Monday, May 18, 2009

Dengarnya...: Bohsia terus meletup


CIK NORMAH tumpang bangga dengan anak bujang Datuk Yusof Haslam, yang nampaknya makin menjadi-jadi dalam dunia penghasilan filem. Maklumlah selepas filem sulungnya, Evolusi KL Drift memungut RM4.5 juta apabila ditayangkan tahun lalu, kini filem keduanya, Bohsia, sudah pun mencatat RM4.2 juta selepas 21 hari tayangan.

Ketika ini, Syamsul Yusof khabarnya sibuk dengan kerja pasca produksi filem ketiga arahannya, Evolusi KL Drift 2. Kalau sempat, dapatlah filem itu ditayangkan pada penghujung tahun nanti. Silap hari bulan, boleh cecah RM10 juta filem sekuel yang dilakonkan Syamsul, Aaron dan Scha.

Macam manapun, Cik Normah dimaklumkan, filem Bohsia masih lagi ditayangkan di beberapa pawagam seluruh negara. Peminat pun masih berbaris untuk menonton filem lakonan Syamsul, Nabila, Salina Saibi dan Shaheizy Sam. Kawan-kawan Cik Normah yang sudah menonton filem itu pun memuji hasil kerja pemuda berusia 25 tahun ini.

Kalaulah Bohsia diberikan klasifikasi U, Cik Normah rasa, lebih banyak kutipan boleh dilakukan filem terbitan Skop Productions dengan kerjasama Grand Brilliance ini. Ramai juga ibu bapa dan remaja yang tak dapat masuk, walaupun sudah membeli tiket, kerana mereka tidak sedar filem berkenaan untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas saja.

Cik Normah dengar, Syamsul sangat seronok dengan perkembangan sambutan terhadap filemnya itu. Sambil bergurau dia berkata, bolehlah dia simpan sedikit hasil kutipan terbabit, untuk dijadikan wang hantaran kahwin.

Aik? Sudah nak kahwin ke Syamsul? Yalah, Cik Normah diberitahu, ramai juga gadis dan wanita muda yang ingin mencuri hati Syamsul, selepas dia putus cinta dengan seorang pelakon cantik beberapa bulan lalu. Tapi, kalau boleh, kata jejaka ini, dia tak mahu mempunyai mana-mana hubungan cinta istimewa dalam masa terdekat ini. Biarlah dia berehat seketika daripada alam cinta, untuk memberikan fokus kepada dunia filem.

Kata Syamsul juga, dengan sambutan baik diberikan peminat, maknanya dia masih terus berpeluang untuk mengarahkan filem pada masa depan. Dia sebenarnya teringin menghasilkan filem komedi romantik, sebelum berakhirnya tahun 2009 ini. Ambil Cik Normah jadi heroin, boleh?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: