Sunday, November 29, 2009

Que mahu menang, Lisda mengaku kalah


QUE HAIDAR


LAZIMNYA, bagi acara yang melibatkan keputusan berdasarkan penghakiman juri, akan terjadilah senario bak pepatah, rumah yang sudah siap dibina masih kedengaran pahatnya berbunyi. Lebih-lebih lagi, jika calon-calonnya dibarisi individu berpengaruh dan memiliki pengikut tersendiri.

Keputusan juga pasti lebih sukar dibuat lebih-lebih lagi apabila ia dibarisi calon-calon dari kalangan pelakon berbakat besar dan yang memberikan sepenuh tumpuan terhadap lakonan mereka.

Seperti tahun lalu, anugerah Drama Terbaik yang diraih naskhah Suara Saleha, dilihat konsisten apabila pengarahnya, Murali Abdullah, dan pelakon utamanya, Datuk Fauziah Ahmad Daud, masing-masing turut merangkul Anugerah Pengarah Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Drama Terbaik Anugerah Skrin 2007, Sebuah Ijtihad, juga memperlihatkan corak yang sama apabila pengarahnya, Jinggo, dan pelakon utama, Sofea Jane, masing-masing membawa pulang trofi kemenangan untuk Pengarah Drama Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Mungkinkah corak pemilihan yang sama berulang pada tahun ini?

Berbanding tahun lepas, setiap kategori yang dipertandingkan pada tahun ini memperlihatkan peningkatan dari segi jumlah penyertaan. Sebanyak 17 buah drama, 14 drama bersiri dan lima drama komedi telah dicalonkan. Sementara bagi kategori filem pula, 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan.

Bagaimanapun, kalau diperhatikan drama yang diulang tayang setiap Ahad pukul 9 malam di saluran TV3 sejak 4 Oktober itu, masing-masing menonjolkan kekuatan yang tersendiri.

Teka-teki siapakah gerangan yang bakal menggondol kemenangan pada Anugerah Skrin 2009 yang bakal berlangsung pada 4 Disember nanti menjadi hangat tetapi misteri kerana senarai pencalonan masih dirahsiakan oleh TV3 selaku penganjur majlis.

Namun, tidak salah untuk membuat telahan. Siapa yang dapat melupakan watak kejam yang dihidupkan Que Haidar dalam drama Terlerai Takbir Kasih apabila menikahi Niza (lakonan Lisdawati) dan mengabaikan isteri pertamanya, Faezah (Norkhiriah) yang sedang sarat mengandung.

Fizz Fairuz tidak kurang hebatnya menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama, apabila begitu bersahaja mengubah wataknya menjadi seorang alim yang tidak selari dengan ajaran sebenar Islam sedangkan mencerca keluarga saudaranya yang hidup dengan gaya Barat.

Karakter Juriah dalam Rahsia Gambar yang sentiasa kebingungan dengan gangguan jelmaan wanita misteri pula dapat dihidupkan dengan baik oleh Rozita Che Wan.

Sementara, menerusi drama Jalan Pintas Ke Neraka, kredibiliti lakonan Rita Rudaini terbukti apabila berjaya menunjukkan pelbagai sisi karakter ketika membawakan watak seorang suri rumah tangga, Yana, yang berjaya memujuk suaminya (lakonan Eizlan Yusof) untuk membenarkannya bekerja, sebelum dia kemudiannya jatuh ke lembah kecurangan apabila terbuai dengan pujuk rayu seorang jutawan (Remy Ishak).

Drama lain yang turut dipertontonkan semula termasuklah Al-Kiswah, Sebelum Sejadah Dibentang, Serunding Cik Kiah dan Takbir Rindu.

Sebelum majlis anugerah tersebut berlangsung nanti, Sensasi Bintang berjaya 'menangkap' dua artis ternama, Que Haidar dan Lisdawati bagi memberi perspektif mereka sendiri tentang sedikit bayangan tentang antara keputusan Anugerah Skrin 2009 itu nanti.

Que pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2008, manakala menerusi Anugerah Skrin 2003, Lisdawati pula merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama.

Que Haidar

Que Haidar, 30, yang mengakui tercalon pada peringkat separuh akhir bagi merebut trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama dan Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2009 menerusi sebuah filem, Selamat Pagi Cinta, serta dua drama, Terlerai Takbir Kasih, dan Sebelum Sejadah Di Bentang, menaruh harapan yang besar untuk menang.

"Kalau boleh memang nak menang sebab saya sudah bekerja keras untuk setiap drama dan filem yang saya bintangi. Tetapi, kalau diikutkan, semua pelakon juga sudah bekerja keras untuk drama masing-masing. Apabila melihat semula lakonan saya menerusi drama dan filem yang tercalon, saya fikir lakonan saya boleh tahan. Kalau saya menjadi juri, tentu saya sudah menang," ujarnya sambil tertawa.

Meletakkan keyakinan kepada usaha diri, Que bagaimanapun juga bersedia dari segi emosi, jika ditakdirkan kalah dalam kesemua pencalonan.

"Saya tak akan kecewa kalau tidak menang kerana saya tahu saya sudah buat yang terbaik. Tetapi saya sudah berangan-angan untuk naik ke pentas," tambahnya.


LISDAWATI


Bagi pelakon yang berasal dari Kulai, Johor ini, majlis seperti Anugerah Skrin mempunyai kekuatan tersendiri jika dibandingkan dengan anugerah drama atau filem yang lain.

"Sekarang, semakin ramai pengarah muda terlibat dalam penghasilan drama tempatan seperti Heykal Hanafiah. Kehadiran mereka dalam industri drama dapat menghasilkan produk yang lebih segar. Bilangan drama berbentuk klise juga semakin bertambah berbanding dulu. Ini membuktikan anugerah seperti Anugerah Skrin mampu membakar semangat mereka untuk terus menghasilkan drama yang lebih baik," kata Que.

Kalau hendak membandingkan drama tempatan dengan drama luar negara, kata Que, lebih kepada menimbulkan kesukaran.

"Cerita (drama) kita dihasilkan mengikut budaya kita. Sama juga halnya drama luar yang dihasilkan mengikut acuan budaya di negara mereka sendiri. Tambahan bajet sesebuah produksi di Malaysia, kalau dibandingkan dengan negara luar, adalah lebih kecil. Kalau kita nak buat drama seperti mereka menggunakan bajet kita memang susah," ulasnya yang mengakui penceritaan dan jalan cerita drama atau telefilem di Malaysia tidak kurang hebatnya.

Que yang bakal ditemani isteri, Linda Jasmin, pada malam Anugerah Skrin 2009 nanti, turut mendedahkan pengalamannya berlakon dalam dua bentuk penerbitan yang berbeza.

"Kalau berlakon drama, satu hari boleh buat sehingga berbelas scene, sedangkan berlakon filem hanya satu scene dibuat dalam satu hari. Malah, ruang kamera filem juga lebih besar berbanding kamera drama. Jadi fokus yang diberikan dan latihan yang dapat dilakukan sebagai persiapan adalah bebeza," ujar Que.

Lisdawati Nazaruddin

Berlainan pula halnya bagi aktres yang baru melahirkan anak keduanya, Nur Aina Fazneesya, 5 November lalu, Lisdawati Nazaruddin, 30. Kata Lisdawati, dia hanya mampu tertawa ketika melihat semula lakonannya dalam drama Terlerai Takbir Kasih.

"Saya bersyukur kerana tercalon sehingga ke peringkat ini (separuh akhir). Ia menunjukkan ada lagi drama lakonan saya yang mendapat tempat di hati juri. Tetapi saya tidak fikir saya akan menang kerana ada banyak nama besar lain yang turut tercalon.

"Lagipun watak lakonan saya dalam drama itu terlalu jauh dengan diri saya. Apabila menonton semula lakonan saya dalam drama itu, saya merasakan saya tidak cukup garang," ulas ibu kepada dua anak itu yang tercalon untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama.

Masih dalam pantang selepas bersalin, Lisdawati bagaimanapun tidak menafikan hanya mula seronok untuk menyertai malam gilang-gemilang itu setelah diberitahu dirinya tercalon.

"Sebelum ini saya tidak ada membuat sebarang persiapan kerana masih berpantang tetapi setelah diberitahu diri saya tercalon, saya mula seronok untuk menyertainya. Pereka yang mereka baju saya untuk malam itu juga sudah mempunyai idea tentang baju yang sesuai untuk ibu yang sedang berpantang seperti saya," kongsi Lisdawati.

Malah, isteri aktor Fauzi Nawawi, 36, yang diakui Lisda turut tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama ini juga positif dengan keputusan yang bakal diterima.

"Jangankan antara majlis penghargaan di negara lain, antara majlis penghargaan tempatan yang lain pun tidak terbandingkan kerana setiap majlis itu berbeza. Masing-masing ada juri khas, jadi penilaian juga berbeza. Disebabkan itu satu drama yang menang dalam satu majlis penganugerahan tidak semestinya akan menang dalam majlis yang satu lagi.

"Jadi, secara tidak langsung saya perlu berfikiran terbuka dalam isu keputusannya. Ini rezeki masing-masing. Macam acara Ratu Cantik, kecantikan itu dapat dilihat dari pelbagai perspektif. Ada yang cantik pada personaliti, ada yang cantik pada IQ, ada yang cantik pada bakatnya," katanya.

Pelakon yang sudah empat kali tercalon dalam pelbagai kategori dan pernah sekali memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama pada majlis Anugerah Skrin ke-5 ini berkata, drama keluaran tempatan juga berkualiti namun ia bergantung kepada pengurusan keseluruhan pasukan.

"Drama kita ada kualiti tetapi bergantung kepada pengurusannya juga. Kalau buat kerja dengan bergantung kepada bajet, hasilnya nanti seperti tangkap muat saja. Contohnya jika satu-satu drama itu hanya mengambil pelakon baru kerana pelakon lama meletakkan permintaan (bayaran) yang tinggi. Tetapi pelakon lama juga perlu menjaga kualiti masing-masing, biar harga yang ditetapkan berbaloi dengan bakat yang ada," ujar Lisdawati yang memberitahu industri lakonan negara jiran, Indonesia telah mempunyai penggredan ke atas barisan artis mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: