|
|
SETIAP hujung tahun, pasti guru vokal terkenal, Shafizawati Shariff, 33, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shafi ini menganjurkan pelbagai bengkel tertentu bagi membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat mendalami teknik serta ilmu berkaitan vokal.
Bengkel selama lapan jam antara pukul 10 pagi hingga 6 petang yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 12 Disember ini selain memberi pendedahan terhadap vokal adalah untuk memupuk minat golongan muda terhadap muzik.
Bertemu Shafi di Shafi Vocal School (SVS) yang terletak di Desa Melawati baru-baru ini, memberitahu bengkel tersebut terhad untuk 50 peserta sahaja dengan bayaran RM150 setiap seorang.
"Ini bukan kali pertama saya buat, boleh dikatakan setiap tahun memang saya akan anjurkan bengkel sebegini.
"Bukan sahaja terbuka untuk orang ramai, bengkel ini juga boleh disertai oleh mana-mana artis yang berminat untuk lebih memahami teknik menyanyi dengan betul," katanya.
Antara aktiviti yang bakal dianjurkan ialah pengajaran vokal termasuklah lontaran suara, penghayatan dan sebutan.
Selain itu, teknik pemilihan lagu yang bersesuaian dengan nada suara, cara-cara menghayati serta penggunaan ruang pentas turut diberikan penerangan.
Semua itu kata Shafi, boleh digunakan sebagai persedian kepada mereka yang berminat untuk menyertai pelbagai pertandingan nyanyian ataupun yang ingin memanjangkan langkah bergelar penyanyi pada masa akan datang.
"Saya sudah banyak kali terlibat sebagai juri untuk uji bakat pertandingan. Rata-rata yang saya lihat mereka datang dari jauh dan sanggup berbaris lama semata-mata untuk mencuba nasib bergelar penyanyi.
"Ada juga yang saya lihat mempunyai pakej untuk bergelar penyanyi, namun apabila buka mulut untuk menyanyi nada suara mereka langsung tidak kena dengan lagu yang dinyanyikan serta tiada teknik dalam melontar suara.
"Saya hanya ingin membantu dan berkongsi ilmu menyanyi sebab saya tahu jika ingin memasuki kelas vokal bayaran yang dikenakan agak tinggi bagi mereka.
"Jadi, kalau boleh ambillah peluang ini dalam masa tidak sampai satu hari untuk mengetahui serta mendalami pelbagai teknik serta ilmu yang sedikit sebanyak boleh memantapkan lagi mutu nyanyian," kata Shafi.
Kepada yang berminat menyertai atau mengetahui lebih lanjut tentang bengkel tersebut, sila hubungi Roy di talian 0169185636 atau email kepada shafivocal@yahoo.com.
Terbit album anak murid
Biarpun SVS baru menyambut ulang tahun kedua beroperasi pada pertengahan November lalu, namun Shafi sendiri sudah pun mengembangkan sayapnya ke Indonesia.
Masih lagi sebagai guru vokal, bersama penyanyi terkenal negara itu, Imaniar, Shafi kini mengusahakan tiga studio, dua di Jakarta Pusat iaitu Impro dan Davz Music School manakala sebuah lagi di Jakarta Selatan, Sakura School Of Music Art.
Bercerita perihal perkembangan tiga studionya itu, kata Syafi, dia beruntung kerana dibantu oleh rakannya dalam menguruskan pelbagai urusan studio.
"Sambutan daripada masyarakat di sana ternyata berbeza berbanding di Malaysia.
"Di Indonesia, pelajaran muzik telah diterapkan di sekolah malah menjadi salah satu mata pelajaran yang diharuskan kepada setiap pelajar.
"Berbanding di negara ini, pelajaran muzik hanya diterapkan di sekolah rendah dan tidak menjadi satu keutamaan. Pembelajaran muzik di peringkat kanak-kanak bagi saya sangat mempengaruhi kebolehan seseorang untuk menyanyi serta perkembangan muzik itu sendiri.
"Sebab itu kalau kita lihat kebanyakan penyanyi di negara ini yang mempunyai bakat semula jadi menyanyi itu begitu kecil bilangannya," kata Shafi meluahkan pendapatnya.
Dalam perkembangan lain, Shafi kini dalam proses menerbitkan album sulung anak-anak muridnya di Indonesia iaitu Vidi Aldiano dan kumpulan Bee Boy's.
Selain itu, dia juga sedang dalam proses menyiapkan cakera padat (CD) tentang persediaan asas sebelum memulakan nyanyian dalam dua versi, lelaki dan perempuan yang dijangka akan dipasarkan pada Januari 2010.
"CD tersebut sangat berguna sebagai latihan ringan sebelum memulakan nyanyian untuk sesiapa sahaja yang berminat termasuk golongan artis.
"Teknik-teknik asas nyanyian juga saya sertakan dalam CD tersebut dan kini saya masih lagi dalam proses mengumpul bahan," kata Shafi lagi.
Sebagai seorang guru, kata Shafi, perkara yang paling mencabar buatnya ialah memastikan anak muridnya mampu menguasai setiap yang diajar sebaik mungkin. Malah beliau gembira jika mereka dapat mempraktikkan segala yang telah dipelajari dalam nyanyian mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: