Sunday, November 29, 2009

Natrah singkap peristiwa berdarah


TERAJU utama Natrah (dari kiri) Umie Aida, Maya Karin dan Remy Ishak.


BELUM lagi dipentaskan, pelbagai kisah sudah kedengaran. Paling mengejutkan apabila nama pelakon utama yang disebut-sebut bakal membawakan watak Natrah menarik diri disaat akhir.

Usah diungkit kisah yang lalu memandangkan teater yang diangkat daripada kisah benar ini bakal menemui penonton mulai malam esok di Panggung Sari (IB), Istana Budaya.

Natrah mengisahkan Maria Hertogh, seorang gadis Belanda yang diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya kerana ditawan tentera Jepun.

Maria Hertough atau nama Islamnya Natrah telah dipelihara dan hidup dalam suasana pendidikan Islam sejak dipelihara oleh Che Aminah.

Namun apabila bapanya Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat, dia pulang ke Bandung, Jawa untuk mencari anaknya Nantrah yang ketika itu berada di Chukai, Terengganu.

Konflik berlaku apabila perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Che Aminah yang diwakili peguam Ahmad Ibrahim menang dalam kes rayuan dan Natrah dikeluarkan dari York Hill.

Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansur Adabi secara nikah gantung di Singapura. Natrah pada ketika itu berusia 13 tahun manakala Mansur berusia 22 tahun.

Undang-Undang Syariah Islam membenarkan perempuan berkahwin dalam usia sebegitu manakala mengikut Undang-Undang Belanda, seorang anak di bawah usia 16 tahun, bapanya b berhak menentukan kehidupannya.

Konflik agama dan isu penjagaan Natrah telah menyebabkan terjadinya rusuhan di Singapura pada ketika itu.

Teater yang diarahkan oleh Erma Fatima ini turut dilakonkan oleh Maya Karin, Umie Aida, Remy Ishak, Sofia Jane, Samantha Schubert dan ramai lagi.

* Menunggu reaksi peminat

Pelakon Remy Ishak sememangnya bertuah kerana terpilih menyertai produksi Natrah apabila diberi kepercayaan membawakan watak Cikgu Mansur Adabi.

Sambil menyatakan keterujaan berada di pentas IB, Remy juga tidak dapat membayangkan keseronokan apabila terlibat dalam sebuah kisah benar yang pernah menggegarkan negara satu ketika dahulu.

“Saya akui memang saya tidak mengetahui tentang kisah Natrah sebelum ini. Setelah mendapat tawaran untuk berlakon barulah saya tahu apa yang terjadi kepada Natrah pada waktu itu.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berada di pentas teater memandangkan sebelum ini saya tidak pernah menyertai mana-mana produksi teater.

“Sudah pasti saya seronok membawakan watak Mansur Adabi. Tapi semakin lama berlatih, semakin banyak yang saya pelajari dan ia bukanlah satu perkara yang mudah seperti yang saya sangkakan selama ini.

“Selain perlu memberikan komitmen kepada produksi ini, saya juga perlu memastikan yang saya tidak boleh melakukan kesilapan ketika pementasan nanti,” ujar pelakon yang popular dalam drama siri Nur Kasih ini.

Akui Remy lagi, banyak persediaan yang terpaksa dilakukan semasa latihan memandangkan kisah ini merupakan kisah benar dan bukannya sesuatu cerita yang dicipta.

“Saya berterima kasih kepada keseluruhan pasukan yang banyak membantu saya selama ini terutama Erma Fatima yang banyak membantu saya untuk menjadi pelakon yang baik.

“Cuma apa yang paling membimbangkan apabila saya dikehendaki menari dan menyanyi. Inilah cabaran terbesar memandangkan saya tidak arif dalam kedua-dua bidang ini,” luah Remy.

Bagi Maya Karin pula, sudah sepuluh tahun pelakon berbakat besar itu tidak menyertai mana-mana teater dan sudah pasti dia mahu memberikan yang terbaik kepada keseluruhan pementasan ini.

Tambahnya Maya lagi, ini merupakan teater Melayu pertama yang disertainya kerana sebelum ini dia hanya terlibat dalam teater Inggeris yang dipentaskan di tempat yang lebih kecil.

“Ini merupakan peluang saya untuk menunjukkan bakat setelah sekian lama tak terlibat dalam mana-mana teater. Pastinya saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana diberi peluang untuk terlibat sama.

“Membawakan watak Natrah ketika kecil bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu saya pelajari walaupun saya tahu mengenai kisah Natrah sebelum ini.

“Ramai yang tahu mengenai kisah Natrah tetapi tidak mengetahui apa kesudahan yang berlaku. Setidak-tidaknya datanglah menonton dan melihat apa sebenarnya yang berlaku sepanjang hidup Natrah sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.

“Saya menyertai produksi ini pada saat akhir dan hanya sempat berlatih selama lima minggu sahaja. Walaupun ia satu jangka masa yang pendek tetapi sangat berbaloi memandangkan semua tenaga produksi yang benar-benar komited.

“Pengalaman berlakon dalam Natrah akan menjadi titik tolak kepada diri saya. Insya-Allah jika saya berjaya saya akan terus terlibat dalam lakonan teater pada masa hadapan,” ujar Maya lagi.

* Sakit sebelum pementasan

Umie Aida yang akan membawakan watak Che Aminah pula diserang sakit tekak minggu lalu. Ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini Umie kesihatan adik kepada Erma Fatima itu sudah menunjukkan tanda-tanda beransur sembuh.

“Watak Che Aminah ini memang satu watak yang begitu mencabar bagi saya. Selain memerlukan mainan emosi watak ini juga memerlukan saya meraung, menjerit dan menangis demi anaknya Natrah.

“Che Aminah adalah satu watak yang penuh dengan kesakitan dan penderitaan. Penderitaan mempertahankan Natrah daripada diambil oleh bapanya dan mainan emosi.

“Inilah yang membuatkan tekak saya sakit dan alhamdulillah semuanya sudah pulih dan saya sendiri sudah tidak sabar-sabar untuk menantikan pementasan ini nanti.

“Bekerja dengan Erma Fatima sebenarnya memberikan cabaran yang besar kepada saya. Saya terpaksa menghafal dialog dan lebih pantas dari orang lain dan tidak boleh melakukan kesalahan.

“Tapi saya seronok bekerjasama dengannya dan seluruh pasukan produksi. Baik buruknya sesebuah teater itu tidak bergantung kepada pelakon semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan pasukan,” ujarnya lagi.

Jelas Umie, dia mengharapkan peminat akan hadir menyaksikan pementasan ini nanti memandangkan ia merupakan naskah realiti yang perlu diketahui umum.

Pementasan teater Natrah akan berlangsung mulai 30 November sehingga 9 Disember ini. Layari www.istanabudaya.gov.my atau menghubungi 03-4026 5558 untuk tempahan tiket.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: