![]() |
Silap 'panggil' boleh undang padah kerana haiwan buas sangka 'makanan' ada berhampiran
KAMI terpaku mendengar dengusan rusa dari jarak kurang lima meter. Cuak juga jika sekumpulan rusa muncul di depan mata. Selepas menoleh bagi mencari punca bunyinya, barulah sedar bunyinya datang dari ketua jurupandu arah kembara meredah belantara di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Stephen Etin Sahya.
Bertugas sejak setahun lalu, Stephen, 55, boleh meniru lebih 20 suara hidupan liar seperti rusa, pelanduk, burung dan pelbagai unggas menggunakan mulut, tangan diletak pada mulut dan meniup daun pokok.
Beliau yang pernah bertugas dengan sebuah pusat peranginan hidupan liar di Lahad Datu, dikatakan satu-satunya jurupandu arah pelancong yang mampu meniru suara hidupan liar di Sabah.
Biarpun sepanjang dua hari kembara tiada hidupan liar yang menghampiri, namun ada yang memberi maklum balas menerusi suara, sekali gus membuktikan suara tiruan itu mampu mengelirukan hidupan liar.
Menceritakan detik awal mempelajari ‘bahasa’ hidupan liar, Stephen berguru dengan dua bapa saudaranya iaitu Garuda Lunggui dan Bambi Unggap sejak berusia tujuh tahun.
Katanya, ketika itu mereka meniru suara hidupan liar sebagai senjata untuk memburu di Hutan Ulu Segama, Lahad Datu yang menjadi habitat semula jadi pelbagai spesies hidupan berkenaan.
"Kami menggali lubang dan memasang jerat sebelum meniru suara pelbagai hidupan liar. Boleh dikatakan kami jarang pulang dengan tangan kosong," katanya.
Mengakui bukan mudah meniru suara hidupan liar, Stephen mengambil masa berbulan-bulan untuk mempelajari dan mempraktikkannya tanpa mengenal erti jemu sebelum tiba ke tahap sekarang.
Beliau berkata, kesilapan meniru suara haiwan boleh mengundang padah kerana ada ketikanya binatang buas lain yang muncul.
"Kita perlu berhati-hati kerana khuatir binatang buas menyangka suara tiruan itu bunyi haiwan yang bakal menjadi mangsa dan akan mencari kedudukan suara berkenaan, sekali gus mendedahkan kita kepada bahaya," katanya.
Beliau berkata, mendiang Bambi dan Garuda pernah berpesan bahawa meniru suara haiwan boleh menjadi sumber pendapatan pada masa depan. Ternyata pesanan itu ada kebenarannya.
Stephen tidak menyangka ilmu rimba berkenaan berupaya membentuk kerjayanya sebagai jurupandu arah pelancong dan bertemu dengan pengunjung dari seluruh dunia.
Katanya, Bambi yang juga bekas Ketua Kampung di Ulu Segama pada era pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) pada awal kemerdekaan, adalah rakyat tempatan pertama menjadi pemandu pelancong di Lahad Datu.
"Bapa saudara saya dipilih kerana kebolehan mengesan laluan hidupan liar dan berkomunikasi dengan haiwan berkenaan. Dialah idola saya untuk menceburi kerjaya sama.
"Saya mahu mewariskan kemahiran ini kepada anak, sayangnya tiada yang berminat. Besar kemungkinan, saya adalah generasi terakhir mewarisinya," katanya sambil mengakui ramai pelancong teruja apabila melihat hidupan liar menghampiri ketika beliau meniru suara haiwan tertentu.
Katanya, pelancong seperti tidak percaya berdepan dengan hidupan liar seperti gajah pigmi dan rusa sehingga terlupa mereka berada dalam belantara.
"Saya terpaksa menenangkan mereka kerana bimbang kalau ada yang terlupa aspek keselamatan diri," katanya.
Mengenai kehadiran pelancong paling ramai ke Tabin Wildlife Resort, Stephen berkata, tempoh paling sibuk ialah Julai, membabitkan pengunjung dari Eropah dan Jepun yang menghabiskan cuti musim panas di negara mereka.
Katanya, ada juga pelancong tidak mahu diiringi jurupandu kerana mendakwa hutan di negara mereka lebih mencabar.
"Biasanya, mereka tersesat dan akhirnya terpaksa meminta pertolongan kita," katanya sambil ketawa.
PROFIL: Stephen Etin Sahya
Umur: 55 tahun.
Asal: Ulu Segama, Lahad Datu.
Tarikh lahir: 21 Disember 1954.
Pekerjaan: Ketua Jurupandu Tabin Wildlife Resort.
Isteri: Kasih Bakig.Anak: Enam orang berusia 11 hingga 31 tahun.
Info: Stephen Etin Sahya

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: