|
|
SETIAP kali orang menyebut si gadis bernama Lufya, saya tidak boleh menghalang untuk tidak melupakan persembahannya ketika di pentas Akademi Fantasia Keenam (AF6) setahun yang lalu.
Apa lagi kalau bukan insiden bahagian ketiak pakaian yang dipakainya basah ketika membuat persembahan. Tapi itu semua bukan salah Lufya, pakaian dan warna gaun yang diberi kepadanya ketika itu mungkin tidak bersesuaian.
Faham-faham sajalah, apabila menyertai sesebuah pertandingan, tentu saja air peluh akan mencurah bak embun di malam hari.
Peristiwa itu bagi Lufya memang amat memalukan. Malah jujur si gadis ini mengakui dia menanggung malu sampai hari ini. Bukan sahaja malu dek kerana insiden itu sahaja sebaliknya dia disindir, dikutuk dan dihina.
Malah saya masih ingat kerana insiden ketiak basah itu, Lufya pernah terguris dengan penyampai radio Era, Reza gara-gara kejadian usik-mengusik yang telah berlaku.
Yalah... ia cuma gurauan tetapi dek kerana tekanan demi tekanan yang ditanggung Lufya, maka perkara itu agak sensitif walaupun Reza hanya bergurau.
Sudahlah, persetan dengan kutukan orang selama ini. Apa nak malu-malu kerana Lufya tidak buat salah apa-apa dalam kejadian yang tidak disengajakan itu.
“Kejadian itu memang membuatkan Fya malu teramat sangat. Ia bagaikan satu trauma apabila ke mana saja Fya pergi, perkara itulah benda pertama yang akan orang sebut,” ujar gadis kelahiran Johor Bahru yang gemar membahasakan dirinya dengan panggilan Fya atau jika dieja rima bunyinya akan berbunyi “Fiya”.
Tak apalah, itu semua merupakan satu pengalaman berguna buat insan yang terjun ke dunia seni. Dunia artis ini orang nampak indah, glamor dan kaya raya tetapi di sebalik sangkaan itu, sebenarnya tidak mudah untuk bergelar artis jika tiada semangat yang tinggi.
Tahniah si gadis bernama Luffyah Sheikh Omar,24, kerana pengalaman tersebut memberi semangat berharga buatnya.
“Betul bang, jika tidak ada pengalaman itu, mungkin susah untuk Fya menjadi Lufya hari ini. Ia satu peristiwa bermakna walaupun pahit pada mulanya,” ujarnya.
Tenggelam! Ke mana pergi?
Tersingkir pada minggu ketika di pentas AF, ramai yang beranggapan tidak akan kemana penyanyi ini. Yalah juara AF pun belum tentu boleh “boom”, apalah sangat kalau setakat penyanyi yang seperti tempelan sahaja.
Tapi itu semua silap. Lufya bertuah kerana berwajah eksotik. Dia sebenarnya boleh laris jika benar-benar merebut peluang yang ada. Dalam dunia seni nak berjaya satu perkara saja iaitu perlu rajin dan jangan berlagak. Itu kuncinya.
Lufya antara artis yang berjaya membuktikan kerajinannya menaikkan semula nama dia yang semakin sendu.
Bukannya apa, sejak sekian lama kehadiran Lufya bak sabut yang hanyut, tak ada siapa peduli tetapi sebenarnya sabut itu lebih bertuah berbanding batu jika kedua-duanya berada di air. Dek kerana populariti dan publisiti yang berkurangan itu, ramai yang berkata nama Lufya kian terpadam dalam dunia seni.
Sebenarnya itu semua tuduhan yang sekadar mahu melemahkan semangat gadis ini. Dia masih lagi “bernyawa” dan memberi sumbangan terhadap dunia seni dengan kudratnya sendiri tetapi tidak ramai yang tahu.
“Fya ada, tak hilang kemana pun? Selepas keluar AF memang kurang tawaran menyanyi sebab Fya bukan “top three”. Tapi sebenarnya Fya aktif berlakon drama,” jelasnya.
Percaya atau tidak dek kerana kegagalannya dalam pentas AF itu, Fya berusaha mengenepikan perasaan malu dan bekerja gigih untuk mempertingkatkan kedudukan dirinya ketahap yang lebih tinggi.
Tapi suria yang menerangi Lufya hari ini adalah hasil usaha gigihnya sendiri apabila dia meletakkan ke tepi perasaan malu untuk mencari peluang berlakon drama-drama televisyen. Seperti yang diperkatakan dunia seni memerlukan orang yang rajin untuk berjaya dan dia telah membuktikan perkara itu.
“Banyak perkara yang Fya usahakan sendiri. Mencari peluang berlakon drama dan juga iklan. Itu semua hasil usaha Fya dengan pertolongan kawan-kawan dan kenalan yang ada,” jelasnya. Lebih setahun aktif dalam seni, percaya atau tidak dah lebih sepuluh buah drama dia berlakon. Satu pencapaian yang baik sebagai pendatang baru sepertinya.
Bukan setakat itu sebaliknya dia juga ada terlibat dalam iklan-iklan komersial lain antaranya Lipton, Good Maid, Impian Sunsilk dan Standard Charted.
2009 yang cemerlang
Hampir sebulan lagi 2009 akan menutup tirainya tetapi bagi Lufya, tirai 2009 itu amat bermakna. Manakan tidak zaman kejatuhannya pada 2008 telah berjaya dipulihkan kembali dan tahun ini dilimpahkan rezeki yang luas.
Setahun hasil usahanya itu dia berjaya mengangkat namanya dan bukan itu saja, Lufya juga berjaya memiliki sebuah kereta sendiri.
Malah, kondominium sewaannya di Damansara juga penuh dengan perabut-perabut cantik. Itu adalah permulaan kepada kejayaannya apabila menceburkan diri dalam bidang ini.
Tak ada pilihan lain sebaliknya Lufya mahu terus aktif menjadi anak seni biarpun dia pernah terfikir untuk menarik diri sebelum ini. Walaupun lebih aktif sebagai pelakon, Lufya tidak akan melupakan hasrat pertamanya ialah untuk bergelar penyanyi.
Sebagai bukti, dia sudah menyiapkan beberapa buah lagu hasil kreativitinya sendiri untuk dirakamkan. Segalanya masih dalam proses dan gadis berwajah runcing ini berharap peminat dapat bersabar terlebih dahulu.
“Setakat ini proses pemilihan lagu sedang berjalan. Ada lagu ciptaan dan tulisan Fya sendiri. Insya-Allah ia akan diusahakan secepat mungkin,” janjinya.
Erti pengorbanan
Jumaat lalu seluruh umat Islam menyambut 10 Zulhijjah bermakna kita menyambut Aidiladha, iaitu Hari Raya korban. Bercerita soal pengorbanan, sebenarnya sudah lama Lufya berkorban dalam hidup ini.
Antara pengorbanan besar yang dilakukannya ialah menghadapi banyak kritikan hebat yang dilemparkan kepadanya selama ini.
Tidak cukup itu, tindakannya memilih menjadi artis memaksa dia untuk berjauhan dengan keluarga dan mengatur sendiri hidup demi sesuap nasi.
“Itu semua pengorbanan yang Fya lakukan untuk diri Fya. Ia amat penting untuk diingati dan disemat di dalam lubuk hati Fya,” terangnya.
Dia bersyukur berkat kesabaran berkorban memperjuangkan nasib sebagai artis, ganjaran yang diperoleh sudah menampakkan hasilnya. Melimpahkan rasa syukur terhadap Yang Maha Esa, ungkap gadis ini sebelum menamatkan bicara; “Fya harap Tuhan itu akan terus membuka jalan dan rezeki yang luas untuk Fya pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: