Saturday, November 28, 2009

Pesakit mati tunggu ambulans sesat jalan


SEORANG pesakit mendapat rawatan di dalam sebuah ambulans.



SYDNEY - Seorang wanita Australia, Velma McFadden mendakwa suaminya mati gara-gara sebuah ambulans yang ditugaskan membawa mangsa ke hospital tersesat jalan, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki yang berusia 54 tahun itu meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di kampung Cullen Bullen, dekat Lithgow, 108 kilometer dari sini pada 28 September lalu.

Velma berkata, seorang lelaki ditugaskan menunggu di sebuah pub dua kilometer dari rumah mangsa bagi memberi arah laluan namun dia diberitahu, ambulans itu tersesat jalan.

"Saya dimaklumkan paramedik tiada sistem pengesanan global (GPS) di dalam ambulans," kata Velma kepada sebuah stesen radio.

"Dia masih hidup ketika saya beri bantuan kecemasan," kata Velma.

Perkhidmatan ambulans negeri New South Wales mengesahkan ambulans itu tiada alat GPS tetapi petugas bukan sesat sebaliknya tiba 24 minit selepas menerima panggilan kecemasan.

Dakwaan Velma menyusul sehari setelah Ketua Menteri negeri itu, Nathan Rees membuat permohonan maaf ekoran dua insiden operator ambulans gagal mengesan alamat pesakit.

Rees memberitahu Parlimen negeri itu kelmarin, perkhidmatan ambulans sudah menjalankan siasatan dan laporan akan dihantar kepada Menteri Kesihatan, Carmel Tebbutt.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: