Sunday, May 17, 2009

Pilih lelaki normal




Satu hal yang diakui tatkala bertemu semula dengan pemilik nama Acha Septriasa adalah kematangannya yang ketara. Usia 19 tahun yang dibawa jasad kecilnya juga bagaikan tidak padan dengan apa yang telah ditempuhnya.

Acha mengaku telah melalui transisi kehidupan yang besar walaupun hanya beberapa tahun berada dalam dunia seni yang katanya banyak menempuh permainan dan ujian.

"Saya telah melepasi fasa kontroversi dan ujian sebagai anak seni. Maksudnya rasa rimas itu telah hilang."

Dalam masih tersisa nakal-nakal remajanya, dia dan ibunya, Rita, pandai berahsia. Seorang lelaki muda yang menghantar pulang Acha ke rumah di Kuala Lumpur pada hari itu sempat kami tatapi wajahnya. Dan ternyata dia ialah buah hati Acha yang baru.

Acha baru berpisah dengan kekasih terdahulu, juga penyanyi dan pelakon Indonesia, Irwansyah, 24.

"Dia ialah teman rapat saya sekarang. Kami kenal sejak kecil. Benar, dia pacar saya. Maaf saya tidak boleh memberitahunya tadi ketika dia ada di rumah.

"Dia seorang yang pemalu dan enggan berkongsi profilnya demi privasi," ujar Acha yang turut mahu merahsiakan nama si buah hati.

Acha menganggap si dia seorang lelaki biasa yang cukup memahami dan membuatkan dirinya berasa selesa.

"Saya jenis orang yang mahu serius dalam perhubungan dan mahu ia bertahan sampai bertahun-tahun. Cukup sekali saja saya memilih orang yang terlibat dalam dunia hiburan.


ACHA Septriasa terlihat sangat matang dan mempelajari setiap pengalaman hidup sebagai anak seni dengan tenang.


"Saya mahu perhubungan yang nyaman sekarang. Saya akui dahulu saya terlibat dengan cinta lokasi. Kebenaran yang saya lihat jika berterusan begitu ialah akan bertukar pasangan.

"Saya juga menolak lelaki metroseksual," akuinya menamatkan spekulasi pilihan hatinya.

Terkejut

Kalau dahulu ke mana saja pergi pasti mereka bersama. Sementelah mereka turut berlakon dalam filem yang sama, Heart dan Love Is Cinta.

Namun kini Acha bersendirian tanpa Irwansyah di sisi. Dan si gadis ini sebenarnya sudah lali dengan senario tersebut.

Justeru, Acha sedikit terkejut bila diberitahu Irwansyah pasti menyebut namanya tatkala ditemu bual wartawan Malaysia.


"Saya kenal sangat dengan dia. Yang pasti kini kami masih berkawan baik dan sering berbalas mesej dengan Blackberry. Tapi hanya sebagai kawan dan tidak mungkin seperti dulu.

"Saya tidak tahu kenapa dia masih menyebut-nyebut nama saya dalam temu ramah. Mungkin kerana kami terlalu identikal, ya?"

Kemudian datang pula cerita Pasha, vokalis Ungu yang digosipkan dengannya. Acha mengakui Pasha ada bertandang ke rumahnya di Jakarta, Indonesia sebanyak dua kali.


ACHA menolak lelaki metroseksual dan lebih senang dengan lelaki yang dikenalinya sejak kecil.


Disambut baik oleh ibunya, akui Acha, Pasha tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya turut membawakan hadiah.

"Dia teman sepanggung saya. Tiada hubungan istimewa. Saya juga tidak menyimpan nombor telefonnya. Dia datang ke rumah selepas tahu saya menyambut ulang tahun kelahiran.

"Saya rasa umur saya tidak cukup untuk bercakap hal rumah tangga orang," ulasnya yang dikatakan perosak rumah tangga Pasha.

Disebabkan itu, Acha dan keluarga didatangi lagi tetamu yang tidak diundang. Sekitar 30 buah kereta memenuhi depan rumahnya.

Wartawan-wartawan Indonesia berkampung di situ untuk mengorek cerita 'cinta' Acha dan Pasha.

"Saya agak tertekan dengan peristiwa itu. Saya tidak bebas walaupun di rumah sendiri. Ada sahaja yang cuba merakamkan pergerakan saya.

"Saya harus menyelubungkan badan saya dan tertunduk-tunduk mahu ke tandas. Akhirnya saya keluar dan bercakap dengan mereka," ujarnya yang mendakwa setiap percakapannya akan ditokok tambah hingga 40 peratus daripada versi asal oleh media negara itu.

Gosip murahan

Usia baru meninggalkan darah remaja dan lingkungan belasan tahun tetapi dugaan yang dihadapinya jauh daripada itu. Berfikiran positif, Acha menganggap semua itu adalah latihan kesabaran dalam hidupnya.




Penuntut Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya ini merasakan dirinya lebih kuat dan ikhlas dalam kerjaya.

"Ujian kehidupan saya yang paling hebat berlaku sejak September tahun lalu. Tapi saya ajar diri agar kuat dan tidak mudah lemah.

"Saya tidak mahu dikenali sebagai artis yang penuh gosip. Saya mahu karier saya melebihi itu semua. Umum perlu tahu saya juga punya hati yang boleh sedih dan kecewa," ujarnya matang.

Komited dengan jadual perjalanan kariernya, cuti pengajian digunakan sepenuhnya untuk mengisi semua kerja-kerja yang melonjakkan dirinya sebagai pelakon dan penyanyi solo.

Bermula dengan drama 20 episod, Sakinah yang bakal ditayangkan, kemudian dia akan memenuhi masa dengan memasuki studio dan menyiapkan album solo perdananya.

Empat single akan diperdengarkan untuk para peminat dan salah satu adalah tulisan Acha sendiri.

Jadualnya ternyata penuh, bulan ini pulang ke Indonesia menyiapkan drama, bulan Jun akan melancarkan album dan diikuti dengan Ogos dia akan terlibat dalam penggambaran filem bersama Miller.


PELAKON ini sanggup mengambil cuti pengajian untuk memenuhi jadual kerjayanya di Indonesia.


Walau kekok kini bergerak seorang diri kerana sudah terbiasa dengan Irwansyah dahulu, dia mengakui bahawa ini adalah kepuasan yang penuh untuk dirinya sendiri.

Masa yang tepat kini untuk membuktikan bakat yang ada pada dirinya, bukan sekadar gosip murahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: