Saturday, November 28, 2009

Telefilem hebat sempena Aidiladha




Seperti sudah menjadi tradisi, stesen-stesen TV tempatan akan mengambil peluang di setiap musim perayaan untuk memberi hiburan berterusan. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini dijangka menjadi lebih menarik apabila stesen-stesen TV tempatan telah membariskan beberapa telefilem hebat untuk tontonan seisi keluarga.

Alami keseronokan menonton telefilem-telefilem menarik di saluran Astro Prima dan TV9 sempena Hari Raya Aidiladha.


Saluran: Astro Prima

Anak Kurang Disayangi Tuhan

28 November 2009, Sabtu, 12 tengah hari

Telefilem ini telah digarap dengan begitu simbolik sekali tentang pengorbanan seorang anak angkat, Rocky yang sanggup mendermakan ginjalnya kepada bapa angkatnya yang menghidap penyakit barah tanpa pengetahuan sesiapa sehinggalah dia meninggal dunia. Telefilem ini menjadi bertambah menarik dengan lakonan ramai pendatang baru dan lama seperti Dayana Anak Wayang, Roslan Salleh, Maimon Mutalib, Rashdan Babab, Khatijah Ghani, Norhasliza Shadan dan Nadia Abdul Rahjiim.



Kenderaan Ke Syurga

29 November 2009, Ahad, 12 tengah hari

Telefilem komedi ini mengisahkan tentang pembalasan pelbagai kerenah anak-anak; Jaafar dan Malik yang menjaga orang tua mereka, Tuk Hamzah semata-mata kerana dambakan harta dan kekayaan. Walau bagaimanapun, niat mereka yang serong itu dilihat Allah apabila segala cita-cita dan hasrat mereka tidak terlaksana seperti yang dirancang.



Saluran: TV9

Seluhur Nazar

29 November 2009, Ahad, 11.30 pagi

Drama ini mengisahkan tentang Fatimah, seorang ibu tunggal yang bernazar untuk mengorbankan seekor lembu sempena Aidiladha. Suatu hari tanpa diduga, dia telah dirompak dan ketika bergelut untuk menyelamatkan diri, kepalanya telah dipukul oleh perompak dan dibiarkan di tepi jalan. Keadaan Fatimah yang kritikal dan koma telah mendesak anak-anaknya untuk menunaikan hajat terakhir ibu mereka. Saksikan lakonan hebat Elly Suriati, Syafie Naswip, Rozita Che Wan, M Rajoli dan Zed Zaidi.



Warkah Untuk Ibu

30 November 2009, Isnin, 9.30 malam

Sebuah drama mengisahkan tentang seorang bapa yang cuba untuk menjadi seorang ibu setelah kematian isteri di dalam satu kemalangan berhadapan dengan dugaan dan cabaran membesarkan anak-anaknya. Sejak kematian isteri tercinta, Nordin tidak menyambut Hari Raya Haji hampir lima tahun. Anak-anaknya mulai memendam perasaan. Malah Nordin sentiasa sibuk dan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anak. Bagi Nordin, itulah pengorbanannya terhadap anak-anak supaya mereka hidup dalam penuh keselesaan. Suatu malam Nordin begitu terkejut kerana anak-anaknya tiada di rumah. Apabila masuk ke bilik mereka, Nordin sedih membaca surat yang ditulis oleh anak-anaknya. Apabila membaca luahan anak-anaknya barulah Nordin sedar kesilapannya kerana memahami perasaan mereka dan menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh mereka terhadap bapa tersayang mereka. Drama ini menampilkan pelakon seperti Rusdi Ramli, Ahmad Ezzarin Loy, Farhana Qisrina dan Ridhuan Hashim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: