"Saya benar berharap agar dengan kehadiran Jamal yang ’baru’ ini, peminat tidak lagi malu untuk mengakui bahawa mereka merupakan peminat saya, peminat Jamal" – JAMAL ABDILLAH

TANGGAL 7 Mei 2009 memberi seribu erti buat Jamal Abdillah, tanda genap 50 tahun dia bernafas di bumi ciptaan Ilahi ini. Menyedut udara pada hari kelahiran yang datang kali ini, seolah-olah ada sesuatu yang istimewa yang tidak terucap oleh Jamal.
Nalurinya tersentuh namun cepat-cepat perasaan itu dipendamkan dalam-dalam. Seketika kemudian, dengan bahasa yang paling jujur, ada bibit-bibit kata terluah dari bibirnya. Jamal mula larut dalam pengakuannya.
"Sepatutnya dalam usia seperti sekarang, saya sudah menggapai segala kemewahan dan kekayaan wang ringgit mahupun harta benda. Namun, apa yang saya capai pula adalah sebaliknya, sesuatu yang lebih bererti berbanding kekayaan material.
"Saya sudah mencapai dan melalui satu perjalanan yang panjang untuk menjadi manusia yang waras dan berilmu. Saya bertekad mahu memulakan segala-galanya walaupun agak terlambat," lirih Jamal mentafsir erti 50 tahun yang telah berlalu dalam hidupnya.
Bunyinya persis ada percikan penyesalan tapi penuh iltizam. Semangat di jiwa lelaki kelahiran Teluk Intan ini, nyata sedang marak membakar segala noda yang pernah bernanah di tubuhnya.
Entah matanya berkaca atau tidak, semuanya tersembunyi di sebalik kaca mata hitam yang melekat di wajahnya. Jamal memang begitu, tanpa kaca mata hitam, dia mungkin kekok meluahkan isi hati. Kaca mata hitam itu juga pelengkap aksesori Jamal.
Paling menusuk kalbunya, penyanyi yang didaftarkan nama penuhnya sebagai Jamal Ubaidillah ini menyifatkan penerimaan masyarakat dan peminatlah yang menjadi tunjang kekuatannya untuk terus berdiri sebagai anak seni, walaupun entah berapa kali dia tersungkur jatuh, hingga hampir mengucapkan selamat tinggal kepada karier nyanyian.
"Saya juga amat bersyukur kerana dalam usia begini, usia emas kata orang, saya masih diberikan ruang dan peluang, masih juga diberikan penghargaan atas kerja-kerja seni saya. Itu yang paling menyentuh perasaan saya sebenar," ujar Jamal lagi.
Ditanya, selain tentang karier seni apa lagi keinginan peribadi yang masih tidak terlunas olehnya, menurut Jamal, fokusnya sekarang adalah untuk diri sendiri. Bukan mahu membangga diri bagaimanapun kata Jamal, dia menganggap dirinya tetap satu daripada aset negara.
"Buruk atau hitam, saya tetap lambang iktibar kepada orang lain. Ini membuktikan kesukaran bukanlah penghalang untuk seseorang itu mencapai apa yang dimahukan. Saya reda dan tidak mudah melenting, itu prinsip hidup saya pegang sehingga ke hari ini.
"Saya benar berharap agar dengan kehadiran Jamal yang 'baru' ini, peminat tidak lagi malu untuk mengakui bahawa mereka merupakan peminat saya, peminat Jamal," ujarnya.
Itu bukan satu fakta, tetapi tidak mustahil perasaan itu ada dalam fikiran segelintir peminat, mungkin golongan berkedudukan atau berstatus.
"Saya cuma guna pandangan peribadi, kalau saya sendiri boleh tidak mahu mengaku kepada orang ramai tentang artis yang saya minati kerana artis itu berperilaku yang teruk, tak mustahil ada yang berpandangan begitu terhadap saya. Mereka tidak salah," katanya yang benar-benar terkesan kerana hasratnya untuk merakamkan sebuah konsert muzikal di Istana Budaya (IB) akan menjadi kenyataan menjelang 5 hingga 9 Ogos 2009.

Bagi penyanyi yang baru muncul dengan album baru, Tidak Hilang Cinta itu, konsert bergelar Jamal...Kembara Seni itu satu rakaman semula sebuah perjalanan yang dirintisnya, dari saat kelahiran, zaman remaja, mula bergelar artis, suka dan duka yang dirasai, kejayaan, kesedihan serta kesunyian Jamal sejak 30 tahun bergelar hamba seni.
"Konsert itu juga satu bonus, tanda cinta saya kepada peminat yang selama ini menyokong saya. Untuk konsert muzikal itu nanti, tidak hanya lagu-lagu lama yang akan dinyanyikan. Saya akan sampaikan dua atau tiga daripada lagu menerusi album baru saya menjelang konsert itu nanti.
"Walaupun ia sebuah kembara saya, kembara kisah sebenar saya tapi saya tetap akan memilih kisah-kisah tertentu yang tidak diketahui oleh peminat, mungkin juga kisah yang tidak pernah didengar oleh masyarakat. Contohnya kenangan ketika saya baru dilahirkan atau kesedihan yang saya tanggung ketika bersendirian di bilik," jelas Jamal tentang perjalanan konsert yang berkonsepkan muzikal itu.
Memandangkan ia sebuah konsert muzikal, bajet yang dirangkakan bagi menjayakan konsert ini juga lebih besar daripada konsert biasa.
"Pihak IB ada peruntukan tapi tidaklah sebesar mana sebab seperti yang diketahui umum, bajet muzikal akan lebih besar daripada konsert biasa. Bagi mencantikkan konsert Jamal kelak, kalau ada pihak yang sudi menghulurkan penajaan, itu sangat kami alu-alukan. Inilah masanya untuk membuktikan sokongan kepada anugerah seni Jamal selama ini," ujar Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani pada majlis sidang media pengumuman konsert Jamal... Kembara Seni di IB, Khamis lalu.
Sengaja juga, majlis sidang media itu dirancangkan pada tarikh hari kelahiran Jamal, suasana majlis menjadi sedikit sentimental. Selain ada acara memotong kek, hidangan untuk tetamu dan media tidak seperti lazimnya.

Petang itu, semua disajikan dengan kudapan tradisi seperti pisang rebus, lempeng pisang serta lempeng gandum lengkap dengan kelapa parut serta sambal udang. Semua menu tradisi itu disediakan atas permintaan Jamal yang mahu menghirup suasana kampung di hari kelahirannya.
"Sebenarnya bukanlah sengaja saya rancangkan tarikh hari jadi saya untuk sidang media hari ini, ini semua perancangan IB dengan pengurusan syarikat saya, Bintang Channel. Ikutkan hati, segan untuk saya sebutkan tentang hari jadi pada usia begini," kata Jamal yang masih belum memutuskan nama-nama artis yang bakal terlibat sebagai sokongan bagi menjayakan konsert muzikalnya kelak.
"Cuma buat masa ini saya boleh umumkan nama Salleh Yaakob, dia akan bersama-sama menjayakan lakonan sempena konsert saya nanti. Saya juga sudah maklumkan kepada Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Datuk Ahmad Nawab, rasanya tidak akan timbul sebarang masalah," kata Jamal yang menggunakan khidmat kenalan lamanya, Azman Azhar sebagai Pengarah Persembahan untuk konsert Jamal... Kembara Seniman nanti.
Konsert itu juga bukan konsert pertama Jamal di IB, sebelum ini Jamal pernah mengadakan konsert solonya berjudul One Night Only pada tahun 2006. Konsert selama tiga malam itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.
Sebab itulah, perancangan awal konsep konsert berkenaan bertukar menjadi muzikal dan dilanjutkan persembahan daripada tiga malam menjadi lima malam.
"Jamal datang membawa hasrat itu ke IB sekitar tiga bulan lepas, kebetulan IB pula dalam proses untuk penjenamaan semula. Untuk sekadar konsert yang biasa rasanya IB tiada alasan untuk memberikan Jamal peluang, tapi apabila konsepnya dikembangkan menjadi muzikal dan rakaman kisah benar, rasanya inilah konsert pertama seumpama itu yang akan dipersembahkan dalam muzikal tempatan," tambah Juhari penuh yakin dengan penganjuran konsert anak seni senegerinya itu kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: