Berjaya mengenepikan 11 pencabar yang lain, juara Pencarian Lelaki Kacak Bergaya 2009, Syed Khairul Syed Abdullah menganggap kemenangannya sebagai platform menyertai bidang peragaan.

PADA 9 Mei lalu, bertempat di Saloma Bistro, Ampang, Pencarian Lelaki Kacak Bergaya 2009 anjuran sisipan akhbar popular, Mingguan Malaysia, Pancaindera telah diadakan.
Ruangan Kacak Bergaya yang dahulunya dikenali sebagai Jejaka Minggu Ini diperkenalkan sejak tahun 1995.
Ia bertujuan mencungkil bakat lelaki dalam dunia peragaan, pengacaraan, lakonan mahupun nyanyian.
Antara nama-nama popular yang pernah menyertai ruangan Jejaka Minggu Ini dan Kacak Bergaya adalah pelakon Iqram Dinzly, Danny X-Factor dan Fizo Omar. Selain itu, penyampai radio Suria FM, Tuah Zulkarnain dan ahli sukan seperti Malik Tobias, Zaiful Zainal Abidin serta Shamsuri Ahmad.
Membariskan 12 finalis akhir, program pencarian bakat baru ini membuatkan industri hiburan terus berkembang dengan wajah-wajah baru yang lebih segar.
Mendapat tajaan utama daripada Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., AirAsia, Dzulldeclassique, Gedung Al-Habshee, E-Go Hair & Beauty, Unionbay, Antioni dan Vogue At Work Aleeza Kasim, penilaian yang dibuat bukan berdasarkan wajah kacak semata-mata. Malah, keterampilan yang menawan, perkembangan isu semasa dan mempunyai IQ yang baik.
Syed Khairul Syed Abdullah, 28, berjaya mengenepikan 11 pencabar lain untuk bergelar juara.
Membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta tiket penerbangan tajaan AirAsia ke Perth, Australia, Syed Khairul atau dikenali juga dengan panggilan Roy Daniel juga berpeluang menjadi jurucakap produk kesihatan lelaki Vigor, keluaran Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Menurut Syed Khairul, kemenangan tersebut amat bermakna dalam hidupnya kerana dia pernah menyertai beberapa pertandingan seumpama itu, namun gagal meraih sebarang kejayaan.
"Saya pernah menyertai pertandingan seperti Hero Remaja pada 2001 dan Maskulin pada tahun 2005, tetapi gagal menjadi juara.
"Dari situ, saya memperbaiki kelemahan dan nampaknya rezeki berpihak kepada saya kali ini," katanya kepada wartawan sejurus selepas diumumkan sebagai juara. Sebelum ini, beliau pernah menjadi model sambilan iklan Mr. Potato, Pepsi dan teh Boh.
Tambah Syed Khairul, kemenangannya menerusi program Kacak Bergaya dilihat sebagai platform untuk lebih menyerlah dalam bidang peragaan atau bidang-bidang lain.
Syed Khairul memberitahu, selain memberi tumpuan kepada bidang peragaan dan model, beliau juga mahu mencari peluang berlakon.
"Kalau ada peluang dan tawaran, sudah tentu saya akan mencubanya," kata Syed Khairul.
Pemenang kedua, Mohd. Khairi Mansor, 24, yang menerima RM2,000 dan tiket penerbangan ke Bangkok pula memberitahu, beliau tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi kerana tujuannya menyertai pertandingan itu adalah untuk menimba pengalaman.
"Saya minat untuk menjadi seorang model sejak kecil lagi. Dengan adanya pertandingan seperti ini, ia secara tidak langsung membuka peluang kepada saya untuk bergiat aktif dalam dunia peragaan," kata lelaki yang bekerja sebagai penganalisis teknologi maklumat di salah sebuah syarikat swasta.
Bagi pemenang tempat ketiga, Hairul Azreen Idris, 21, pula beliau yang mempunyai pengalaman sebagai pelakon dan ahli lagak ngeri itu tidak berasa kecewa kerana hanya mampu menduduki tempat ketiga.
Pernah membintangi beberapa buah drama seperti Merah Puteh, Terima Kasih Cikgu, Pontianak Remaja dan Khilaf, ini merupakan pengalaman pertamanya melakukan catwalk di pentas peragaan.
"Ia merupakan satu pengalaman yang hebat. Mula-mula memang gementar tetapi saya perlu lakukan yang terbaik," katanya.
Menerima RM1,000 dan tiket penerbangan ke Phuket, Thailand, Hairul memberitahu, dia ingin berjaya dan terkenal seperti bintang lagak ngeri kesayangannya, Jackie Chan.

Sementara itu, Anugerah Pilihan Juri yang turut menerima tiket penerbangan ke Jakarta pula dimenangi oleh Mohd. Halim Mohd. Shah, 27.
Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan penilaian para juri seperti pelakon; Nanu Baharuddin, pereka fesyen; Radzuan Radzwill, pembantu khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad; Edd Razhe, Presiden Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera; Mahani Awang dan personaliti TV; Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin.
Pertandingan akhir ini turut dihadiri Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud, barisan artis dan persembahan juara MyStarz LG, Wana dan naib juaranya, Nashrin, selain Siti Sarah, Bob (AF2) dan Noryn Aziz manakala Linda Onn bertindak selaku pengacara majlis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: