AWAL tahun depan, Mawi akan tampil dengan album terbarunya, ‘Idola’ yang melibatkan nyanyiannya secara duet dengan penyanyi ‘otai’ dalam industri muzik tempatan.
Dalam 12 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album itu, antara penyanyi yang menyanyikan semula lagu mereka secara duet dengan Mawi adalah ‘Papa Rock’ Ramli Sarip, penyanyi Datuk Jeffry Din, Jamal Abdillah, M. Nasir, Hattan, Aznil Hj Nawawi dan Ogy Ahmad Daud.
Mawi akan memuatkan lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini seperti ‘Terharu’ duet dengan Jamal, ‘Lagu Jiwa Lagu Cinta’ (M. Nasir) termasuk menebus semula maruahnya ketika tersilap mendendangkan lagu ‘Dari Kekasih Kepada Kekasih’ (Hattan) di Akademi Fantasia (AF) musim ketiga.
Selain itu, penyanyi, pelakon dan penerbit yang pernah mendapat jolokan ‘Raja SMS’ ini juga berani menyahut cabaran menyanyikan lagu popular seperti ‘Geram’ (Aznil), ‘Siti Haidar’ (Jeffry Din) dan ‘Rela Menanti’ (Ogy).
Namun begitu, dia belum pasti tajuk lagu yang akan didendangkan dengan Ramli Sarip.
Pengumpulan material untuk album ini telah bermula sejak bulan Jun lalu setelah dia mendapat idea daripada salah seorang staf Maestro, Othman Mahmood pada tahun lalu sebelum mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Ekin lagi.
“Setakat ini tinggal dua buah lagu lagi yang belum siap dirakam. Alhamdulillah, saya juga tidak mempunyai masalah untuk merakamkan lagu dengan penyanyi-penyanyi itu. Lagipun, kami tak mengejar masa untuk menyiapkan album ini.
“Cuma saya tidak dapat memenuhi permintaan Maestro untuk berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza sebuah lagu baru. Tetapi saya tak kisah sebab mungkin dia sibuk,” katanya yang akan menerbitkan sebuah drama ‘Jiwa Kacau’ menerusi syarikatnya, Mawi World Entertainment Sdn Bhd dan dia turut akan berlakon watak ‘cameo’ dalam drama itu.
Tidak sabar menunggu filem ‘Magika’ di pawagam
Mawi yang melakonkan watak Badang dalam filem ‘Magika’, ditayangkan mulai 11 Mac tahun depan di pawagam berkata, dia tidak sabar menunggu reaksi penonton.
“Bagi saya, filem ini memang berlainan daripada filem lain. Selain berbentuk muzikal, filem ini juga banyak bermain dengan kostum, props dan memaksimumkan pengunaan warna.
“Misalnya menjadikan dunia sebenar nampak suram bagi membezakan dengan dunia bunian,” luahnya lagi di samping pelakon Diana Danielle yang melakonkan watak Ayu dalam filem arahan Edry KRU itu.
Selain itu, ramai lagi pelakon lain yang membintangi filem itu seperti Nabil, Maya Karin, Ning Baizura, Sharifah Amani, dan Sharifah Aleya.
Sempena menyambut Aidiladha, Mawi mengambil cuti selama tiga hari untuk pulang ke kampung halaman di Kulai dan rumah mertuanya di Johor Bharu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: