Saturday, November 28, 2009

Krisis Dubai mula cetus panik


PANORAMA pencakar langit di Pusat Perniagaan Dubai yang kini terjejas teruk akibat krisis ekonomi.


LONDON - Pasaran saham global merudum untuk hari kedua berturut-turut semalam ekoran kebimbangan pelabur kemungkinan berlaku kesan domino setelah Dubai yang terletak di dalam wilayah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan untuk menggantung pembayaran hutangnya.

Indeks pasaran saham rantau Asia jatuh teruk dengan Hong Kong menjunam hampir lima peratus ketika ditutup tetapi kebanyakan pasaran saham Eropah mengalami kejatuhan lebih kecil.

Indeks pasaran saham Tokyo turut menjunam 3.22 peratus yang turut diakibatkan oleh kenaikan tertinggi nilai yen berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 12 tahun sekali gus memberi kesan buruk pada eksport Jepun.

"Pasaran ekuiti Asia dan Eropah telah menjunam dan kesan serupa akan menimpa AS hari ini (semalam)," kata pegawai strategi kanan firma BGC Partners di sini, Howard Wheeldon.

Kerugian berlaku selepas pasaran-pasaran saham utama Eropah menjunam lebih tiga peratus kelmarin berikutan pelabur dikejutkan dengan permintaan firma pelaburan milik kerajaan Dubai, Dubai World untuk menangguhkan pembayaran hutangnya selama enam bulan.

Kerajaan Dubai menggegarkan pasaran kewangan pada Rabu lepas apabila ia mengumumkan akan meminta para pemiutang Dubai World penangguhan bayaran hutang yang dilaporkan mencecah AS$59 bilion (RM200 bilion).

Berita yang disiarkan akhbar Financial Times tersebut menimbulkan banyak persoalan selain menjejaskan reputasi Dubai sebagai hab pembangunan hartanah.

Maklumat pada laman web Persatuan Perbankan UAE menunjukkan tiga bank asing yang memiliki pelaburan terbesar di negara itu adalah HSBC dengan pelaburan 11.3 bilion euro (RM57 bilion) diikuti dengan Standard Chatered sebanyak 5.1 bilion euro (RM25.7 bilion) dan Barclays yang mencecah 2.3 bilion euro (RM11.6 bilion).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: