Friday, May 8, 2009

Langkah baru Mawi




APABILA Maestro Talent menutup operasi bermakna syarikat rakaman Maestro Record juga bungkus dan segala perancangan artis serta album terbitan syarikat rakaman itu beralih tangan kepada Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB).

Biarpun ada kedudukan yang kukuh, Mawi antara yang terkena tempias. Dia sendiri pernah melahirkan kebimbangan terhadap album barunya, Allah Habeebi yang terpaksa ditangguhkan. Segala jentera promosi dan pelancaran album yang dijadualkan terpaksa ditangguhkan.

Tidak mahu dipandang sebelah mata sebagai tidak menjalankan tanggungjawab atau lepas tangan, Astro Entertainment baru-baru ini melangsaikan janjinya dan majlis pelancaran album terbaru Mawi, Allah Habeebi menjadi projek perintis AESB dalam menguruskan artis-artis bekas naungan Meastro.

"Saya harap pengurusan baru ini akan memberikan lebih semangat dan harapan kepada saya. Siapa yang tidak mahu dijaga oleh syarikat yang telus dan jujur, itulah juga harapan saya," jawab Mawi saat ditanya harapannya terhadap agenda pengurusan AESB selepas majlis pelancaran album terbarunya di sebuah hotel lima bintang di ibu negara, baru-baru ini.




Walaupun tersasar daripada perancangan asal seperti yang pernah disebut kononnya akan diadakan di laman masjid dan berkonsepkan kenduri, namun Mawi akur dengan apa yang telah dilaksanakan syarikat pengurusan terkininya.

Pihak AESB sendiri mengakui, selepas pelancaran album Mawi, akan menyusul lagi beberapa agenda lain yang sudah ada dalam perancangan.

"Ini sebagai permulaan dan kami akan pastikan artis-artis bawah pengurusan kami terjaga dan tidak terjejas dari segi jadual serta apa sahaja yang melibatkan karier mereka," kata Pengurus Pengurusan Artis dan Strategi AESB, Norizan Abu Samah.

Berbalik kepada Allah Habeebi, album yang sudah menjengah ke pasaran sejak Februari itu kini terjual sebanyak 15,000 unit. Dalam keadaan ekonomi yang tidak memuaskan, Mawi sendiri merasakan jumlah itu sebagai satu pencapaian yang menggembirakan.

"Saya akui jualannya agak perlahan tetapi bagi saya jualan sebanyak 15,000 unit itu satu berita gembira. Saya sedar mustahil untuk mengembalikan rekod yang diraih menerusi penjualan album terdahulu, The Best Of Mawi World yang memecah rekod misalnya. Saya fikir, peminat masih menerima album berkenaan walaupun tanpa promosi," getus Mawi selamba.

Ditanya mungkinkah penurunan jualan album terbarunya itu ada kaitan dengan popularitinya yang disifatkan semakin merudum, sementelah takhta tiga tahun sebagai Bintang Paling Popular sudah beralih ke tangan orang lain, Mawi berpegang prinsip yang berakar di jiwanya.

"Saya langsung tidak fikir tentang naik-turun populariti kerana saya buat kerja dengan ikhlas. Alhamdulillah, setakat ini masih banyak pihak yang menyokong saya," katanya optimis.

Menambah fakta pencapaian singkat yang diraih Allah Habeebi, album yang menelan bajet termahal dalam sejarah penerbitan album Mawi, sebanyak RM100,000 itu boleh dibanggakan apabila berjaya meraih lebih 50,000 muat turun bunyi dering menerusi penjualan secara digital oleh syarikat-syarikat telekomunikasi.


GEMBIRA kerana akhirnya album terbarunya dipromosikan walaupun tergendala sebelum ini.


"Dua lagu yang paling mendapat sambutan adalah Sujud (featuring KRU) dan Allah Habeebi. Dua lagu berkenaan juga mula masuk carta radio. Itu yang beri semangat kepada saya untuk teruskan dengan pembikinan beberapa klip video tidak lama lagi," ujar Mawi yang turut menyumbang sebuah lirik berjudul Hijab menerusi album terbarunya itu.

Terpanggil menulis lagi selepas lirik pertama yang dihasilkan, Ayah yang dimuatkan dalam album Kompilasi Lagu-Lagu Raya Akademi Fantasia 2007, kata Mawi lirik Hijab mengenai jalan kembali menginsafi diri, mengingati Tuhan Yang Maha Pencipta.

"Saya ambil masa dua tiga hari juga untuk siapkan lirik berkenaan. Saya buat lirik dulu, kemudian baru melodinya dibuat, sebab itulah ambil masa sikit untuk sesuaikan dengan lagu," beritahu Mawi.

Selain Hijab, Allah Habeebi (Farihin/Yassin), Sujud (Edry KRU), album yang turut mendapat sentuhan daripada Roslan Aziz dan menjalani proses adunan akhir di Amerika Syarikat itu turut mengetengahkan lima buah lagu lain termasuklah Serulah Namanya (M. Nasir/Ad Samad), Teman Hakiki (Ku Sham/Dr. Asri) dan Wal-Asri (Pak Long).

Tidak ketinggalan, Mawi turut merakamkan semula dua buah lagu yang terdiri daripada lagu selawat, Tola'al Badru Alaina (featuring Brothers) dan Seroja (Hussien Bawafie).


TENAGA penting di sebalik album Allah Habeebi termasuk M.Nasir, Yassin, Farihin dan Edry.


"Saya rakam semula lagu Seroja memandangkan selalu sahaja ada permintaan terhadap lagu itu, terutama dalam persembahan korporat. Saya fikir ada baik saya masukkan lagu itu sebagai bonus, tapi disampaikan dalam susunan muzik yang berbeza," jelas Mawi menaruh harapan terhadap kejayaan album yang berkonsepkan nasyid dan ketuhanan itu.

Masih meneruskan genre nasyid, kata Mawi, dia cuba mengimbangi konsep lagu dan album yang dihasilkannya. Tidak mengenepikan genre pop memandangkan konsep sebegitu telah diaplikasikan menerusi album terdahulu, Satu Dalam Seribu.

"Saya selesa dengan genre sebegini, nak kata nasyid, ia bukan nasyid yang total, saya boleh kata ia bercorak ketuhanan dan iramanya global. Kira world music, itu yang saya mahukan. Lepas ini mungkin saya akan buat konsep pop pula," tambah Mawi yang tampil berjubah putih menyesuaikan diri dengan aura konsep album terbarunya.


APAKAH aura Mawi sudah goyah? Itu hanya cakap-cakap orang kerana yang pasti Mawi terus gah di persadanya.


Album Allah Habeebi juga tercalon dalam dua kategori menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM16) iaitu Album Nasyid Terbaik dan Lagu Nasyid Terbaik.

Mula sedar tentang strategi untuk bergerak selangkah ke hadapan, Mawi tidak mahu seratus-peratus bergantung kepada syarikat pengurusan.

Pintu pertama yang dibuka Mawi, menerusi syarikat miliknya MW Entertainment, Mawi bakal menerbitkan program Langkah Mawi untuk musim kedua tidak lama lagi. Musim pertama, program berkenaan diterbitkan oleh Astro.

"Saya cuba nak berjinak-jinak dengan bisnes sendiri. Sampai bila nak harapkan orang lain untuk karier kita. Jadi, Langkah Mawi musim kedua akan jadi program TV pertama terbitan syarikat saya. Tidak lama lagi saya akan ke Melbourne, Australia, kemudian Itali dan seterusnya Hong Kong untuk rakaman.




"Saya yang tentukan destinasi, itupun atas beberapa faktor. Saya mahu bercuti sambil bekerja, lokasi yang menarik dan tempat yang bersejarah," kata Mawi yang berkira-kira mahu menerbitkan banyak lagi program TV di kemudian hari.

Baru tahun ini bersedia untuk merangka bisnes dan strategi masa depan secara bijak, kata Mawi, langkah itu bukanlah satu keputusan yang terlewat untuk diambil.

"Selama ini saya sendiripun kelam-kabut dan tidak tahu apa-apa. Tapi tempoh empat tahun sudah banyak mengajar saya, banyak juga kutip pengalaman dan sekarang saya sudah bersedia. Mungkin akan terbitkan filem atau drama pula selepas ini, siapa tahu?" katanya sedikit berseloroh sebelum menutup perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: