STAFFORD - Dua lelaki Britain menjadi jutawan segera apabila artifak zaman Anglo-Saxon yang mereka temui disahkan bernilai £3.28 juta (RM18.45 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Fred Johnson, seorang petani dan Terry Herbert, bekas pekerja kilang keranda hanya menggunakan sebuah alat pengesan logam bernilai £2.50 (RM14) yang dibeli pada tahun 1991.
Mereka menjumpai sejumlah 1,500 item yang dianggarkan berusia 1,300 tahun itu di Lichfield dan Tamworth, Staffordshire, 198 kilometer dari London pada 5 Julai lalu.
Tinggalan purba itu dihantar kepada pihak berkuasa kerana dianggap sebagai milik negara dan kemudian dinilai oleh Jawatankuasa Bebas Penilaian Khazanah di Muzium British.
Herbert, 55, juga pencari logam bawah tanah menemui artifak itu termasuk 650 item emas seberat lima kilogram di kebun milik Johnson, 65, sebelum dimuatkan ke dalam 244 buah beg.
Khazanah yang juga meliputi 530 objek logam seberat satu kilogram itu bakal disimpan sebagai koleksi pameran di Muzium Birmingham dan Muzium Tembikar di Stoke-on-Trent.
Sehingga kini, dua lelaki itu masih terkejut dan tidak menyatakan rancangan mereka apabila masing-masing mendapat £1.74 juta (RM9.78 juta) hasil penemuan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: