Sunday, November 29, 2009

Gerbang Sulawesi




Pelabuhan rempah abad ke-15 perlukan masa untuk diteroka

WAKTU di Makassar seperti Malaysia, kecuali sinaran mentarinya terpancar lebih awal berbanding kita, sekali gus solat Subuh sekitar jam 5 pagi dan Maghrib pula lebih kurang 6.30 petang.

Kerana Subuh begitu awal, sekitar 5.30 pagi bumi terletak di tanjung sebelah selatan kepulauan Sulawesi ini sudah terang benderang sehingga menimbulkan was-was sama ada sudah syuruk atau masih Subuh menjelang jam itu.


Waktu pagi di sini boleh diisi dengan bersiar-siar di Pantai Losari dan menikmati sarapan di sana, kemudian terus ke Tanjung Bunga berjalan-jalan di sepanjang pantainya.

Tidak jauh dari Pantai Losari, ada kubu bernama Fort Rotterdam atau di kalangan penduduk tempatan lebih dikenali sebagai Benteng Ujung Pandang, peninggalan sejarah ketika zaman Belanda yang tidak ternilai.

Pesanan yang acap kali diberikan jika berkunjung ke daerah ini ialah jangan lepaskan peluang menikmati pemandangan matahari terbenam di Pantai Losari, sungguh indah dan amat mengasyikkan.

Pemandangan Kota Makassar, pelabuhan utama di Sulawesi Selatan.

Makassar atau pernah dikenali Ujung Pandang adalah lokasi paling strategik di kawasan Timur Indonesia, boleh dikunjungi dari Kuala Lumpur melalui penerbangan terus AirAsia atau cuma dua jam dari Jakarta jika transit di ibu kota itu.

Terletak di Wilayah Sulawesi Selatan, Makassar adalah gerbang atau pintu masuk utama ke Sulawesi dan terkenal sebagai pelabuhan rempah, terutama pada abad ke-15 dan antara beberapa kota di Indonesia yang menghadap laut.

Mengikut budayawan Sulawesi, nama Ujung Pandang dikaitkan dengan Benteng Ujung Pandang atau Fort Rotterdam dan di hujung tanjungnya banyak ditumbuhi pohon pandan atau disebut pandang oleh orang Bugis.

Bagi penggemar nasi padang yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi ini, mungkin agak sukar mencari restorannya kerana orang Makassar lebih menggemari makanan laut yang dibakar, kering dan tidak berkuah.

Kubu Fort Rotterdam jadi tumpuan pelancong.

Namun, jika berterusan mencari atau bertanyakan orang tempatan, anda pasti berjumpa termasuk sebuah daripadanya, Restoran Sederhana yang berbaloi dikunjungi walaupun terletak agak jauh dari pusat bandar.

Jika ingin mengubah selera, ada restoran makanan laut pelbagai kategori, dari gerai kecil di bahu jalan sehinggalah dalam bangunan besar dan jika bernasib baik, anda boleh menjamah ikan sebelah yang dibakar.

Seperti di kota besar Jakarta, pemandu di bandar ini juga acap kali membunyikan hon, terutama ketika mahu memotong di jalan yang sentiasa penuh dengan motosikal dan kereta yang menyelit untuk memintas jalan.

Banyak pengangkutan awam boleh dipilih untuk mengeliling kota seperti kereta sewa, van yang dijadikan bas, teksi dan beca, tidak kurang juga motosikal atau disebut di sini sebagai sepeda.

Makassar cukup popular dengan pelbagai tinggalan sejarah dan memerlukan masa yang panjang untuk diterokai semuanya, namun sayang kerana tarikan di sini dan Sulawesi Selatan umumnya tidak begitu dipromosi.

Lokasi terdekat untuk dilawati ialah Fort Rotterdam yang tersedia pemandu pelancong persendirian - pastinya perlu dibayar - menerangkan sejarah kubu dan yang lebih berpengalaman mampu memperincikan sejarah Makassar dan kerajaan dulu kala.

Keindahan alam di daerah ini juga tidak kurang hebatnya. Jika ada masa, boleh ke Taman Negara Bantimurung, lokasi menempatkan air terjun, taman rama-rama dan habitat monyet yang cuma tiga hingga empat jam perjalanan dari pusat bandar.

Banyak kuih tradisional boleh dicuba, contohnya tenteng iaitu kacang dimasak bersama gula merah dan Pisang Ape, pisang yang dibakar sebelum dipenyet dan dijual dalam pelbagai perisa - kelapa dan gula melaka, keju, coklat dan durian.

Ada kompleks beli-belah menjual pelbagai barangan kraftangan, tetapi paling popular ialah deretan kedai di Jalan Sambo Apu, namun harus berkunjung awal ke sini kerana rata-rata kedainya ditutup seawal jam 8 malam.

Jika mahu membeli baju T atau jubah, pilihlah saiz lebih besar berbanding saiz di Malaysia kerana orang di Makassar rata-ratanya lebih kecil. Sutera Makassar juga cukup terkenal dan boleh dijadikan buah tangan.

Kedai cenderamata di jalan ini menjual pelbagai barangan warisan seperti songkok, bahan tenunan dan perak, ada juga buah markisa yang dikeringkan serta barangan dari Tanah Toraja termasuk kopinya yang memang terkenal.

Terkilan juga kerana kekangan masa menghalang kunjungan ke destinasi popular lain di wilayah ini, termasuk Tanah Toraja yang mengambil masa kira-kira tujuh jam perjalanan untuk melihat mayat diawet yang disimpan dalam gua kecil di tanah tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: