Monday, May 25, 2009

Aleesya bikin Emran buntu


IMPIAN termakbul. Kebahagiaan Erra dan Emran semakin mekar dengan kehadiran Aleesya.


BUKAN mudah untuk menjadi seorang bapa, apalagi bila baru sahaja mendapat anak pertama. Terpaksa mendengar tangisan anak hampir setiap hari dan kena pula melayan ragam isteri yang masih lagi berpantang, kecekalan dan kekuatan diri amat diperlukan.

Terus sahaja dugaan yang diterima menjadi pengajaran dalam mendidik diri untuk menjadi seorang insan yang lebih penyabar.

Itulah perasaan yang dialami suami selebriti popular, Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal yang kini menjadi bapa kepada anak sulungnya, Engku Aleesya Engku Emran.

Emran sendiri mengakui banyak perubahan yang berlaku pada dirinya sejak Aleesya lahir di dunia ini. Bagi Ketua Pegawai Operasi Suria FM itu, Aleesya bagaikan seorang pendidik kepadanya serta Erra dalam menjadi seorang ibu dan ayah.

"Jujurnya, Aleesya banyak mengajar saya erti kesabaran dan tidak pentingkan diri. Lebih-lebih lagi bila dia meragam dan menangis, saya dan Erra seperti sebuah kumpulan yang sedang memikirkan strategi untuk mendiamkannya.

"Pening juga pada awal kelahiran Alesya, sebab dia kuat menangis. Saya dan Erra sampai menjadi buntu dibuatnya. Maklumlah, kami pun tidak biasa dengan situasi begini.


INDAH dan eksklusif. Majlis aqiqah dan cukur jambul Aleesya meraih tajaan teman-teman rapat Erra dan Emran.


"Tapi ia satu pengalaman yang begitu bermakna dalam hidup kami. Sejak Aleesya muncul dalam hidup kami juga, saya rasa seperti mempunyai keluarga yang begitu sempurna," tuturnya selepas majlis aqiqah dan cukur jambul Aleesya di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail Sabtu lalu.

Ketika Emran dan Erra ditemu bual, Aleesya sedang tidur lena dalam dakapan bapanya itu. Emran juga kelihatan seperti tidak kekok mendukung anaknya yang sudahpun mencecah dua bulan itu.

Tambah Emran, oleh kerana kesihatan Erra masih lagi belum pulih sepenuhnya, Aleesya dijaga bergilir-gilir dengan isterinya itu.

Ditanya pula siapa yang banyak menjaga si kecil itu, Erra pula menyampuk sambil berseloroh: "Masa Aleesya tak meragam, dia (Emran) yang seronok sangat main-main dan jaga Aleesya. Tapi bila Aleesya menangis, dia bagi balik dekat saya pula (ketawa)."

"Eh! Mana ada. Bila nak tukar lampin awak pun bagi Aleesya dekat saya kan," seloroh pula Emran sambil tersenyum.

"Oh, mengungkit ya," balas Erra. Sempat lagi pasangan ini berdrama manja seketika. Menurut Erra, Emran perlu diberikan pujian kerana banyak membantunya dari segi penjagaan kebersihan Aleesya.

"Tapi, saya patut beri pujian buat dia (Emran) sebab selalu tukar lampin dan menjaga kebersihan Aleesya," ujar Erra yang manis mengenakan jubah dan selendang berwarna merah jambu.

Erra kurangkan jumlah anak?

Jika sebelum ini, Emran dan Erra pernah membuat kenyataan tentang keinginan mereka untuk mendapatkan empat orang anak, kini Erra pula mahu memikirkan semula tentang keinginan mereka itu.

Mungkin kerana masih lagi trauma dengan pengalaman sewaktu melahirkan Aleesya, Erra seperti mahu mengurangkan perancangan mendapatkan empat orang anak.


APA yang mahu dilakukan Erra saat ini adalah untuk menjaga Aleesya dengan baik.


Apa yang dimahukan Erra kini adalah untuk menjaga Aleesya sebaik yang mungkin dan belum mahu memikirkan tentang perancangan anak kedua.

"Buat masa ini, biarlah saya rehat sekejap. Tentang perancangan mahu empat orang anak itu, mungkin saya mahu kurangkan jumlahnya (ketawa). Rasa sakit bersalin pun masih tak habis lagi. Nanti-nantilah ya," selorohnya sambil memandang suaminya yang asyik membelai Aleesya.

Emran pula menggelengkan kepalanya sambil tersenyum berkata, "Nak empat juga. Tak kira."

Aleesya masih lagi lena dalam dakapan Emran. Mengenakan baju berwarna putih tajaan Lynda Rahim, wajah Aleesya begitu comel, persis ibunya.

Erra dijaga rapi

Sementara bagi ibu Emran, Salmah Abu Bakar, 64, yang sudah pun memiliki empat orang cucu termasuk Aleesya, pengalamannya menjaga anak-anak serta cucu sudah biasa buatnya.




Apatah lagi dia merupakan bekas jururawat di bawah Kementerian Pertahanan, Erra dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh.

"Siapa yang tidak seronok bila mendapat cucu. Oleh kerana sebelum ini dia pernah keguguran sekali, saya memastikan Erra dijaga sebaik yang mungkin secara bergilir-gilir dengan ibunya.

"Dari segi penjagaan kesihatannya juga, saya menggunakan cara tradisional dan moden, asalkan Erra dapat sembuh dan sihat cepat. Aleesya pun tidaklah kuat sangat meragam dan dia juga senang dijaga," katanya.

Biarpun hanya dapat meluangkan masa sepenuhnya bersama selama seminggu sahaja, ibu Erra, Azizah Zaid, 54, pula turut membantu menjaga Erra.

Ditambah pula Aleesya merupakan cucu pertamanya, Azizah begitu bersemangat dalam hal penjagaan bayi.

"Walaupun hanya seminggu, saya akan memastikan Erra mengikut segala peraturan cara tradisional ketika berpantang supaya lukanya cepat sembuh.


RAUT wajah Aleesya banyak menyerupai wajah Erra.


"Selain itu, saya ada juga menurunkan sedikit ilmu kepada Erra dalam hal penjagaan bayi. Alhamdulillah, dia pun sudah boleh sesuaikan diri menjadi seorang ibu," ujarnya.

Majlis dirancang ketika hamil

Bertuah Aleesya kerana memiliki ibu dan ayah yang begitu peka terhadapnya.

Sehinggakan majlis cukur jambul dan aqiqah ini sudahpun dirancang sebelum Aleesya lahir lagi.

Apalagi mendapat tajaan daripada teman-temannya, Lynda Rahim serta Emilia Wati Uzir (Cradel 'n' All), segala perjalanan majlis ini telahpun berjalan dengan lancar.

"Nak ikutkan, tentang majlis ini, saya cuma bantu sikit-sikit sahaja. Rasa terharu sangat bila melihat dekorasi pelamin Aleesya yang begitu kreatif dan cantik.


IBU Emran, Salmah (kanan) bertanggungjawab menjaga Erra ketika dalam tempoh berpantang.


"Sebenarnya majlis ini memang dirancang semasa hamil lagi, cuma dari segi persiapan majlis kami baru saja bincangkan.

"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka dengan hadiah yang mereka berikan kepada Aleesya," tuturnya.

Menurut Emran pula, dia juga tidak sangka majlis yang bertemakan merah jambu dan putih itu tampak indah dan eksklusif sekali.

"Sampaikan Erra bagi komen, perkahwinan kami pun tak secantik pelamin Aleesya," seloroh Emran sambil menjeling isterinya.

Selain itu, majlis tersebut turut dimeriahkan oleh teman-teman artis yang hadir yang antaranya ialah Umie Aida, Zahida Rafik, Zarina Zainuddin serta Zaibo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: