DARI kiri; Hairul, Sharlyza, Tiara dan Naufal hadir pada sidang media di Sunway Piramid, baru-baru ini. |
Drama empat episod mengisi slot Suatu Ketika di Astro Citra mulai 2 Disember
HAYAT dan legasi filem kebanggaan Datin Seri Tiara Jacquelina, Puteri Gunung Ledang (PGL) nampaknya akan terus mekar dalam ingatan penggemar karya ini. Bermula dengan cetusan menghasilkan filem terbabit menerusi sentuhan Saw Teong Hin, ia seterusnya diterjemahkan ke medium teater pada Februari 2006.
Tahun ini, berita baik sekali lagi dihebahkan apabila filem yang banyak meraih anugerah tempatan dan asing itu diformatkan ke bentuk drama sebanyak empat episod. Berdurasi selama sejam setiap satu episod, drama PGL ini mengisi slot Suatu Ketika di Astro Citra (saluran 131) mulai 2 Disember ini.
“Daripada membiarkan babak ini terbuang begitu saja, lalu peluang yang ditawarkan Astro Citra ini wajar diterima. Setidak-tidaknya penonton disajikan dengan sisi lain yang tidak ada dalam filem. Cara begini secara tidak langsung tidak akan ‘memupuskan’ karya PGL itu.
“Kewujudan versi drama ini juga mula menyingkap kembali kenangan dan momen indah serta nilai sentimental yang dikaut sewaktu penghasilan filem ini. Malah ia seiring dengan ulang tahun sambutan PGL yang kelima pada tahun ini.
“Filem ini terhasil dengan penuh kasih sayang dan dedikasi setiap orang penting yang terbabit daripada setiap sudut. Drama ini tiada beza seperti format filem yang dipecahkan menjadi empat episod. Selain empat episod, turut dimuatkan satu episod khas di sebalik pembikinan PGL,” kata Tiara yang ditemui di Borneo Rainforest Restaurant, Sunway Piramid minggu lalu.
Ditanya lagi kepada Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50, apa yang dapat ditawarkan pihaknya untuk memastikan PGL terus terpahat dalam ingatan, Tiara memintas sambil berseloroh mengatakan kepada Hip barangkali PGL boleh dipentaskan di atas ais pula.
“Ketika ini pun buku kanak-kanak PGL dijual dan diedarkan di kedai buku MPH. Malah paling membanggakan kami, ia turut digunakan di sekolah antarabangsa sebagai bahan sokongan dan teks rujukan terutama yang membabitkan sejarah kota Melaka.
“Saya dan Datuk Zahim Al Bakri turut diundang untuk melakonkan karakter PGL di sekolah terbabit. Ia sekali gus menjadi landasan terbaik buat kami untuk terus mempromosikan PGL selagi termampu dan terus bernyawa. Siapa tahu mungkin suatu hari nanti, PGL akan tampil dalam versi animasi atau tiga dimensi pula,” katanya teruja sambil memberitahu tidak sabar menunggu babak membabitkan Hang Tuah lakonan M Nasir dan Hang Tuah (Shaharuddin Thamby) serta adegan tarian Kraton.
Tiara turut menjelaskan dengan semangat Malaysia Boleh yang kita miliki, tidak mustahil sesuatu perkara itu mampu dilakukan. PGL bukti betapa hebat karya tempatan hingga mampu menjadi filem pertama dari Malaysia yang disenarai pendek dalam pencalonan Anugerah Academy ke-77 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.
“Dulu kita barangkali tidak bermimpi untuk merasai nikmat keseronokan dan keterujaan tercalon dalam anugerah berprestij seperti Anugerah Academy. Tapi kini ia setidak-tidaknya menjadi kenyataan yakni sebagai impak dan permulaan terbaik membuka pintu untuk menjejakkan kaki ke luar negara.
“Filem ini turut dijual dan ditayangkan di 13 buah negara luar seperti Eropah, China, Thailand dan Singapura. Cuma selepas ini orang luar sering tertanya-tanya apa lagi produk tempatan untuk dipersembahkan ke luar negara yang boleh terus dibanggakan kita selepas PGL,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis Sharkawi memberitahu perbincangan membabitkan pihaknya dan Enfiniti Productions diadakan tidak kurang dari sebulan. Ia akhirnya membuahkan kata sepakat untuk mempersembahkan PGL dalam versi drama.
“Bersesuaian dengan slot Suatu Ketika ini yang menampilkan cereka epik dan lagenda, lalu kami tidak mahu ketinggalan mengabadikan PGL sebagai buah tangan keenam mengisi slot ini. Selain drama, Astro Prima turut memaparkan dokumentari berkaitan PGL mulai 27 Disember.
“Astro Citra akan terus berusaha memaparkan drama sedemikian kepada penonton dalam usaha memberi variasi. Kejayaan drama Rosly Dhoby yang turut dimuat dalam slot yang sama sebagai Dokumentari Terbaik di Festival Dokumentari Malaysia baru-baru ini terus membakar semangat.
“Mungkin tahun depan, siapa tahu drama PGL pula akan tercalon dalam kategori tertentu. Ketika ini juga kami begitu teruja menanti keputusan drama Warkah Terakhir yang tercalon untuk kategori Siri Drama Terbaik di dalam Anugerah Televisyen Asia ke-14 pada 3 Disember ini. Drama Rosly Dhoby turut tercalon,” kata Sharlyza.
Turut hadir pada sidang media itu ialah pembantu pengarah PGL, Hairul Salleh Askor dan adik Mohd Naufal Nasrullah yang melakonkan watak Raja Ahmad, anak kepada Sultan Melaka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: