Saturday, November 28, 2009

Ahli politik arah kemaluan wanita ditembak


SEORANG pegawai polis merakam gambar Andal Ampatuan Jr. yang ditahan di Manila.


MANILA - Ahli politik Filipina, Andal Ampatuan Jr. mengarahkan beberapa anggota tentera, anggota polis dan lelaki bersenjata untuk membunuh lebih 57 orang awam termasuk menembak kemaluan wanita, kata pihak kerajaan semalam.

Bercakap mengenai pembunuhan beramai-ramai pada Isnin lepas yang menggemparkan rantau Asia Tenggara itu, Setiausaha Kehakiman Filipina, Agnes Devanadera berkata, mangsa-mangsa wanita itu turut dirogol sebelum dibunuh.

Menurutnya, beratus-ratus anggota polis yang setia kepada Ampatuan Jr. di wilayah Maguindanao telah ditangkap kerana disyaki terlibat atau bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

"Ia (pembunuhan itu) dahsyat. Sukar untuk saya menceritakannya," kata Devanadera sebelum menerangkan bahawa dia telah melihat semua mayat mangsa dan turut mendengar keterangan kebanyakan mereka yang terbabit dalam pembunuhan itu.

Katanya, Andal Ampatuan Jr. yang menyerah diri pada Khamis lalu, mengarahkan lebih 100 anggota militia peribadinya melepaskan tembakan terhadap sekumpulan orang awam di sebuah kawasan pertanian di pedalaman selatan Filipina.

Sejurus sebelum itu, kumpulan bersenjata tersebut menculik satu konvoi yang terdiri daripada beberapa pembantu dan saudara-mara seteru politik Ampatuan Jr. iaitu Esmael Mangudadatu selain sekumpulan wartawan.

Ketika kejadian, kumpulan itu sedang menuju ke sebuah pejabat pilihan raya supaya isteri Mangudadatu dapat mencalonkan suaminya untuk menentang Ampatuan Jr. bagi jawatan Gabenor Wilayah Maguindanao dalam pilihan raya tempatan tahun depan.

Polis menyatakan sekurang-kurangnya 22 yang dibunuh adalah wanita.

Kumpulan bersenjata itu turut membunuh 27 wartawan selain 15 pemandu kenderaan yang kebetulan melalui tempat kejadian tetapi dibunuh untuk menghapuskan saksi kejadian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: