Monday, May 18, 2009

'Pengisian tak sama'


AKSI tiga pengacara, Hairi Shahrizal Mustafa, Iskandar Ishak dan Anis Azman menggunakan alat berteknologi tinggi dalam dokumentari drama Pemburu Hantu, pasti membuatkan penonton membandingkannya dengan satu rancangan konsep sama terbitan produksi Hollywood, Ghost Hunter.

Ditambah pula dokumentari diterbitkan FM Production untuk siaran Astro Ria, mengisahkan sekumpulan anak muda dilengkapi kemudahan komputer dan gajet berteknologi tinggi dan kamera litar tertutup untuk menjejaki kewujudan aktiviti entiti paranormal (makhluk halus).

Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul ketika sidang akhbar Pemburu Hantu di Sunway Lagoon baru-baru ini, menafikan rancangan itu diilhamkan daripada Ghost Hunter.

"Konsepnya mungkin sama tetapi pengisiannya sangat berbeza. Kalau kita tengok Ghost Hunter, mereka cuba membuktikan bahawa satu-satu tempat yang diperiksa itu tidak berhantu.

"Pemburu Hantu pula bergantung penuh kepada kepercayaan masyarakat yang percaya wujudnya syaitan, makhluk halus, jin, bunian dan sebagainya. Dalam melaksanakan tugas, pengacara Pemburu Hantu tidak menyatakan sama ada tempat yang dilawati itu ada hantu atau tidak.

"Cuma dalam memeriksa lokasi terbabit, biasanya pemburu akan bergantung penuh kepada alatan-alatan digunakan. Dalam erti kata lain, kami cuba membuktikan kewujudan makhluk halus ini menerusi sains metafizik.

"Jika alatan digunakan itu menunjukkan petanda seperti bunyi atau wujudnya visual pada kamera berkuasa tinggi, kita akan tunjukkan kepada pengadu. Kemudian terpulang kepada pengadu untuk menggunakan khidmat pakar agama untuk melakukan sesuatu.

"Ingin saya tegaskan walaupun rancangan ini namanya Pemburu Hantu, tetapi tugas pengacara bukanlah untuk menangkap makhluk halus," katanya.

Musim pertama dokumentari 13 episod ini disiarkan setiap Khamis, jam 11 malam sejak 7 Mei lalu untuk memberi peluang kepada penonton mengalami pengalaman mencabar lagi menyeramkan.

Khairul juga tidak menafikan kepercayaan masyarakat tempatan terhadap perkara ghaib serta minat penonton kepada cerita seram dan mistik, mendorong pihaknya menghasilkan program ini.



Mengenai lokasi dipilih, jelas Khairul produksi bergantung penuh kepada aduan orang ramai. Buat permulaan, sewaktu mengadakan Gempak Desa Astro yang masuk ke kawasan kampung, mereka turut membawa produksi bertanyakan penduduk jika di kawasan berhampiran mempunyai cerita atau mitos membabitkan misteri atau hantu.

"Penonton juga boleh membuat aduan dengan memberikan segala butir peristiwa berlaku secara terperinci dalam laman web disediakan iaitu www.astro/pemburuhantu.com.my.

"Setakat ini produksi Pemburu Hantu sudah pergi ke enam lokasi antaranya tempat pembunuhan Adun Batu Talam 1993, Allahyarham Datuk Mazlan Idris yang dibunuh.

"Mereka juga melawat ke kawasan berhampiran Bukit Antarabangsa yang dipercayai menjadi tempat tinggal hantu pontianak dan kawasan perkuburan di Sungai Buloh yang dipercayai menjadi tempat mangsa tragedi 13 Mei 1969 ditanam," katanya.

Sementara itu Hairi yang juga penerbit Pemburu Hantu menjelaskan, setakat ini dalam enam lokasi yang mereka lawati hanya dua tempat menunjukkan berlakunya aktiviti paranormal.

1 comment:

  1. dia ni ke hairi yg kena tangkap khalwat tu? bonogok tul budak tu berlakon jadi mat bangla!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: