Monday, May 25, 2009

Rahsia Orkes Nirwana bertahan 44 tahun


ORKES Nirwana masih bertahan dalam industri muzik tempatan selepas 44 tahun memperjuangkan irama pop yeh-yeh.


ORKES Nirwana Johor Bahru (ONJB) merupakan kumpulan muzik yang paling lama bertahan dalam industri muzik tanah air iaitu selama 44 tahun.

Fakta kejayaan kumpulan yang ditubuhkan pada 25 Mac 1965 di Johor Bahru, Johor itu telah pun dicatatkan dalam Malaysia Book of Records pada ulang tahun ke-40 mereka, empat tahun lalu.

Selepas 44 tahun bergelumbang dalam bidang muzik, kumpulan di bawah pimpinan Datuk A. Rahman Hassan itu masih lagi aktif bermain muzik sehinggalah kini.

Ternyata irama pop yeh-yeh yang mereka bawakan bukan setakat menghiburkan ramai peminat, tetapi ia juga berjaya mengeratkan hubungan anggota-anggota kumpulan terbabit.

Tentunya, ramai peminat mahupun penyanyi serta pemuzik yang tertanya-tanya rahsia kumpulan yang popular dengan lagu berjudul Tak Mengapa itu bertahan sehingga lebih empat dekad.

A. Rahman selaku pemimpin, penyanyi dan gitaris ONJB mendedahkan, kumpulannya menerapkan sebuah rukun yang dikenali sebagai Rukun Nirwana sebagai rahsia mereka mampu bertahan lama dalam bidang ini.

"Kami cipta sendiri empat perkara dalam Rukun Nirwana. Pertama, taat kepada ketua, kedua, buat apa yang disuruh, jauhi yang ditegah, ketiga, bermuafakat dan keempat, berbudi luhur.

"Semua anggota ONJB wajib mematuhi empat rukun itu demi kebaikan kami semua. Itu adalah kunci kejayaan kami mampu bertahan lama sehinggalah kini," katanya selepas sesi fotografi dengan Mega di Studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang kini menginjak usia 62 tahun tidak menafikan ekoran disiplin yang tinggi dalam mematuhi Rukun Nirwana itu menyebabkan banyak masalah dalam kumpulan dapat diselesaikan secara muafakat.

Malah, kata bapa kepada pelakon Khir Rahman ini, rukun itu secara tidak langsung juga telah memanjangkan hayat kumpulan yang dianggotai enam anggota itu.

"Disebabkan rukun itulah maka kami semua dapat mendisiplinkan diri untuk berkecimpung dalam bidang muzik dengan cara yang sihat tanpa mencetuskan isu-isu yang negatif.

"Sebagai contohnya, suatu ketika dulu ada di antara ahli kami yang keluar dating dengan peminat perempuan secara sembunyi-sembunyi sehingga ia diketahui oleh kami semua.

"Anggota kami itu kemudiannya telah dipanggil untuk memberi tunjuk sebab dan dinasihati supaya tidak mengulangi perbuatannya itu kerana ia akan mencemarkan nama baik ONJB di mata para peminat dan masyarakat," ujarnya.

Sebagai pemimpin ONJB, A. Rahman begitu tegas demi memastikan supaya setiap anggota kumpulan itu faham serta menghormati empat rukun tersebut.

Justeru, tidak hairanlah empat tahun lalu, kumpulan yang popular dengan pakaian seragam fesyen turtle neck (leher penyu) ini pernah menyingkirkan anggotanya yang mengingkari falsafah empat rukun itu.

"Empat tahun lalu, kami telah berhentikan terus pemain dram asal kumpulan kami iaitu Mohd. Radzy Jalil kerana dia melanggar salah satu rukun yang terdapat dalam Rukun Nirwana.

"Tindakan itu bukan saya seorang yang putuskan tetapi ia telah dipersetujui oleh kesemua anggota ONJB di mana kami semua telah menurunkan tandatangan dalam surat yang dikeluarkan kepada bekas anggota kami itu," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Tidak mahu dipisahkan

Selain menekankan soal disiplin, ONJB juga amat menghormati, menghargai dan amat setia dengan setiap anggota kumpulan itu yang boleh diibaratkan sebagai sebuah keluarga.

Justeru, tidak hairanlah setiap anggota kumpulan itu tidak mahu dipisahkan dalam apa-apa juga persembahan pentas termasuklah ketika mereka muncul menerusi di televisyen.

Perkara itu didedahkan oleh penyanyi wanita ONJB, Datin Azizah Mohd. yang tidak mahu dipisahkan daripada kumpulan itu kerana menganggapnya sebagai salah satu syarat kemunculannya di atas pentas persembahan.

"Saya mula menyanyi bersama ONJB sejak saya masih muda dan belum berkahwin sehinggalah sekarang ini. Jadi, saya sudah sebati dengan kumpulan ini, malah saya rasa lebih selesa mengadakan persembahan bersama mereka.

"Ini kerana, biasanya penyanyi lebih mendapat perhatian ramai dan sering menerima undangan mengadakan persembahan berbanding pemuzik yang mengiringi sesebuah kumpulan. Namun, itu bukan konsep ONJB," tegasnya.

Selain soal kesetiaan, Azizah atau nama sebenarnya Arziza Mohamed, 61, juga mendedahkan ONJB lebih mengutamakan kepuasan menyanyi dan bermain muzik berbanding perkara-perkara lain.

Penyanyi berasal dari Kluang, Johor ini misalnya, jarang mempertikaikan soal wang yang diperolehi oleh ONJB. Hasil pendapatan daripada persembahan pentas mereka turut dibahagi-bahagikan sama rata dengan anggota-anggota kumpulan yang lain.

"Sebelum bersama ONJB, saya menyanyi solo dan banyak jugalah mendapat bayaran hasil daripada menyanyi. Tetapi selepas menyanyi bersama kumpulan ini, ibu bapa saya selalu juga bertanya mana perginya duit hasil menyanyi saya?

"Duit itu kami kumpulkan dalam tabung dan ia digunakan untuk perkara-perkara yang perlu seperti membayar sewa amplifier (kotak bunyi) dan sebagainya. Selepas itu barulah ia akan dibahagi-bahagikan sama rata kepada kami semua," katanya.

Azizah bukan setakat setia bersama ONJB, tetapi beliau juga bangga kerana lagu-lagu kumpulannya terus diminati sehingga kini serta dikategorikan sebagai malar segar.

Lagu Tak Mengapa contohnya, merupakan antara lagu pop yeh-yeh yang popular pada tahun 1960-an dan diminati sehingga kini termasuklah oleh kalangan pendengar generasi muda.

Senario itu dapat dilihat pada setiap persembahan yang diadakan apabila ia turut dinyanyikan oleh para penonton selain sering disiarkan melalui stesen-stesen radio di negara ini.

"Saya amat bangga kerana masih mampu untuk menyanyi sehingga kini. Lagu-lagu nyanyian saya juga masih diingati oleh para pendengar. Bukan sahaja lagu sendiri, tetapi lagu-lagu penyanyi lain yang saya sampaikan juga diminati ramai.

"Misalnya, lagu penyanyi Indonesia, Erni Johan bertajuk Kasih Pertama adalah antara lagu yang sering kami persembahkan dan ia diterima oleh para pendengar. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa lagu itu asalnya lagu dari Indonesia," ujarnya.

Baju seragam, sama warna

Kesepakatan ONJB bukan setakat meliputi kerukunan, kesefahaman dan kesetiaan mereka terhadap kumpulan itu tetapi ia juga dapat dilihat daripada segi gaya berpakaian.

Antara keunikan kumpulan yang ditubuhkan di ibu negeri Johor itu ialah mereka akan tampil dengan pakaian yang sama konsep dan warna ketika mengadakan persembahan pentas.

Baju fesyen turtle neck dan cekak musang merupakan fesyen yang sukar untuk dipisahkan daripada ONJB ketika mereka muncul di persembahan pentas atau kaca televisyen.

Menurut A. Rahman, sejak dari dulu ONJB memang seia sekata muncul dengan pakaian seragam yang sama konsep dan warna sebagai melambangkan perpaduan erat yang telah mereka bina lebih empat dekad lalu.

"Walaupun ia berbentuk seragam, tetapi pakaian-pakaian yang kami pakai itu meliputi pelbagai warna seperti biru, kuning emas, merah, hijau, perak, putih, biru gelap dan sebagainya.

"Ia bagi memberikan kelainan walaupun ada kalanya kami berpeluh dan rasa kurang selesa atau panas dengan memakai bahu turtle neck ketika mengadakan persembahan di kawasan terbuka," katanya.

Katanya, setiap pasang pakaian ONJB itu ditempah khas yang mana ia mencecah kos sehingga RM1,000.

Secara tidak langsung, kombinasi lagu-lagu malar segar ditambah dengan konsep pakaian sebegitu, ia menambahkan lagi kemeriahan pada setiap persembahan yang mereka jayakan.

Apatah lagi, dengan pengalaman 44 tahun bermain muzik, ONJB tiada masalah untuk mengadakan persembahan pada bila-bila masa biarpun tanpa mengadakan latihan intensif.

"Kami jarang berlatih kerana sudah tahu lagu-lagu apa yang akan kami mainkan. Walaupun ada di antara kami yang tinggal di Kuala Lumpur dan sebahagiannya lagi di Johor Bahru tetapi kami tiada masalah untuk berkumpul kalau menerima undangan mengadakan persembahan pentas.

"Tetapi kalau sesekali kami berlatih, ia akan mengambil masa sehingga empat jam. Biasanya kami akan berlatih secara intensif kalau ada konsert-konsert yang besar," jelasnya.

Sama seperti kumpulan-kumpulan lain, ONJB juga mempunyai impian untuk mengadakan konsert istimewa sebagai tanda penghargaan terhadap para peminat yang telah menyokong mereka selama ini.

Tambah A. Rahman lagi, jika mempunyai bajet yang mencukupi termasuklah sokongan pihak penaja, ONJB akan menjemput rakan-rakan seperjuangan mereka yang masih aktif pada konsert tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: