|
|
SAMA ada mahu dipercayai atau tidak, stesen radio yang merangkumi stesen milik kerajaan atau swasta masih belum cukup di negara ini. Itulah pandangan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Radio Komersial Malaysia (CRM), Datuk Borhanuddin Osman Menurut beliau,
jumlah stesen radio tempatan khususnya radio swasta di negara ini perlu berkembang seiring dengan pertambahan jumlah penduduk.
Melihat jumlah yang ada sekarang ia seperti tidak tidak mencukupi dan jumlah tersebut perlu diperbesarkan kerana minat atau kecenderungan pendengar adalah berbeza-beza dan pelbagai.
"Penduduk Malaysia ada 25 juta orang tetapi kita hanya memiliki 19 buah stesen radio swasta dan 35 lagi stesen diselia oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Jumlah ini agak kecil jika hendak dibandingkan dengan New Zealand.
"Negara terbabit mempunyai jumlah penduduk yang kecil tetapi mempunyai 200 buah stesen radio. Oleh sebab itu, memang saya katakan jumlah stesen radio swasta kita masih belum cukup,'' jelasnya.
Ujar Borhanuddin, atas dasar itu, CRM mengalu-alukan kemunculan stesen radio swasta yang baru bagi memenuhi kehendak pendengar yang pelbagai.
"Selain kemunculan stesen baru, stesen yang menjurus kepada kelompok pendengar tertentu juga perlu dikembangkan.
"Ada orang minat dengar lagu-lagu pop, rock dan sebagainya. Sebab itu, radio yang memfokus kepada pendengar yang terhad atau terbatas ini perlu ada,'' katanya.
Mengalih perbualan mengenai penubuhan CRM, Borhanudin berkata, CRM diasaskan dengan matlamat membangunkan industri penyiaran radio di negara ini
CRM yang ketika ini menaungi 19 buah stesen radio swasta memandang jauh bagi memantap dan memajukan lagi industri berkenaan.
Biar sesama mereka saling bersaing dalam merebut jumlah pendengar dan pengiklan, CRM tidak memandangnya sebagai penghalang untuk memastikan radio swasta terus berkembang sebagai antara media berpengaruh.
Atas dasar itu, melalui CRM, kesemua 19 stesen terbabit saling berkongsi apa jua pandangan bagi membangun secara bersama di sebalik wujudnya persaingan.
Stesen radio yang bernaung di bawah CRM adalah Hitz FM, Mix FM, 988, Best 104, Catz FM, Radio Era, Lite FM, My FM, Red 104.9, THR, Sinar FM, XFresh, Suria FM, IKIM FM, Hot FM, Fly FM, BFM 89.9, Capital FM dan One FM.
Melupakan sejenak soal siapa nombor satu atau siapa paling banyak pendengar, CRM diasaskan dengan matlamat kesemua stesen radio berkongsi persamaan.
Persamaan berkenaan merangkumi proses penilaian rating yang standard, etika, segala hal berkaitan akta dan pelesenan serta duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dalam meningkatkan kualiti penyiaran.
Menurut Borhanuddin, selain daripada itu, CRM juga perlu peka dengan perkembangan teknologi terkini dunia penyiaran radio yang dapat dimanfaatkan oleh kesemua stesen radio berkenaan.
"Kini dunia teknologi komunikasi kian berkembang. Sesebuah stesen radio itu perlu peka dan turut bersama dengan perkembangan teknologi tersebut.
"Menerusi teknologi komunikasi, radio bukan hanya mampu berkumandang secara on air (ke udara) tetapi secara bergerak (mobile) dan Internet.
"Untuk itu, CRM dan stesen radio yang berada di bawah CRM perlu bersama dan berkongsi idea dalam perubahan teknologi ini,'' katanya ketika ditemui di Karnival Radio Fest 2009 di Bulatan Bazarena, Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Penganjuran Radio Fest 2009, Seelan Paul.
Radio Fest 2009 anjuran CRM merupakan acara yang diadakan bagi meraikan pertumbuhan sihat industri radio tempatan sekali gus menghargai para pengiklan serta pendengar radio.
Selain penyampai radio, Radio Fest 2009 turut menghimpunkan barisan 'orang nombor satu' yang berperanan dalam membangunkan stesen radio masing-masing.
Mengulas lanjut, Borhanuddin berkata, cabaran industri penyiaran radio pada masa depan sememangnya cukup besar dan stesen radio perlu bersatu agar tiada pihak yang tercicir.
"Oleh yang demikian, kami juga sedang merancang beberapa agenda dan aktiviti lain sepanjang 2010 dalam usaha meningkatkan bidang penyiaran radio,'' ujarnya.
Radio Fest perkukuh hubungan
Dalam pada itu, mengenai penganjuran Radio Fest 2009, Seelan yang juga Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima Berhad berkata, melalui karnival tersebut, ia mampu mengukuhkan lagi hubungan antara stesen radio swasta di negara ini.
"Secara individu, memang kami saling bersaing. Tetapi, dengan adanya Radio Fest, ia membuatkan kami semakin kuat.
"Untuk menganjurkannya bukanlah kerja mudah terutama hendak mengumpulkan semua stesen radio swasta.
"Bukan sahaja bos-bos bagi setiap stesen, Radio Fest juga menghimpunkan barisan penyampai radio masing-masing,'' katanya.
Kata Seelan, bukan sahaja untuk stesen radio, Radio Fest dianjurkan bagi merapatkan lagi hubungan antara radio dan pengiklan serta pendengar.
Dalam Radio Fest 2009, selain peluang bertemu penyampai radio, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan pentas.
Antara artis yang menghiburkan orang ramai dalam karnival yang bermula pada pukul 10 pagi itu ialah Suki, Bittersweet, Bunkface, Pesawat, Aizad dan MC Jazz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: