Meninjau sambil membeli jaket kulit, kain dan kopiah di Bazar Zainab, Karachi. |
Bisikan pelawat pada sudut dinding Masjid Badshahi boleh didengari di sudut dinding lain
KARACHI, Lahore dan Islamabad adalah tiga kota Pakistan yang menawarkan tempat menarik dan sejarah tersendiri.
Karachi ialah sebuah bandar pelabuhan yang juga ibu kota pertama Pakistan mulai 1947 hingga 1958. Mereka yang menggunakan jalan udara akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi.
Karachi menjadi ibu kota Pakistan apabila negara baru itu dibentuk dan menerima banyak imigran dan pelarian dari India. Pada 1958, ibu kota Pakistan ditukar dari Karachi ke Rawalpindi.
Karachi menjadi ibu kota Sindh, menyebabkan tarikan kota ini berkurangan kerana ramainya pelarian dari India. Pada 1980-an dan 90-an, ramai pelarian Afghanistan memasuki Karachi hingga menyebabkannya digelar 'kota pendatang tanpa izin.'
Bagaimanapun, Karachi tetap membangun dari semasa ke semasa dan kini pusat kewangan dan industri Sindh kerana menjadi tempat urus niaga antarabangsa.
Penduduk Karachi juga meningkat dan dianggarkan 10 juta orang mendiaminya pada masa ini. Antara perkara pertama yang dimaklumkan kepada pelawat mengenai Karachi ialah kunjungan seseorang itu tidak akan lengkap jika tidak menjenguk bazar Zainab atau 'Zainab Market.'
Paling kerap diperkatakan orang yang pernah datang ke sini ialah harga pakaian kulit berpatutan, selain segala jenis kain boleh didapati di situ.
"Anda dari Malaysia? Datang ke kedai saya. Kamu saudara kami. Saya akan beri diskaun besar. Pilih apa yang kamu mahu, beritahu harga kamu," kata seorang pekedai di bazar itu kepada saya dan rakan-rakan media dari Malaysia.
Memang benar. Pekedai itu menawarkan harga yang agak rendah jika dibandingkan produk yang sama di Kuala Lumpur. Tetapi, rahsianya ialah membeli banyak atau beramai-ramai, senang sedikit untuk tawar menawar bagi mendapatkan harga yang kita mahu.
Dalam soal makan minum, tiada masalah. Seseorang boleh melawat restoran tepi laut seperti 'Salt N Peppa'. Sambil makan dan menghirup udara segar dan pemandangan tepi pantai.
Karachi juga menempatkan makam serba putih pemimpin Pakistan pertama, Muhammad Ali Jinnah yang disebut 'Mazar-e-Quaid'. Makam itu mula dibina pada 1948 dan siap pada 1960-an, dikawal sepanjang tahun secara bergilir-gilir oleh pasukan tentera darat, laut, udara dan polis negara itu.
Dari Karachi, penerbangan ke Lahore mengambil masa kira-kira dua jam dan seseorang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Allama Iqbal, mengambil nama sempena sasterawan agung Pakistan.
Lahore ialah kota budaya dan nadi negara itu, selain pernah digelar 'Paris of the East.' Lahore menempatkan Masjid Badshahi, masjid kedua terbesar di Pakistan dan Asia Selatan serta kelima terbesar di dunia.
Masjid itu yang dibina ketika era pemerintahan Maharaja Mughal, Aurangzeb, mampu menempatkan lebih 100,000 jemaah dan adalah yang terbesar di dunia dari 1673 hingga 1986 apabila Masjid Faisal terbina di Islamabad.
Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih dekat, model Masjid Badshahi adalah antara tarikan di Muzium Seni Islam di Kuala Lumpur.
Menariknya, seseorang boleh berbisik pada sudut dinding masjid itu dan pada sudut yang lain, bisikan itu boleh didengar.
Bersebelahan masjid itu pula terletak makam Sasterawan Agung Pakistan, Allama Muhammad Iqbal yang dianggap antara tokoh yang memberi inspirasi kepada pergerakan negara Pakistan.
Beliau digelar sebagai Muffakir-e-Pakistan (Pemikir Pakistan) atau Shair-e-Mashriq (Penyair Timur). Iqbal meninggal dunia pada 21 April, 1938 di Lahore pada usia 60 tahun.
Ketika mengunjungi makamnya, saya dan rakan-rakan bertemu beberapa pelawat keturunan Sikh yang kebetulan menziarahi.
Ditanya dari mana, kami diberitahu mereka datang dari Srinagar, Kashmir, dan menyuarakan rasa hormat dan kagum kepada sasterawan agung Pakistan itu.
Kawasan sempadan Wahga juga wajar dikunjungi pemikir sejarah kerana di sinilah satu-satunya jalan darat yang menghubungkan Pakistan dengan India ditandakan dengan dua pintu yang akan dibuka dan kemudian ditutup pada akhir majlis menurunkan bendera.
Majlis membabitkan anggota keselamatan Pakistan dan India yang bingit dengan jeritan 'Pakistan Zindabad' (Panjang Umur Pakistan) dan 'Jai Hind' (Panjang Umur India) selain alunan ayat suci al-Quran di sebelah sempadan Pakistan.
Dari Lahore ke Islamabad menggunakan jalan udara, pelawat akan mendarat di Lapangan Terbang Benazir Bhutto iaitu sempena Perdana Menteri wanita pertama Pakistan yang dibunuh pada 27 Disember 2007.
Islamabad yang juga ibu negara Pakistan ialah bandar paling bersih dan mempunyai penduduk hampir 700,000. Ia menempatkan bangunan kerajaan dan diplomatik termasuk kedutaan Malaysia.
Antara tarikan Islamabad ialah Taman Negara Margalla yang mula dibuka kepada umum pada 1980 dan terletak dekat Tasik Rawal serta mempunyai keluasan lebih 17,000 hektar. Selain haiwan hutan termasuk harimau bintang, monyet, babi hutan dan landak, ia juga sering dikunjungi peminat burung sepanjang tahun.
Paling menarik ialah taman ini berdepan dengan pemandangan kota Islamabad. Seseorang boleh melihat saujana mata memandang keadaan jalan raya, taman termasuk masjid terbesar Pakistan iaitu Masjid Faisal dari sini.
Pakistan memang ada banyak tempat menarik dan sejarah tersendiri, sesuai untuk pelancong berehat dan bersiar-siar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: