yang dilaburkan kerana mereka turut menanggung tiket penerbangan dan menyediakan penginapan kami di sana.

"Apapun, ia kenangan paling manis buat kami. Mungkin selepas ini, kami berharap dapat peluang ke sana lagi dan beberapa destinasi lain. Kesempatan mengadakan persembahan ini dapat mendekatkan hubungan kami dengan peminat untuk berhibur," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: