" Saya amat bertuah untuk menjadi popular pada usia muda. Ramai orang tidak mendapat peluang sebegitu sehingga berusia 27 atau 30 tahun. Hidup sebati dengan muzik adalah pilihan tepat dan terbaik buat saya" – ROBBIE
MENYEPI selama tiga tahun semenjak pelancaran album studionya, Rudebox (2006), Robbie Williams membuktikan karier solonya selama 12 tahun ini tidak pernah berhenti. Berpisah daripada kumpulan Take That pada tahun 1997, Robbie sejak itu memiliki tujuh album solo yang sudah terjual sebanyak 55 juta unit di seluruh dunia.
Robbie yang memulakan karier pada usia 15 tahun bersama kumpulan Take That bukan sahaja terkenal kerana muzik tetapi juga pe rsonalitinya. Pernah menimbulkan kontroversi kerana kecenderungan seksualitinya, Robbie, 35, kini bercinta dengan aktres, Ayda Field.
Penyanyi kelahiran England itu juga dilaporkan pernah bertarung dengan masalah mental, obesiti, isu keyakinan, ketagihan alkohol dan penderaan.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangat Robbie atau nama sebenarnya, Robert Peter Williams kembali ke industri muzik dengan album solo kelapannya, Reality Killed The Video Star. Dihasilkan oleh Robbie di kediamannya yang terletak di Los Angeles (LA), album itu dirakamkan di London.
Sudah berada di pasaran sejak 9 November lalu, single pertama album itu, Bodies mula bermain di corong radio sejak 12 Oktober lalu. Merangkumi lagu-lagu seperti Morning Sun, You Know Me, Blasphemy, Do You Mind?, Last Days of Disco, Somewhere, Deceptacon dan Difficult for Weirdos, ikuti temu bual Robbie yang disediakan oleh Warner Music Malaysia untuk mengetahui lebih mendalam mengenai kehidupan dan album yang diterbitkan oleh Trevor Horn.
Anda dilihat sebagai figura yang berjaya dalam industri muzik. Ceritakan perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup anda?
Robbie: Saya amat bertuah untuk menjadi popular pada usia muda. Ramai orang tidak mendapat peluang sebegitu sehingga berusia 27 atau 30 tahun. Hidup sebati dengan muzik adalah pilihan tepat dan terbaik buat saya.
Sejak itu anda tidak lagi berpatah balik. Namun, anda menyepikan diri daripada perhatian ramai untuk seketika. Mengapa anda berbuat demikian?
Saya perlu berehat. Selepas konsert jelajah dunia Close Encounters tamat pada Disember 2006, saya membuat keputusan bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk menghilangkan diri buat sementara. Jangka masa itu digunakan oleh saya untuk melihat siapa diri saya sebenar tanpa dunia glamor.
Apakah yang anda lakukan sepanjang masa rehat selama tiga tahun itu?
Walaupun tidak melibatkan diri dalam seni nyanyian, saya tidak dapat berhenti menulis lagu. Saya hanya duduk di rumah, bersara daripada aktiviti malam di bar dan kelab malam. Tempat-tempat itu tidak lagi menarik perhatian saya.
Adakah anda masih berhubung dengan bekas anggota kumpulan Take That yang lain?
Saya bersama Gary Barlow beberapa minggu lalu dan kami menyaksikan keseluruhan konsert Take That di rumah saya. Ia adalah salah satu persembahan terbaik yang pernah saya saksikan. Ketika menyaksikan konsert itu, ia membuatkan saya ingin beraksi bersama Take That sekali lagi. Saya juga ada terfikir untuk melaksanakan konsert jelajah solo tetapi bukan dalam masa terdekat.
Mengapa? Adakah anda sudah membuat keputusan untuk bersara daripada persembahan live?
Sebenarnya saya kini sedang bergelut dengan ketakutan di atas pentas. Perasaannya amat menyakitkan dan semakin teruk terutama apabila saya lebih tua. Ia amat menakutkan. Tapi saya akan mencari jalan untuk menangani masalah itu.
Ceritakan sedikit mengenai single baru anda, Bodies. Anda menulis lagu itu semasa menetap di Los Angeles. Dari mana anda mendapat idea di sebalik lagu dan muzik videonya?
Lagu itu sendiri sudah mencipta konspirasi. Liriknya sudah berada dalam kepala saya selama tiga tahun lalu. Ideanya dikumpul semasa saya menonton filem seperti Zeitgeist, The God That Wasn't There dan 9/11 Was An Inside Job.
Mungkin ada peminat yang berpendapat saya gila tetapi pada saya ia sebuah lagu menarik.
Anda tidak kisah dengan kritikan yang mungkin diterima memandangkan kedua-dua lagu dan klip videonya menonjolkan perkara berkaitan pasca kiamat?
Saya tidak tahan dengan orang yang memikirkan dia seorang yang intelektual. Saya berang dengan orang sebegitu. Namun, apa yang saya tampilkan dalam lagu Bodies merupakan pandangan dan pemikiran saya.
Stail muzik anda untuk album baru ini agak luas dan girang. Mengapa anda suka memasukkan banyak stail dan tema tidak seperti penyanyi lain seangkatan dengan anda?
Cita rasa saya amat luas. Namun, saya tidak sedar bahawa saya tidak boleh memasukkan banyak stail dalam sebuah album. Setiap kes ada pengecualiannya dan saya selalu menjadi orang yang melanggar undang-undang.
Album ini memuatkan elemen-elemen yang tidak sempat saya masukkan dalam album sebelumnya.
Bagaimana dengan lagu-lagu lain? Dari mana anda mendapat ideanya?
Irama dan topik dalam album ini seperti yang anda ketahui amat luas. Antara lagu untuk memberi pujian kepada mereka yang terkorban dalam peperangan (Morning Sun), populariti (Starstruck) serta lagu Won't Do That To You yang merupakan lagu cinta pertama saya. Kebanyakannya saya menulis mengenai apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Apa yang menarik dalam album ini yang membuatkan peminat mahu membelinya?
Muzik electronica dan balada yang mempunyai perasaan 70-an. Saya tidak pasti sama ada pendengar mahu mendengar lagu saya tetapi saya berharap mereka masih boleh menerima muzik saya.
Jika mereka memulaukan album anda?
Saya tidak kisah jika anda suka atau tidak. Rasanya untuk beberapa bulan akan datang bakal menentukan nasib saya dalam industri. Ini adalah album yang saya banggakan kerana ia amat cerdik dan saya mahu orang ramai bersetuju dengan saya. Jika mereka memikirkan Robbie Williams, saya mahu mereka teringat Reality Killed The Video Star.
Jadi anda sudah bersedia untuk menakluki carta muzik sekali lagi?
Ya, sudah tiga tahun saya tidak melakukan apa-apa. Tapi saya selalu takut apabila album saya berada di pasaran. Itu memang sifat saya. Memang saya tidak sabar untuk menyanyi dan melihat reaksi orang.
Saya mahu mereka berasa gembira, menari dan melupakan siapa diri mereka untuk 50 minit. Saya berharap mereka boleh mengaitkan diri mereka dengan lagu-lagu saya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: