Sunday, November 29, 2009

Projek Monologue Loque


LOQUE pernah duduk bertapa di rumah akibat kecewa dengan perpecahan Butterfingers.


APABILA datang satu kekecewaan, selalunya yang berhasil selepas itu adalah satu kesan negatif terhadap kehidupan.

Tetapi tidak bagi seorang lelaki yang sudah biasa dikenali sebagai salah seorang anggota Butterfingers ini. Khairil Ridzwan atau Loque Butterfingers menemukan sesuatu selepas pernah berdepan rasa kecewa dan 'jatuh'.

"Segalanya bermula pada tahun 2004 apabila saya menutup studio saya dan Butterfingers menghadiri satu persembahan tanpa Emmett. Saya berasa kecewa dan duduk bertapa di rumah untuk seketika. Dari situ, projek Monoloque bermula," ulas Loque mengenai projek yang baru ditubuhkan atas dasar kebebasan berkarya.

Ujarnya memulakan cerita perjalanan Monoloque, material untuk projek ini bermula dengan penggunaan komputer dan bahan-bahan elektronik yang dirakam di rumahnya sendiri.

Lagu pertama yang terhasil daripada pertapaan ini yang berjudul Jika Aku Seorang Robot telah sampai ke pengetahuan Adli, XFM dan diperdengarkan di radio. Semuanya bermula secara tidak sengaja dan menurut Loque, lagu ini bukanlah bertujuan untuk diperdengarkan kepada umum.

"Perancangan sekarang apabila satu lagu sudah keluar di radio adalah mengadakan persembahan secara live untuk membentuk bunyi-bunyian Monoloque dan mencari ciri khas kami.

"Buat masa sekarang saya boleh katakan Monoloque cuba bersifat dekat dengan hubungan manusiawi," ujar Loque yang memberitahu bahawa Kadaq dan Loco adalah nama yang berada dalam barisan projek Monoloque. Antara lagu yang terhasil di bawah projek ini ialah Rindu Dendam, Pecah Amanah, Chinta dan Perempuan Kalis Peluru.

Selesai menjalani proses pembelajaran di Kolej Berklee, Amerika Syarikat dan selain ijazah dalam pengkhususan komposisi dan sintesis yang dibawanya pulang, satu lagi perkara yang tidak ternilai dibawa pulang oleh Loque adalah pembelajaran kehidupan.

Menurut Loque, berada dalam komuniti negara luar mengajarnya menjadi lebih nasionalis dan menghargai bahasa ibunda sendiri. Pelajaran hidup yang dikecapi secara tidak formal ini begitu memberi impak terhadap dirinya.


LOQUE (tengah) dan 'tentera' Monologue yang akan diperkenalkan kepada umum dalam masa terdekat ini.


"Jika dalam kalangan peminat Butterfingers sudah menyedari bahawa melalui album Selamat Tinggal Dunia sudah dijentik rasa nasionalisme itu tetapi melalui Monoloque, rasa itu semakin tebal dan kita bermula dengan mengenengahkan bahasa ibunda kita dalam setiap lagu.

"Kalau dihitung tahap nasionalisme saya sekarang, boleh dikatakan di tahap ekstrem. Saya gemar mengkaji karya-karya P. Ramlee, R. Azmi dan hero-hero industri kita seperti Zubir Said, Normadiah, Saloma, Sanisah Huri, Kassim Masdor dan Herman Tino. Saya mahu karya-karya sebegini terus hidup dalam udara industri seni tanah air kita," ujarnya yang baru selesai menulis lagu Pelita nyanyian Noh Hujan dan Azlan (Azlan & The Typewriter) sebagai lagu runut bunyi filem Lupus.

"Saya lihat dalam masyarakat kita banyak yang suka mengkritik. Maka saya rasa apa yang perlu adalah aura positif agar kita lebih positif."

Beritahu Loque lagi meceritakan pergerakan Monoloque dalam industri seni tempatan, mereka sedang mengukir bunyi yang sesuai dan paling penting adalah cuba menyahkan bunyi Butterfingers agar tidak keliru pada pendengaran peminat.

Apa yang penting dalam pergerakan grup Monoloque ini adalah isi dan tunas baru yang mereka berikan dalam mencambahkan pemikiran seni, bukan kerana mengejar masa.

"Seperti yang saya katakan, Monoloque lebih tertumpu kepada persembahan secara langsung dan dalam masa yang sama membentuk bunyi yang kami cari dan mahukan," ujar Loque tentang projek Monoloque yang dibunyikan oleh Kugiros atau singkatan kepada Kugiran Gitar Rosak.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: