Sunday, November 29, 2009

Pengorbanan Siti Nurhaliza & Krisdayanti


Siti Nurhaliza & Krisdayanti


SEMEMANGNYA hubungan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin,30, dengan Krisdayanti,34, akrab sejak sekian lama. Perkara itu memang tidak disangkal lagi. Mereka ibarat sahabat yang berkongsi suka dan duka bersama.

Cuma jarak persahabatan itu dihalang oleh Selat Melaka dek kerana Krisdayanti atau KD tinggal nun jauh di Jakarta.

Tetapi jarak itu tidak membataskan persahabatan yang sudah sekian lama terjalin.

Malah hubungan itu turut diperkukuhkan lagi apabila kedua mereka mengambil kata sepakat untuk menghasilkan album duet bersama.

Sudah merancang sejak setahun lalu, akhirnya pada minggu lalu hasrat berkenaan terlaksana sudah apabila KD hadir untuk merakamkan album duetnya bersama Siti.

Menampilkan beberapa nama besar antaranya Audi Mok, Aubrey Suwito dan Sharon Paul, akhirnya lima daripada lima buah lagu yang menterjemah hati nurani kedua mereka siap dirakamkan.

Pastinya album ini amat bermakna buat Siti dan KD kerana perancangan merakamkan suara bersama sejak setahun lalu akhirnya tercapai.

Kata KD, masih segar di ingatannya semasa membincangkan projek itu, dia hadir bersama bekas suaminya Anang.

Sayangnya selepas setahun berlalu, kali ini KD tiba seorang diri tanpa suami di sisi selepas mereka disahkan berpisah pada 22 Oktober lalu.

Kata KD yang kelihatan ceria bagaikan tiada masalah melanda, dalam album berkenaan turut memuatkan lirik-lirik yang ada kena-mengena dengannya.

Yalah... pasrah dengan ketentuan Allah itu, KD hari ini sudah kuat semangat. Malah dia juga kelihatan lebih ceria tatkala berbicara soal kehidupan.

Ujar KD hampir luluh jiwa tatkala melalui detik hitam dalam hidup tetapi dia gagahkan hatinya untuk menjadi wanita tabah.

Cuma sedihnya apabila KD tidak dapat untuk selalu bersama dua anaknya iaitu Titania Aurelie Nurhermansyah,11, dan Azriel Akbar Hermansyah,9, kerana mereka dijaga oleh Anang.

Ketepikan soal rumah tangga yang sudah menjadi abu itu, kata KD mendapat peluang merakamkan suara bersama Siti memang amat ditunggu-tunggu.

Dan Siti pula akan berangkat ke Jakarta esok untuk merakamkan sebuah lagi lagu ciptaan anggota kumpulan ST12 berjudul Pasti Cocok dan merakamkan klip video di sana.

Album yang keseluruhan memuatkan enam buah lagu dijadual berada di pasaran hujung Disember ini yang ternyata memuatkan kisah jiwa raga mengenai mereka berdua.

*Fahami hati KD

Saat ditanya mengenai perasaan Siti berhubung permasaalahan rumahtangga yang ditanggung diva Indonesia itu, Siti mengambil jawapan selamat.

Kata Siti, sebagai kawan rapat dia melihat perkembangan sahabatnya itu tetapi adalah lebih baik dia tidak mencampuri urusan rumahtangga KD.

“Siti faham hati KD tetapi sebagai kawan Siti tidak boleh campur urusan dia. Siti hormat hak peribadi dia,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan Aidiladha yang disambut Jumaat lalu, ujar Siti dia gembira kerana tahun ini dapat menyelesaikan upah haji untuk arwah ayahnya.

Selain turut korban dua ekor lembu masing-masing di Kuala Lipis dan Taiping, kata Siti jika dibandingkan pengorbanannya dengan KD, ternyata wanita itu lebih kuat.

Ini kerana KD mampu menempuh dugaan dan ujian hidup iaitu berpisah dengan suami selain tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya seperti sebelum ini.

Cuma jika dikira perjalanan diri Siti selama ini, dia telah berkorban masa remajanya selepas memilih hidup untuk menjadi seorang penghibur.

“Zaman remaja Siti tak macam orang lain. Hidup Siti berbeza kerana memilih untuk menjadi artis. Itulah pengorbanan tetapi Siti tidak menyesalinya kerana itu yang Siti pilih,” kata Siti.

Sementara KD pula menganggap tahun ini memberi dugaan besar dalam hidupnya apabila dia terpaksa berkorban perasaan kerana pertemuannya dengan anak-anak agak terbatas.

Tetapi KD menganggap ia satu pengorbanan besar kerana yang lebih penting memastikan anak-anaknya itu membesar dan berjaya dalam kehidupan mereka walaupun dia dan Anang sudah tidak seperti dulu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: