LONDON - Seorang lelaki Britain, Ian Young menyunting seorang mak nyah warga Malaysia yang dikenali sebagai Fatine untuk menjadi 'isterinya', lapor sebuah akhbar semalam.
Ian, 30, yang memiliki sebuah syarikat penyelenggaraan hartanah berkahwin dengan Fatine, 36, dalam satu majlis sivil di sini Mei lepas.
Dia berkenalan dengan Fatine di sebuah kafe Starbucks di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Ogos 2006 ketika dia bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysia.
Terpegun dengan kejelitaan mak nyah tersebut, Ian yang pada mulanya menyangka Fatine seorang wanita, cuba memikatnya.
Lelaki itu berkata, keserasian antara mereka menimbulkan bibit cinta dan dia berasa bertuah dapat bertemu dengan kekasih yang mengambil berat dan pandai menjaga hatinya.
"Saya tidak peduli sama ada dia seorang mak nyah. Saya mencintai keperibadiannya. Bagi saya Fatine seorang wanita yang cantik dan menawan," kata Ian yang sebelum ini mempunyai seorang teman wanita berbangsa Inggeris.
Fatine atau nama sebenarnya Mohammed Fazdil Min Bahari mengambil hormon wanita sejak berusia 17 tahun.
Jurusolek itu tidak mahu melakukan pembedahan penukaran jantina kerana takut pada risiko di samping gembira dengan keadaan dirinya yang sedia ada.
Pada Disember 2008, Ian membawa Fatine ke Britain dengan menggunakan visa pelawat tetapi 'isterinya' itu kini bakal dihantar pulang Malaysia kerana tinggal di negara itu melebihi tempoh enam bulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: