Thursday, May 14, 2009

Sanggup jadi nenek

Normala bakal muncul dalam program yang menggunakan namanya sebagai judul di TV1 jam 3 petang, Ahad

SEKALI pandang tiada siapa menyangka nenek tua yang terketar-ketar sambil duduk mencangkung di hadapan tangga rumahnya itu, suatu ketika dulu ada seorang yang sangat dikenali ramai.

Sambil meniup api yang menyala kecil, tangannya yang memegang sudip, perlahan-lahan mengacau isi periuk yang agak menggelegak. Dia tidak menghiraukan orang lain yang lalu lalang di sekelilingnya.

Dengan rambut beruban dilitupi dengan selendang yang agak lusuh itu, dia begitu sabar dengan menyediakan ramuan istimewanya iaitu bahan kecantikan asli. Ini mungkin sesuai dengan penampilannya ketika ‘muda’ yang cukup dikenali kerana kecantikannya.

Itulah antara segmen Bersama Nenek dalam program terbaru yang menyaksikan kemunculan semula Datin Seri Normala Samsudin dalam program Bersama Normala Samsudin yang bakal disiarkan pada 17 Mei ini menerusi TV1 jam 3 petang.

Mungkin ada rahsia di sebalik kemunculannya kembali selepas hampir tujuh tahun tidak muncul di televisyen. Normala kini dilihat semakin berseri dengan susuk tubuh yang ramping dan gaya penampilan berselendang di kepala.

Ibu kepada tiga anak ini biarpun sudah berusia 45 tahun, namun semakin terserlah keayuannya apabila tampil berbaju kurung moden berwarna coklat yang dilihat sangat sesuai dengan tona kulitnya.

Dulu ramai juga yang menyangka Normala tidak akan aktif lagi bergelar personaliti TV selepas bersuamikan bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid pada 25 Ogos 2005.

Namun selepas segala urusan keluarga termasuk tiga orang anak hasil perkahwinan pertamanya, Ashraf, 21, yang kini menuntut di Australia; Ruhila, 17, dan Rubila, 15, masing-masing belajar di sekolah berasrama penuh selesai, niat untuk ‘come back’ disuarakan kepada suami tercinta.

Bagaikan orang mengantuk disarungkan bantal apabila impiannya untuk mengendalikan program wanita disambut baik suaminya.

Menurut Normala, sebelum ini pun, suaminya tidak pernah menghalang dirinya bergiat aktif dalam bidang yang diceburinya tetapi kesibukan masa mengurus rumah tangga menjadi faktor utama dia meninggalkan kerjayanya buat seketika.

“Tiada siapa yang menghalang untuk saya terus bergiat dalam bidang yang saya minati ini. Suami sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk membuat apa saja yang dirasai pakar dalam bidang saya seperti bidang pengacaraan televisyen.

“Malah bagi program wanita ini pun dia turut banyak memberi idea dan sokongan untuk saya terus melakukannya. Lebih lagi semua anak saya kini sudah tidak tinggal di rumah kerana menyambung pelajaran di dalam dan luar negara,” katanya yang kini hanya tinggal berdua saja bersama suami di rumah.

Suatu masa lalu, media pernah melabelkan dirinya sebagai Wanita Melayu Terakhir dan tidak hairanlah program yang menceritakan perihal wanita berjudul Bersama Normala Samsudin memilih dirinya untuk mengendalikan siri 26 episod itu.

“Saya memang meminati apa saja program berkaitan wanita, bersesuaian dengan diri saya yang juga sebagai isteri dan ibu serta merasai segala yang pernah dilalui wanita di dunia.

“Banyak ilmu pengetahuan yang boleh ditimba melalui program wanita ini, selain mengetahuinya dari internet, buku dan sebagainya ketika membuat penyelidikan, saya juga banyak menimba daripada pakar yang diundang di studio.

“Secara tidak langsung saya sendiri mendapat faedahnya mengendali program ini dan dengan itu juga akan saya sumbangkan apa yang saya peroleh untuk diberikan kepada penonton,” katanya.

Kemunculan semula Normala tidak dilihat sebagai persaingan kepada program yang sedia ada memandangkan segala permasalahan wanita merujuk kepada perkara yang sama.

“Bagi saya tidak banyak bezanya program ini dengan program wanita yang sedia ada kerana semuanya membincangkan perkara yang sama, namun yang membeza adalah pendekatan yang dipaparkan.

“Setiap episod akan membincangkan sesuatu subjek yang akan difokus secara menyeluruh. Program ini juga akan menyelitkan elemen dramatik pada segmen Nenek yang akan memberi petua orang lama yang meliputi semua benda terhadap wanita,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya, M Nazri Juhan berkata, program seumpama itu mempunyai ramai pengikut dan sentiasa ada permintaan, justeru ia memberi lebih warna kepada setiap program berbentuk majalah wanita yang rata-ratanya diterbitkan hampir setiap saluran TV di negara ini.

“Saya percaya kelainan kepada program ini adalah disebabkan pengacaranya sendiri. Saya pasti ramai yang sudah lama tidak melihat Normala di kaca televisyen dan kini dia kembali.

“Berbekalkan dengan pengalaman yang ditimba suatu masa lalu ketika mengendalikan program Nona, Normala mempunyai sesuatu yang istimewa mengendalikan program umpama ini.

“Ini juga adalah program pertamanya bersama RTM yang akan memulakan episod pertamanya pada 17 Mei ini setiap Ahad jam 3 petang menerusi TV1.

“Program ini akan disertai ramai tetamu jemputan yang terdiri daripada artis tanah air yang akan berkongsi pengalaman hidup dari pelbagai sudut. Antara mereka adalah seperti Datin Rosnani Jamil, Azean Irdawaty, Enot, Fauziah Nawi, Zahida Rafik, Rozita Che Wan, Nadia Mustafa, Ekin, Linda Jasmine dan Que Haidar,” katanya.

Semangat Kak Yan tak pernah pudar

UMUM mengetahui dugaan yang dilalui pelakon terkenal, Azean Irdawaty dalam usaha dan semangatnya melawan kanser yang dihadapinya memberi satu hikmah yang tidak disedari.

Sepanjang hidup bertemankan kanser yang menyerangnya, tidak pernah pula dibiarkan perasaan kecewa, sedih atau hampa menguasainya dirinya kerana baginya itu adalah racun yang akan memakan semangat untuk beliau untuk terus dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.

Baginya ia suatu hikmah yang tidak disedari orang lain selepas melihat masih ada ruang dan tempat untuk diri bertapak di hati masyarakat.

“Sejak melalui dugaan yang berat buat diri Kak Yan ini, saya cuba melawan penyakit ini dengan semangat yang ada dalam diri Kak Yan. Alhamdulillah Kak Yan dapat merasakan perubahan dengan semangat itu.

“Bukan saja semangat itu memberikan kekuatan untuk Kak Yan melawan penyakit, malah semangat yang ada dalam diri Kak Yan ini diperlukan oleh orang lain yang turut mengidap penyakit yang sama.

“Alhamdulillah selepas tidak lagi aktif dalam bidang lakonan, Kak Yan sering kali diundang untuk memberi ceramah kepada pesakit lain mengenai bagaimana Kak Yan menangani penyakit itu.

“Tidak bererti apabila Kak Yan mengidap penyakit itu, mata pencarian Kak Yan akan hilang, malah selepas difikirkan kembali, kehidupan Kak Yan tidak pernah dilupakan oleh masyarakat. Ada saja insan yang mengundang Kak Yan termasuk stesen TV untuk memberikan ceramah berkaitan kanser atau cara Kak Yan menangani penyakit,” katanya.

Selepas 34 tahun menceburi bidang lakonan, Azean sudah melalui pelbagai onak ranjau yang menguji tahap kesabarannya, namun sedikitpun tidak dirasai membebani hidupnya hingga kini.

Jika ditanya kepada seniman atau seniwati lain yang melebihi tiga dekad dalam bidang ini, nescaya perasaan rindu untuk ke pentas wayang pasti wujud, cuma bergantung kepada kekuatan dan kesihatan diri. Soalan itu turut diajukan kepada Azean yang sudah dua tahun setengah meninggalkan dunia lakonan.

“Terus terang Kak Yan tidak merindui untuk berlakon lagi. Sejak ini pun Kak Yan masih menerima tawaran berlakon tetapi Kak Yan tolak disebabkan Kak Yan tidak betul-betul sihat sepenuhnya. Kak Yan tak nak disebabkan Kak Yan orang lain akan mendapat susah disebabkan kesihatan Kak Yan.

“Biarlah Kak Yan betul-betul sihat dan mampu untuk berjalan kembali kerana baru-baru ini Kak Yan terjatuh dalam bilik air dan kaki kanan Kak Yan retak. Namun sekiranya ada tawaran berlakon menggunakan kerusi roda atau seperti yang Kak Yan berlakon dalam Taletime hanya berbaring saja di katil, Insya-Allah Kak Yan akan terima,” katanya yang ditemui pada rakaman program Bersama Normala Samsudin yang turut menjadi artis jemputan pada program itu.

INFO: Bersama Normala Samsudin

  • Rancangan berkonsepkan majalah wanita ini menampilkan 26 episod selama 30 minit setiap episod.
  • Episod pertama disiarkan 17 Mei, setiap Ahad, jam 3 petang menerusi TV1.
  • Produksi terbitan MS Team Sdn Bhd menyaksikan Normala juga sebagai penerbit eksekutifnya.
  • Mengutarakan tag line - `Warna Sari Kehidupan Wanita', rancangan diarahkan Jet Li dan skrip Wan Shahida, manakala Sherry Sidek sebagai penerbit.
  • Bersama Normala Samsudin turut menampilkan kreativiti berbeza apabila mempunyai segmen Bersama Nenek yang menyajikan pelbagai petua turun-temurun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: