Saturday, November 28, 2009

Pemenang Nobel tidak bayar cukai




TEHERAN - Pihak berkuasa Iran semalam membekukan hadiah wang tunai dimenangi penerima anugerah Nobel Keamanan, Shirin Ebadi (gambar) kerana tidak membayar cukai.

Namun Teheran menafikan laporan media Norway bahawa pingat emas milik Shirin dirampas daripada aktivis hak asasi Iran tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast berkata, republik Islam itu terkejut dengan tuduhan berat sebelah Norway yang tidak menghormati undang-undang negara lain.

"Kami tidak faham kenapa pegawai Norway mempertahankan sikap individu yang cuai dan enggan membayar cukai selain mempertikaikan undang-undang kami," katanya.

Norway kelmarin mendakwa, Iran merampas anugerah Nobel yang dimenangi oleh Shirin, 62, termasuk diploma hadiah tersebut daripada peti keselamatan bank milik peguam itu.

Dua rakan aktivis itu mengesahkan tindakan Teheran dan berkata, akaun bank milik Shirin yang menyimpan wang daripada Hadiah Nobel turut disekat.

Pihak berkuasa Iran menuntut cukai sebanyak AS$400,000 (RM1.4 juta) daripada AS$1.3 juta (RM4.4juta) hadiah wang tunai yang diterima Shirin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: