
KUALA LUMPUR - Kesucian sekitar kawasan Masjid India di sini semakin tercemar apabila terus dijadikan sebagai tempat melepak dan markas penagih dadah melepaskan gian.
Sepasukan polis yang menyerbu kawasan itu, Khamis lalu berjaya menahan 46 penagih yang sedang tidur dan leka menghisap dadah di satu kawasan tidak jauh dari belakang masjid tersebut.
Difahamkan, mereka memilih kawasan itu sebagai tempat melepak kerana persekitarannya yang sejuk dan terselindung.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, selain melepak dan tidur, penagih juga kerap mencuri kasut dan selipar jemaah yang datang beribadat di situ.
"Selepas ujian air kencing, kita mendapati seramai 26 penagih berusia antara 21 dan 62 tahun positif dadah dan kini ditahan bagi membantu siasatan.
"Penagih biasanya akan mula berkumpul di situ bermula pukul 5 petang dan mereka menjadikan masjid sebagai tempat tidur selepas menghisap dadah di kawasan yang terletak tidak jauh dari belakang masjid," katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Chez Chiang memberitahu, pihaknya menahan empat sekeluarga yang menjadikan rumah mereka di sebuah flat di Jalan San Peng untuk mengedar dadah jenis heroin pada hari yang sama. Mereka terdiri daripada bapa, dua anak lelaki dan seorang wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: