Sunday, May 24, 2009

Hadapi masalah ciptaan sendiri




KUALA LUMPUR: “Perkahwinan dalam keadaan meragukan bukan jalan penyelesaian terbaik terhadap keterlanjuran pasangan yang bercinta. Ia akan membawa lebih banyak masalah, terutama kepada anak yang dilahirkan.”

Demikian kata Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Profesor Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berhubung tindakan segelintir pasangan yang disifatkan sekadar ‘kahwin main-main’.

Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, lebih memburukkan keadaan jika pasangan terbabit cetek pengetahuan agama kerana ia memberi implikasi negatif kepada anak mereka apabila dewasa kelak.

Katanya, yang wajar dilakukan pasangan terbabit ialah merujuk masalah mereka ke jabatan agama atau berjumpa individu yang boleh memberi bimbingan kepada mereka.


“Apabila seseorang wanita hamil sebelum bernikah, anak berkenaan tetap menjadi anak luar nikah sekalipun mereka berkahwin.


“Jika ini berlaku, mereka perlu tampil ke jabatan agama untuk merujuk masalah mereka, bukan ‘melarikan diri’ dan membuat penyelesaian sendiri.

“Mereka tidak perlu takut dengan masalah yang mereka cipta sendiri dan wajar menghadapinya,” katanya.

Menurutnya, pasangan terlanjur tidak seharusnya memilih jalan pintas dengan melakukan sesuatu secara sesuka hati.

“Walau apapun yang mereka lakukan, mereka tidak dapat menipu dan membelakangkan agama. Perkahwinan adalah persoalan besar dalam agama.

“Ia bukan semata-mata mengesahkan hubungan pasangan terbabit, sebaliknya ada tanggungjawab perlu ditunaikan oleh mereka dan tidak boleh dianggap sebagai ‘main-main’ saja,” katanya.

Beliau yang juga berpengalaman luas menyelesaikan beberapa kes membabitkan individu dan pasangan berhubung masalah berkenaan menyarankan mereka memilih jalan agama sebagai jalan penyelesaian terbaik.

“Hanya itu pilihan yang ada, jangan menipu dengan mencari jalan singkat untuk mendapatkan pengesahan perkahwinan, mahupun mengenai pengesahan status anak.

“Ia membabitkan generasi dan zuriat mereka. Bertaubat dan selamatkan generasi berkenaan dengan memilih jalan lurus,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor, berkata perkahwinan ‘main-main’ bakal mengakibatkan implikasi besar jika anak yang dilahirkan tidak memiliki sijil kelahiran dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, biasanya anak tidak didaftarkan atas sebab perkahwinan ibu bapa yang tidak teratur seperti kahwin di sempadan, kahwin sindiket dan kahwin palsu serta anak tidak sah taraf.

“Untuk kes begini, misalnya anak tidak sah taraf masih boleh didaftarkan melalui pendaftaran lewat kelahiran. Namun, hanya butir pengenalan ibu akan dimasukkan ke dalam sijil kelahiran anak berkenaan.

“Mereka (ibu bapa) boleh memohon pendaftaran lewat kelahiran di mana-mana JPN yang berhampiran. Denda bagi pendaftaran lewat kelahiran tidak melebihi RM50,” katanya.

Menurut Jainisah, jika ibu bapa anak terbabit enggan atau malu mendaftarkan sijil pendaftaran lewat kelahiran, ia akan menyebabkan pelbagai masalah kepada anak itu pada masa akan datang.

“Ia boleh menyebabkan anak berkenaan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, kesukaran urusan persekolahan, tidak boleh mendapat rawatan hospital kerajaan, tidak boleh membuat permohonan untuk berkahwin, sukar menentukan taraf kewarganegaraan dan urusan peribadi seperti membuka akaun bank, hak memiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan insurans,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: