|
|
WANITA ini cukup petah semasa mengendalikan rancangan bual bicara The Breakfast Show di ntv7. Kelihatan ekspresi wajahnya sentiasa berubah sewaktu mengupas isu berlainan sama ada berita terkini, perniagaan, hiburan dan fesyen.
Ini kerana hos rancangan itu ialah Daphne M. Iking atau Daphne Iking. Seorang yang komited dalam memastikan persembahannya setiap pagi Isnin hingga Jumaat itu jelas tanpa sebarang keraguan.
Figura ini juga seorang yang bekerja keras. Dia mempunyai sasaran tersendiri dalam menentukan kerjaya sama ada dalam bidang lakonan, pengacaraan, peragaan termasuk urusan rumah tangganya.
Bagaimanapun, cerita mahkamah Daphne dengan seorang lelaki berkedudukan tinggi dalam sebuah syarikat yang mengajak Daphne untuk mengadakan hubungan intim mematikan semangat Daphne seketika.
Daphne mula merasai tekanan sejak cerita itu didedahkan kepada masyarakat. Perkara itu juga merupakan satu tamparan hebat buat anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini yang belum pernah sekali mencetuskan sensasi.
Tidak mahu mengulas tentang perkara itu kerana ia akan mengganggu perjalanan kes, Daphne sekali lagi membuat kejutan apabila mengumumkan dirinya kini bergelar janda.
“Secara rasmi saya sudah berpisah dengan Ryan Chong Yiing Yih. Perceraian secara baik dan tidak ada yang perlu diperbesarkan,” ujar Daphne ringkas.
Ungkapan daripada bibir Daphne itu benar-benar menyentap perasaan. Daphne mengakui hubungan mereka tidak dapat diselamatkan lagi. Perpisahan adalah jalan penyelesaian terbaik.
Apa yang menjadi matlamat kehidupannya adalah anaknya, Isobel Daniella Iking - Chong yang kini berusia 21 bulan. Permata hati itu adalah pengubat bagi segala duka lara yang dialaminya.
Daphne perlu memastikan Isobel mendapat kasih sayang yang cukup. Dia rela untuk mengorbankan perasaan yang dialami sendiri demi menjaga hati darah dagingnya itu.
Sememangnya, Daphena mengharapkan perkahwinan bersama Ryan yang dibina atas dasar suka sama suka pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia kekal. Namun jodoh mereka tidak panjang.
Justeru, Daphne enggan menoleh belakang lagi. Dia berhasrat melupakan segala kisah silamnya dan memulakan episod baru dalam hidupnya.
“Saya tidak mahu bercerita panjang tentang perkara ini. Tumpuan sekarang diberikan kepada tugasan harian. Mungkin dengan cara memadatkan jadual kerja dapat melupakan seketika tekanan yang dialami sekarang,” kata wanita yang kelihatan susut ini.
Daphne juga berdebar menunggu reaksi orang ramai tentang lakonannya dalam filem terbaru arahan Afdlin Shauki, My Spy. Filem aksi komedi yang ditayangkan bermula 3 Disember itu mempertaruhkan lakonan agresif Daphne dalam mencapai misi tersendiri.
Kebanyakan adegan lasak dalam filem itu dilakonkan Daphne sendiri seperti bergaduh, melompat dari tempat tinggi dan memandu jet ski. Baginya, kepuasan itu dirasai selepas melakukan aksi adegan ganas sedemikian.
Hos rancangan My Australian Adventure ini juga menyatakan minat untuk melakonkan watak transeksual yang bercanggah dengan budaya negara ini. Sememangnya ia adalah perkara yang agak keterlaluan dan pasti mengundang cemuhan di kalangan sesetengah pihak.
“Saya adalah orang yang terbuka. Masyarakat masa kini lebih bersifat menghukum daripada menerima kekurangan yang ada pada orang lain,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: