Thursday, May 14, 2009

Ekin tidak tahu


Gosip dakwa isteri Mawi bakal ganti tempat Puteri Sarah dalam filem Aduh Saliha

SEHINGGA kini masih belum ada sebarang khabar mengenai filem Aduh Saliha arahan M Nasir bakal menyambung kembali produksi yang tertangguh hampir dua tahun lalu.

Filem terbitan The Cameracrew Productions Sdn Bhd, membariskan Mawi sebagai tunjang utamanya bergandingan dengan pendatang baru Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin. Filem yang skripnya dihasilkan penulis lirik terkenal, Allahyarham Loloq dikatakan tertangguh berikutan masalah kewangan.

Sebelum itu, produksi tidak dapat dimulakan kerana M Nasir amat teliti memilih pemegang watak Saliha. Pencarian watak utama itu saja memakan masa hampir setahun sehinggalah Puteri Sarah ditemui. Di lokasi pula M Nasir dikatakan amat cerewet menyebabkan penggambaran hanya berjaya disiapkan kira-kira 20 peratus saja sebelum ia terhenti.

Setelah sekian lama tiada sebarang khabar mengenai filem Aduh Saliha, baru-baru ini timbul cerita bahawa filem itu bakal menyambung kembali penggambarannya. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba nama isteri Mawi, Ekin pula menjadi sebutan bakal menggantikan tempat Puteri Sarah.

Bagaimanapun berita mengenai pemilihan Ekin itu ternyata mengejutkan pasangan suami isteri ini. Ketika dihubungi, pasangan itu menyatakan mereka langsung tidak tahu menahu mengenai tawaran berkenaan.

Malah selaku pemegang watak utama, Mawi sendiri berkata dia tidak menerima sebarang berita daripada syarikat produksi itu.

“Setakat ini saya tak tahu pun mengenai tawaran watak Saliha untuk Ekin. Memang kami langsung tidak dapat apa-apa berita mengenai itu. Saya juga tidak mendengar sebarang berita mengenai produksi filem itu yang akan disambung.

“Jika benar mereka mahu menawarkan watak itu kepada Ekin, saya dan isteri harus berbincang dulu. Sebenarnya saya tiada masalah jika Ekin hendak berlakon kerana minatnya ke arah itu tetapi kami perlu berbincang,” katanya.

Ekin yang dihubungi secara berasingan berkata, dia juga tidak mendengar sebarang berita mengenai tawaran watak Saliha. Sekiranya benar watak itu diberikan kepadanya, dia juga mahu berbincang dengan suaminya terlebih dulu mengenainya.

Ekin yang pernah membintangi drama bersiri Kawan berkata, dia tiada mempunyai masalah untuk kembali beraksi di depan kamera tetapi imejnya dengan Puteri Sarah berbeza memandangkan dia bertudung.

“Saya perlu berbincang dengan Mawi terlebih dulu jika benar berita mengenai tawaran berkenaan. Saya tidak tahu sebarang cerita dan tidak pernah pula mendengar mengenai desas desus perkara itu.

“Cuma saya kena tanya Mawi bagaimana watak Saliha, saya bimbang orang membezakan saya dengan Puteri Sarah kerana imej kami berbeza. Memandangkan sudah lama saya tidak berlakon, kali pertama dan terakhir untuk siri Kawan hampir tiga tahun dulu jadi saya kena fikir betul-betul mengenai tawaran itu.

“Kalau ikutkan saya memang minat berlakon tetapi dengan status sekarang, saya perlu mengambil kira suami dan juga rumah tangga. Jika makan masa sehari suntuk, saya sukar sikit untuk terima. Selepas siri Kawan, ada juga beberapa tawaran yang saya terima tetapi terpaksa ditolak kerana waktu yang tak kena. Salah satu daripadanya kerana bertentang dengan tarikh perkahwinan saya,” kata Ekin yang kini berada di Melbourne selama 10 hari mengikut Mawi menjalani penggambaran Langkah Mawi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: