Thursday, June 30, 2011

Yana kecut perut lihat wajah Pierre

pix_middle
KEMBALI BERSAMA...Pierre dan Yana kini 'bercinta' dalam filem.
KEMBALI BERSAMA...Pierre dan Yana kini 'bercinta' dalam filem.

MEREKA pernah bercinta sebelum ini namun menghairankan dalam tempoh itu tiada satu pun produksi mahu menggandingkan Norliana Samsudin atau Yana, 27, berlakon filem mahupun drama bersama Mohd Pierre Andre Nazarul Andre (Pierre), 27.

Entah mengapa sepanjang percintaan mereka heboh diperkatakan, tiada pihak berminat mengeksploitasi dua pelakon ini.

Tidak seperti sebelum ini, di mana pasangan artis popular bercinta pasti menjadi rebutan, mengambil contoh Erra Fazira dan Awie di mana penerbit berebut mahu menggandingkan mereka.

Apa yang berlaku kepada Yana dan Pierre adalah sebaliknya. Tidak keterlaluan jika dikatakan rezeki diperoleh mereka selepas putus cinta apabila ditemukan dalam Tiga Temu Janji, filem terbaru arahan Hashim Rejab yang turut mengarah 3.2.1 Cinta.


Sewaktu menjenguk ke lokasi Tiga Temu Janji di Gombak, Selangor baru-baru ini, Hashim menjelaskan kedua-dua pelakon yang turut bergelar pengarah ini pertama kali digandingkan menerusi drama Tarian Melayu Terakhir. Bagaimanapun waktu itu mereka tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.


Pastinya gandingan Yana dan Pierre bakal menjadi perhatian terutama membabitkan keserasian antara mereka sewaktu beraksi menerusi filem ini selepas tidak lagi bergelar kekasih.

Bertindak profesional, jelas Pierre, dia tidak ada masalah sepanjang penggambaran Tiga Temu Janji, dijalankan malah sebelum ini aktor filem yang mula mencipta nama menerusi filem Gol & Gincu ini sering melihat perkembangan bekas kekasihnya itu terutama dalam filem bercorak romantik komedi yang pernah dilakonkan.

“Saya suka bekerja dengan Yana kerana dia sangat profesional. Untuk mewujudkan kemesraan dalam filem ini juga tidak ada masalah.

“Saya rasa lebih mudah kerana ia tidak membabitkan hati dan perasaan. Ia memudahkan kami untuk menggerakkan perasaan cinta dalam filem dan mematikannya apabila penggambaran tamat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam Tiga Temu Janji, jelas Pierre, salah satu sebab diterima tawaran untuk berlakon dalam filem terbabit kerana ia diarahkan rakan baiknya sendiri.

“Antara sebab lain kerana saya sudah lama tidak bekerja dengan Yana. Kali terakhir dalam Selamat Pagi Cinta yang diarahkannya. Sepanjang membabitkan diri dalam projek ini kami bersikap profesional,” katanya.

Walaupun Hashim adalah rakan baiknya, namun dalam menghayati watak Mohsin yang cuba memikat Riana yang agak keras sikapnya, kata Pierre, dia banyak berbincang.

“Senang apabila Hashim mudah menerima buah fikiran orang lain. Saya mungkin ada cara untuk melakonkan watak Mohsin namun saya tidak boleh menjangkau apa yang dimahukan pengarah.

“Saya juga tidak mahu mengganggu kreativitinya walaupun dalam waktu sama saya juga seorang pengarah dan punya idea sendiri bagaimana ia seharusnya digambarkan dalam visual.

“Perbincangan antara saya dan Hashim bagi memudahkan garapan dibuat. Saya faham apa yang dia mahukan dan begitu juga dengan Hashim tahu apa yang akan saya persembahkan,” katanya.

Yana pula menegaskan sewaktu dilamar membintangi Tiga Temu Janji oleh Hashim, produksi tidak memberitahu siapa hero yang akan bergandingan dengannya.

“Apabila diberitahu saya akan bergandingan dengan Pierre, saya rasa kecut perut. Sejak putus cinta, hampir tiga tahun kami tidak bertemu. Saya tidak tahu pandangannya terhadap saya. Apatah lagi apabila digandingkan bersama sejak sekian lama.

“Saya juga tanya kepada Hashim adakah dia mengambil saya kerana antara kami punya sejarah sebelum ini. Bagaimanapun Hashim menegaskan bahawa watak Riana memang sesuai untuk saya. Mendengarkan penjelasannya itu sedikit sebanyak membuatkan saya rasa lega,” katanya.

Walaupun ada perasaan kaget apabila digandingkan kembali dengan bekas kekasih, tetapi kata pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Adnan Sempit ini, dia cuba bersikap profesional.

“Sewaktu pertama kali bertemu, berdebar perasaan saya hanya Tuhan saja yang tahu.

“Saya cuba tidak memandang wajah Pierre di sesi pembacaan skrip. Bagaimanapun apabila melihat dia selamba jadi saya pun rasa lega,” katanya.

Kata Yana lagi, dia bimbang sekiranya gandingannya bersama Pierre akan menimbulkan cerita tidak enak, sekali gus akan mempengaruhi hubungan aktor itu dengan kekasihnya sekarang.

Bagaimanapun selepas berada di lokasi ternyata kebimbangannya hanya mainan perasaan dan penggambaran berjalan lancar. Kedua-dua mampu memberikan penghayatan seperti apa yang dimahukan pengarah.

Bekerja dengan Hashim, jelas Yana, tidak banyak masalah kerana dia mudah diajak berbincang. Apatah lagi kedua-duanya meminati filem mahupun drama Korea jadi dari sudut itu pelakon berasal dari Yong Peng, Johor itu tahu apa yang dimahukan pengarah.

“Memang filem ini ada sedikit sentuhan karya dari Korea, tetapi tidaklah tiru seratus peratus. Dari sudut mood itu ada. Tambahan pula Tiga Temu Janji ini bertemakan komedi romantik, jadi saya berasakan ia sangat sesuai.

“Karakter saya sebagai Riana pula sebelum ini digambarkan agak keras, ini kerana masalah peribadi yang dialaminya telah mempengaruhi sikap. Bagaimanapun apabila berbincang kembali Hashim tidak mahu saya terlalu keras. Saya juga setuju dengan pandangannya. Dari sudut itu, ia memudahkan saya untuk membawakan watak ini,” katanya.



PROFIL

NAMA PENUH: Mohd Pierre Andre Bin Nazarul Andre
PANGGILAN: Pierre Andre
TARIKH LAHIR: 17 Mac 1985
UMUR: 26 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Akademi Seni Kebangsaan - Diploma Program Teater (Seni Lakonan)
KARIER: Penulis, pelakon, pengarah
STATUS: Bujang
ARTIS IDOLA: Dewa (Indonesia), Gun ‘n’ Roses, Johnny Depp,Anthony Hopkin
FILEM: Taiko, Jangan Tegur, Selamat Pagi Cinta, Sepi, Dunia Baru The Movie, 9 September, Jangan Pandang Belakang, Cinta, Main-Main Cinta, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Salon, Gol & Gincu, Lady Boss, Cinta Fotokopi dan Potret Mistik.
DRAMA: Gol & Gincu, The TV Series, Rela Ku Pujuk, Dunia Baru, Cucu Tok Ayah, Tarian Melayu Terakhir dan Danniel
ARAHAN: Jangan Tegur, I’m Not Single, 9 September, Aku Kau dan Dia, Jangan Bernafas dan Seru



PROFIL

NAMA SEBENAR: Norliana Samsudin
PANGGILAN: Yana
TARIKH LAHIR: 25 September 1984
UMUR: 27 tahun
ASAL: Yong Peng, Johor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar, UiTM Shah Alam
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan pengarah
FILEM: Histeria, Shh... Dia Datang, 7 Perhentian, Mami Jarum Junior, Main-Main Cinta, Adnan Sempit, Aku Masih Dara dan Kongsi
DRAMA: E-toyol.com, Bionik, Lu’Lu, Siti Kelembai, 3 Janda dan Suri Bakawali
ALBUM: Yana Ceria (2004)
ARAHAN: Selamat Pagi Cinta
PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 (Adnan Sempit)

Lisa Surihani Alami Lebam Gara-Gara 'Sekali Lagi'

Lisa melakonkan watak Shiela dalam filem Sekali Lagi....

PETALING JAYA: Demi menjayakan watak Shiela yang menerima padah akibat derhaka kepada bapanya dalam filem Sekali Lagi, pelakon Lisa Surihani sanggup “dicederakan” sehingga mengalami lebam di lengan.

Menurut Lisa, kejadian itu berlaku sewaktu melakonkan adegan dia diheret dan ditolak ke bawah tangga oleh pelakon Zul (Handy Black) yang melarang dia melihat jenazah ayahnya, lakonan Bob Lokman buat kali terakhir.

“Untuk menjayakan watak Shiela yang dianggap derhaka kepada bapanya, saya membenarkan abang Zul untuk melakukan sepenuh hati dengan mengheret dan menolak saya ke bawah tangga rumah.

“Tetapi akibatnya, saya mendapat lebam teruk di lengan dan terpaksa menahan kesakitan itu,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, dia tidak sanggup untuk memukul pelakon kanak-kanak Mia Sara Nasuha yang menjadi anaknya bernama Amy yang nakal dan tidak mendengar nasihat.

Aksi Shiela sewaktu memarahi Amy dalam Sekali Lagi....

“Saya patut pukul Amy (Mia) tetapi perasaan saya menjadi bercampur-baur untuk melakukan adegan itu kerana menganggap Mia seperti anak angkat saya.

“Jadi, saya meminta kebenaran daripada pengarah filem itu, Hashim Rejab untuk menukar adegan daripada memukul Amy kepada menghempas kerusi untuk menunjukkan emosi kemarahan itu,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun,di sebalik aksi dan babak mencabar yang dilakonkan itu, dia beranggapan filem tersebut memberikan mesej tentang kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Kata Lisa, filem tersebut turut mengajarnya untuk menyayangi keluarga dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu.

“Dalam filem ini saya berkahwin pada usia muda serta tidak mendengar nasihat ayah,” ujarnya lagi yang turut sibuk mengacarakan program Mari Menari musim kedua untuk Astro.

Filem Sekali Lagi… turut dilakonkan oleh Bront Palarae, Kartina Aziz, ShaSha Zurazie, Alex Yanz dan Tasya. Ia akan ditayangkan di pawagam mulai 30 Jun ini.

Teater Mak Dara Nyonya Pada 9 Julai Dibatalkan Kerana 'Bersih'

Barisan pelakon teater Mak Dara Nyonya

PETALING JAYA: Selepas penangguhan konsert “2 Raksaksa 2011” gabungan Blues Gang dan Sweet Charity, gara-gara demonstrasi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai depan, teater Mak Dara Nyonya turut mengambil langkah sama dengan membatalkan pementasannya pada tarikh tersebut.

Teater tersebut bakal dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), pada 6 hingga 12 Julai depan.

Namun, kata penerbit teater itu, Siti Rohayah Attan, atas nasihat pihak polis, tarikh pementasan pada 9 Julai perlu dibatalkan supaya tidak timbul masalah lain yang berkaitan dengan demonstrasi berkenaan.

"Bukan kami sengaja mahu membatalkannya tetapi pihak kami takut jika isu Bersih mengganggu perjalanan persembahan seperti kesesakan lalu lintas yang membuatkan para penonton lewat hadir mengikut masa yang ditetapkan.

"Saya harap, bagi sesiapa yang telah pun membeli tiket pada tarikh berkenaan, diharap mereka boleh ke kaunter tiket semula dan tukar ke tarikh lain," jelasnya.

Tambah Rohayyah, dek kerana pembatalan tersebut, pihaknya akan menggantikannya pada 10 Julai (Ahad) iaitu pada pukul 3 petang.

Sementara itu, Rohayyah berkata kesemua pelakon seperti Juhara Ayob, Fara Fauzana, Misha Omar dan Sarimah Ibrahim telah pun bersiap sedia dengan pementasan teater tersebut.

Teater di bawah kerjasama Matic dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengisahkan tentang perjalanan dan kesengsaraan hidup pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah serta kisah seorang nyonya dari Indonesia.

Tiket untuk menyaksikan Teater Mak Dara Nyonya ini boleh didapati dengan harga RM32, RM52 dan RM82. Untuk keterangan lanjut sila hubungi 03-41478600, 012-2977220 dan 013-6293825.

Sazzy Mulai Seronok Punyai Anak Kembar

Sazzy Falak

PETALING JAYA: Sejak melahirkan anak kembar, Iman Lilly dan Tiara Rose pada 29 April lalu, pelakon dan pengacara, Sazzy Falak mengakui sudah mula merasai beberapa perubahan dalam rumah tangganya.

Kata Sazzy, perubahan cara pengurusan masa dan kerja yang berlaku dalam dirinya serta suami, Nazril Idrus membuatkan mereka seronok menjalani fasa baru kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah.

"Biasalah, perubahan ketara dalam hidup saya dan suami ialah menjadi ibu dan bapa. Kami perlu komited terhadap kedua-dua anak kembar kesayangan kami selain sibuk menguruskan kerjaya.

"Saya pun tak sangka, jika dulu, kalau anak orang yang saya dukung itu nangis, saya akan kembalikan anak tersebut kepada ibunya atau orang lain. Tapi kini saya mampu menjaga mereka dengan bantuan suami. Saya suka perubahan ini," katanya.

Tambah Sazzy, dia juga bersyukur perjalanan hidupnya berjalan dengan teratur di mana kesemua keinginannya seperti mengukuhkan kerjaya, alam perkahwinan bersama suami dan kini membina sebuah keluarga tercapai satu persatu.

"Alhamdulillah, kehadiran anak kembar kami sesuai dengan masanya dan ketika kelahiran mereka, saya sudah pun bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

"Ini kerana saya dapat melalui dan mengukuhkan kerjaya saya dan kemudian mengharungi keseronokan berdua dengan suami sepanjang tiga tahun perkahwinan dan selepas itu, muncul pula Iman dan Tiara. Saya rasa perjalanan hidup saya begitu sempurna," ujarnya.

Sementara itu, Sazzy bakal muncul dengan filem terbarunya, Tolong! Awek Aku Pontianak yang akan ditayangkan pada 7 Julai depan.

Dalam filem arahan James Lee itu, Sazzy memegang watak seorang puntianak bernama Maya mencintai seorang lelaki lurus, Bob, yang dilakonkan oleh Zahiril Adzim.

Kata Sazzy, ini merupakan kali pertama dia membawakan watak seorang pontianak dan gembira kerana dapat berlakon dengan Zahiril yang pertama kali digandingkan.

"Alhamdulillah, saya mempunyai kumpulan produksi yang hebat terutama James Lee, yang banyak membantu saya dalam penghayatan watak.

"Sebenarnya, agak susah untuk saya menonton lakonan saya sendiri kerana takut jika gagal menjayakan watak yang digalas. Memang saya sangat kritikal dengan hasil kerja yang dibuat," tuturnya.

Selain Sazzy dan Zahiril, filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. tersebut turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Nurul Wahab, Faezah Elai, Bell Ngasri, Sufian Mohamed dan Ruminah Sidek.

Selebriti Popular Diajak Bermalam Di Hutan

Sabhi Sadhi antara selebriti Artis Pencipta Alam

PETALING JAYA: Isu pemuliharaan hutan yang sering diabaikan memaksa Yayasan Pulau Banding memperkenalkan program Artis Pencipta Alam melibatkan golongan artis bagi membolehkan golongan itu berkongsi pengalaman masing-masing terhadap kepentingan menjaga alam semula jadi.

Ketua Pegawai Operasi yayasan itu, Dr Daniel Baskaran berkata, program yang akan berlangsung selama tiga hari dua malam itu akan diadakan di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, Gerik pada 8 hingga 10 Julai depan.

“Isu pemeliharaan dan pemuliharaan hutan perlu diambil berat oleh semua pihak. Jadi, kami ingin menggunakan kaedah ini untuk meningkatkan ilmu tentang alam kepada selebriti dan orang ramai,” katanya ketika majlis siding media Artis Pencinta Alam di Menara Mustapha Kamal, di sini, Rabu.

Antara selebriti yang akan menyertai program tersebut ialah Miss Universe Malaysia 2010, Nadine Ann Thomas, penyanyi Farah Ashikin, Sabhi Saddi, pelakon Hasnul Rahmat dan Rafidah Ibrahim.

Turut serta akan terlibat dengan program itu termasuklah penyanyi Fauziah Latiff, Angkasawan Negara Mejar Dr Faiz Khaleed, penyanyi Ezlynn Ariffin dan Amanda Imani.

Mereka bakal bermalam di hutan itu dan berkongsi pengalaman tentang aktiviti mereka sepanjang mengikuti program tersebut.

Farah Ashikin

Sementara penyanyi Dayang Nurfaizah yang merupakan duta Yayasan Pulau Banding tidak berpeluang untuk menyertainya kerana mempunyai komitmen persembahan dan promosi album terbaru di Kuching, Sarawak.

Program tersebut diadakan bersempena dengan Tahun Perhutanan Antarabangsa Dunia 2011 yang dilancarkan oleh World Forestry Federation dengan sokongan Yayasan Emkay.

Selain berpeluang meneroka keindahan alam semula jadi di Kompleks Hutan Hujan Belum-Temenggor seluas 300,000 hektar yang berusia 130 tahun itu, para selebriti juga akan melawat perkampungan orang asli untuk mengalami sendiri dan memahami kehidupan masyarakat tersebut.

Maklumat berhubung mengenai acara itu boleh dikongsi menerusi laman sesawang Facebook iaitu www.facebook.com/ArtisPencintaAlam.

Salih Yaacob Mengaku Tiga Isterinya Terasa Hati

Salih Yaccob enggan isu isteri-isterinya dibangkitkan lagi di media.

PETALING JAYA: Pelawak Salih Yaacob menyedari tiga isterinya yang lain agak kurang senang apabila isteri keempatnya, Samihah Sheikh Amy (Emi), 25, yang baru dikahwini lebih menonjol berbanding mereka.

Menurut Salih, walaupun isteri pertama sehingga ketiganya iaitu Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42 dan Norfara Wahida Sulaiman, 32, tidak meluahkan perasaan tersebut tetapi sebagai suami dia dapat merasai perkara itu.

"Saya sedar mereka rasa kurang selesa apabila Emi lebih menonjol. Bukan senang nak jaga hati mereka tetapi saya akan perjelaskan setiap hal yang saya lakukan di luar.

"Lagipun, bukan saya yang mahu tonjolkan Emi, pihak media yang kerap bertanyakan tentang dia, saya jawab macam biasa. Malah mereka (media) juga ada membuat temu bual dengannya," kata Salih yang ditemui selepas pelancaran program Salih Yaccob Show, I Follow di PJLA Theater, Jaya One, di sini, Rabu.

Tambah Salih, sejak bergelar isteri keempat, Emi agak terkejut kerana sering diberi perhatian dan kerana itu dia enggan mengambil gambar dengan pihak media.

Salih dan Emi

Persoalan kononnya Salih mengamalkan “pilih kasih” terhadap isterinya yang lain mula timbul apabila dia dilihat kerap membawa Emi bersamanya ke majlis-majlis hiburan termasuklah dalam program Maharaja Lawak di Johor dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa tindakan saya membawa Emi ke majlis-majlis pelancaran atau acara yang membabitkan dengan kerja saya kerana dia kini merupakan pengurus peribadi saya. Tiada kaitan dengan isu pilih kasih seperti yang diperkatakan.

"Sebelum ini Fara yang menguruskan saya, tetapi disebabkan dia kini sibuk dengan anak, tugas itu diberikan kepada Emi.

"Saya harap kenyataan saya ini jelas dan tidak lagi timbul sebarang keraguan terhadap saya dan keluarga," jelas Salih.

Menggalas harapan


Umat islam kini perlu menguasai pelbagai disiplin ilmu agar mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. - Gambar hiasan


Ramai yang mengakui bahawa merentasi pelbagai cabaran dan liku dalam mengecapi sesebuah kejayaan adalah tidak terlalu sukar berbanding keupayaan dan kemampuan kita untuk mengekalkan kejayaan tersebut agar sentiasa berterusan adalah sesuatu yang agak kompleks untuk dilaksanakan.

Sesuatu usaha dalam membelah denai halangan dan kesusahan lazimnya bukanlah satu usaha yang bersifat individualistik semata-mata malahan ianya melibatkan usaha yang bersifat serta berteraskan dinamik dan kolektif.

Kekurangannya adalah keupayaan kita untuk mengakui dan mengakuri bahawa sesuatu kejayaan itu sewajibnya dikecapi secara bersama dan setiap kegagalannya juga sewajarnya diterima dengan penuh keredaan.

Ia dihadapi dan dinilai secara kolektif untuk memastikan kesilapan yang sama tidak akan berulang.

Harapan masyarakat amat menjulang tingginya dalam memastikan proses pengislahan yang dibawa agar iaa membuahkan impak maksimum (maximum impact) kepada mereka. Ini kerana kebanyakan proses yang dilakukan ibarat 'melepaskan batuk di tangga' yang adakalanya melibatkan pembaziran tenaga, masa dan wang ringgit.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa selagi mana manusia yang menerima kesanggupan untuk mentadbir alam ini. Sudah pastinya kita tidak dapat mengelak daripada berlakunya kesilapan dan kekurangan.

Lantas, usaha pengislahan masyarakat tidak sewajibnya menjadi satu kemestian kepada golongan agamawan semata-mata. Bahkan ia perlu digalas secara bersama oleh semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan dan lain-lain lagi.

Mengambil contoh yang paling biasa dipaparkan, jika berlaku sesuatu perlakuan jenayah dalam masyarakat seperti rompakan, kecurian, penderaan, penipuan dan pelbagai lagi, dengan mudahnya jari jemari kita akan menuding kepada pihak-pihak pelaksana undang-undang seperti polis dan sebagainya.

Selain itu juga, jika berlaku penularan jenayah syariah seperti khalwat, perjudian dan lain-lain lagi maka pihak-pihak berwajib seperti jabatan agama Islam terlebih dahulu akan dipersalahkan.

Situasi sedemikian akan menjadi lebih mudah sekiranya semua pihak mengambil berat dan mendepaninya dengan penuh rasa bertanggungjawab serta penuh hemah.

Pepatah Melayu seringkali mengingatkan kita 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'. Pesanan ini amat besar ertinya untuk semua pihak menghayatinya.

Justeru, dalam menghadapi kemelut dan kekalutan sosial hari ini, siapakah lagi yang akan mengambil tanggungjawabnya, seandainya jika bukan kita semua. Ini adalah negara dan tanah luhur tempat tumpah darah kita.

Penulis amat optimis dengan segala kritikan dan komentar yang hebat dilontarkan terhadap isu-isu agama dan sosial yang terjadi dan menjadi hidangan utama (main course) media-media tempatan.

Namun ia tidak wajar terjadi sekiranya kita bersikap seperti 'membaling batu dengan menyorokkan tangan'. Lantas ia tidaklah berkesudahan bahkan hanya sekadar memuaskan hati dengan melontarkan kesalahan, kekurangan terhadap individu dan juga pihak-pihak berkenaan.

Era kini terlalu luas ruang untuk semua pihak melakukan usaha pengislahan masyarakat dengan sokongan kemajuan dan kecanggihan teknologi komunikasi seperti facebook, twitter, blog dan pelbagai lagi.

Mengambil contoh usaha murni pihak ASTRO dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerbitkan sebuah program siri pencarian Imam Muda yang bukan sahaja telah berjaya 'mencuri tumpuan' masyarakat Malaysia bahkan menjangkaui ke persada antarabangsa.

Ia kerana ia dikatakan sebuah program keagamaan yang berprestasi tinggi dengan persembahan kandungan yang dinanti-nantikan oleh masyarakat.

Namun, apa yang memilukan adalah apabila kedua-dua organisasi yang sama menampilkan satu lagi program keislaman untuk kaum wanita iaitu Ustazah Pilihan, lantas ada yang bersikap prejudis yang keterlaluan dengan mengadakan pelbagai kempen dalam usaha melumpuhkan perjalanan usaha berkenaan kerana dikatakan ia akan mengundang pelbagai fitnah.

Sebagai seorang Islam, kita semua seharusnya mengambil 'jalan tengah' untuk memberi sokongan di samping pemantauan secara kolektif terhadapnya. Jika ada elemen-elemen yang kurang bertepatan maka ia menjadi kewajipan untuk bersama-sama melakukan usaha pengislahan terhadapnya.

Dengan kata lain, dalam situasi mana sekali pun kita semua tidak wajar untuk melakukan pra-penghakiman (pre-judgement) tanpa kita meneliti senario sebenarnya.

Kesimpulannya, penulis amat berharap semua pihak agar menggalas harapan ummah ini secara berjemaah untuk memastikan negara kita sentiasa berada dalam situasi yang terpandu. Ada pun, kepada semua IM diharapkan mereka mampu menjadi penggerak kepada pengislahan masyarakat secara berterusan.

Masjid Wilayah anjur akikah perdana


para petugas mempersiapkan kambing untuk disembelih dalam Akikah Perdana di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Anak adalah pewaris keturunan yang amat berharga bagi pasangan yang berumahtangga. Sehubungan itu, Islam amat menggalakkan ibu bapa yang dikurniakan cahaya mata mengadakan akikah sebagai tanda bersyukur.

Akikah mengikut pengertian dari segi bahasa adalah rambut di kepala kanak-kanak. Dalam segi syarak, akikah adalah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi.

Akikah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan akikahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama (riwayat Abu Dawud, al-Termizi dan Ibnu Majah)."

Kini akikah menjadi amalan yang semakin popular cuma ia masih dilakukan secara persendirian yang memerlukan masa dan komitmen untuk menguruskannya.

Justeru Cawangan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan satu Program Akikah Perdana Lahirkan Kasyukuranmu, Tunaikan Hak Anakmu'.

Ia bertujuan memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat untuk menguruskannya secara bersendirian di samping mengimarahkan masjid serta merapatkan hubungan para jemaah.

Program ini dilaksanakan pada 18 Jun lalu di pekarangan halaman taman Anjung A masjid. Lebih 200 orang menghadiri majlis gotong-royong yang bermula pukul 8 pagi itu.

Sebanyak 10 ekor kambing dan seekor lembu disembelih. Semua dagingnya dimasak untuk dua sesi jamuan (siang dan malam) kepada 500 jemaah masjid dan tetamu. Turut hadir, Imam Besar Masjid Wilayah, Zakariah Isa.

Majlis ditangguhkan pada tengah hari tersebut dengan ucapan penghargaan oleh Pengarah Program, Mohammad Ashraf Ibrahim.

Wasatiyyah pendekatan terbaik


Islam mengajar umatnya agar bersederhana waima dalam bab makan. - Gambar hiasan


WASATIYYAH bermakna tidak melampau atau ekstrem. Ia merupakan jalan pertengahan atau sederhana. Ia selari dengan ungkapan al-Quran tentang gambaran umat Islam iaitu ummatan wasatan.

Wasatan atau wasatiyyah memilih jalan sederhana dalam menyatakan sesuatu, mengambil sikap sesuatu, dan melakukan tindakan terhadap sesuatu.

Ia tidak ekstrem kiri yang membawa sikap radikal atau ekstrem kanan yang membawa sikap jumud. Wasatiyyah tegak dengan prinsip tetapi prinsip itu diolah secara bijaksana supaya ia mampu mengimbangi keadaan.

Sangat penting untuk remaja memiliki sifat wasatiyyah supaya dengan memiliki jiwa sederhana ia mampu melihat dunia dan kehidupan dalam keadaan terbuka. Terbuka tidak bermakna ia hilang pedoman dan sumber ikutan.

Terbuka bermakna wujud kecenderungan untuk berkongsi di mana yang perlu untuk berbeza dan dimana yang ada dan mencari titik persamaan jika ia tidak mendatangkan mudarat.

Wasatiyyah amat sesuai dalam realiti masyarakat dan budaya yang berbilang. Realiti Malaysia adalah realiti masyarakat dan budaya berbilang.

Menjadikan Islam sebagai asas bernegara memerlukan pendekatan wasatiyyah kerana memang sifat agama Islam itu selamat dan sejahtera. Remaja Islam patut menjadikan Islam sebagai agama damai sekali gus mendukung kesejahteraan.

Nilai-nilai universal atau alamiah yang dibawa oleh Rasulullah SAW memberi rahmat kepada sekelian alam. Ia bermaksud nilai-nilai yang Islami apabila diamalkan dalam kehidupan tidak sahaja memberi faedah kepada remaja Islam tetapi juga memberi faedah kepada orang lain.

Umpamanya bersikap amanah jujur, adil, ikhlas dan bertimbang rasa menjadikan remaja Islam mempunyai jati diri yang tinggi dan boleh berperanan di mana-mana saja.

Sifat-sifat itu adalah sesuatu yang fitrah dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja walaupun di kalangan remaja bukan Islam. Sifat-sifat itu adalah jalan pertengahan yang selari dengan keperluan manusiawi.

Oleh itu, ciri-ciri kesejagatan Islam membolehkan interaksi dan persefahaman berlaku secara meluas. Sekiranya di kalangan remaja yang tidak memiliki sifat amanah, jujur, adil, ikhlas dan bijaksana akan lahir gelagat-gelagat yang sebaliknya dan menyebabkan para remaja mengambil sikap yang ekstrem.

Justeru, bagi mewujudkan rasa ukhuwah atau persaudaraan yang tinggi di kalangan remaja Islam, jalan wasatiyyah merupakan jalan yang terbaik untuk membawa kedamaian dan kesejahteraan.

Keterbukaan dalam Islam

Islam sebagai agama rahmah alamiah menjadikan umatnya memiliki sikap atau watak yang berimbang. Berimbang bermaksud seluruh pertimbangan, pro dan kontra diambil kira. Negatif dan positif diberi perhatian supaya jalan berfikir yang diambil selalu bersifat wasatiyyah.

Dengan demikian para remaja terbuka untuk mempelajari yang baik daripada orang lain dan menolak yang buruk walaupun daripada diri kita sendiri. Banyak nilai bersama yang bersifat interaktif boleh diambil dari tamadun dan budaya lain.

Nilai-nilai interaktif ini penting dijadikan pedoman supaya warga remaja terdidik dengan sikap menghargai sesuatu yang baik dari orang lain dan bersikap menyumbang terhadap kebaikan daripada diri kita sendiri.

Adapun nilai paling utama (akidah), para remaja boleh berbeza dengan mengambil pertimbangan mengenai etika perbezaan.

Al-Quran memberi pedoman lakum dinukum waliyadin (bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami) bermakna ada batas sempadan antara keduanya.

Dalam realiti Malaysia, jalur wasatiyyah ini sangat penting dianut dan diikuti. Ia kerana sari pati amalan yang baik boleh terdapat pada orang lain. Dalam masa yang sama Islam menawarkan pekerti yang baik di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Di sini perlunya pendidikan dalam negara Malaysia berlandaskan etika dan nilai-nilai murni yang tinggi. Apabila etika dan nilai-nilai murni menjadi latar dalam negara kita, jenis manusia atau modal insan yang dilahirkan sudah tentu menjadikan nilai nilai keinsanan sebagai sesuatu yang amat penting di samping meneroka teknologi tinggi sebagai alat.

Para remaja yang ingin terlibat dalam membina kecenderungan kearah teknologi tinggi harus memahami bahawa teknologi selamanya alat, bukan matlamat. Ia harus seimbang dengan nilai keinsanan supaya sentuhan keinsanan melahirkan manusia yang manusiawi dan bukan haiwani.

Kecenderungan seperti ini amat penting bagi remaja yang cenderung kepada faham benda dan faham nafsu nafsi. Sekiranya faham benda berkembang dan faham nafsu nafsu bermaharajalela, jalur wasatiyyah tidak akan ada dan akhirnya para remaja lebih cenderung mengambil sikap melampau.

Sikap melampau pada remaja bakal menghasilkan konflik. Konflik yang berlaku di kalangan remaja boleh menghasilkan jurang. Jurang interaktif di kalangan remaja boleh menghasilkan pola-pola sosial yang tidak sihat. Ia tidak mampu membina rasa persefahaman yang tinggi di kalangan generasi muda dan akhirnya pola-pola sosial yang negatif bakal mengambil tempat.

Justeru amat penting para remaja Islam menjadikan sikap wasatiyyah atau sederhana sebagai jalan terbaik mendukung kemajuan dan perubahan.

Negara yang sifat generasi mudanya majmuk memerlukan daya persefahaman yang tinggi. Daya persefahaman yang tinggi hanya akan lahir sekiranya rasa percaya di kalangan remaja terbina dengan baik.

Sekiranya syak wasangka terbina atas asas agama dan bangsa, ia tidak akan membantu membina negara Malaysia yang bersatu dan sejahtera.

Jalur wasatiyyah sepatutnya memberi titik keseimbangan kepada warga Malaysia dalam menghadapi faktor globalisasi dan dalam mendepani kemajuan, perubahan dan pembangunan.

Landasan ini memberikan pedoman, toleransi yang tinggi dan dalam masa yang sama prinsip-prinsip yang fundamental atau asasi dalam bina negara tetap tidak diketepikan.

Kegawatan para remaja dalam pola-pola sosial yang negatif seperti merempit, terlibat dalam gejala sosial yang tidak menyihatkan umpamanya adalah gambaran ekstrem yang bakal merosakkan binaan generasi masa depan.

Oleh itu, para remaja harus bersedia mempelajari kekuatan dan keunggulan dalam agama Islam itu sendiri dan pada masa yang sama bersedia berkongsi pola-pola sejagat yang memberi manfaat.

Azabnya apabila amah cabut lari


Pengaruh rakan-rakan senegara dikenal pasti sebagai antara punca pembantu rumah lari. - Gambar hiasan


SEPANJANG tahun lalu sahaja 18,716 orang pembantu rumah telah melarikan dari rumah majikan. Walaupun kes pembantu rumah lari bukan perkara baru, angka ini membuktikan bahawa ia sebenarnya jauh lebih tinggi daripada apa yang disangkakan.

Angka yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, menunjukkan daripada jumlah tersebut seramai 17,205 orang atau 92.3 peratus adalah dari Indonesia.

Biarpun pendedahan tersebut menerima respons agak skeptikal dari pihak kedutaan Indonesia yang mahu kementerian menampilkan bukti lebih kukuh, hakikatnya hanya pihak majikan yang mengetahui kerenah sebenar pembantu-pembantu rumah warga asing itu.

Memang sukar untuk digambarkan azab ditanggung majikan yang secara tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan kes pembantu rumah cabut lari.

Hendak kata tidak bagi makan, pakai dan rehat, semuanya sudah dipenuhi. Tetapi semua itu gagal memberi jaminan pembantu rumah akan setia berkhidmat sehingga cukup tempoh yang ditetapkan.

Memang apa yang selalu terpampang di media tentang kes pembantu rumah didera, tetapi kenyataannya majikan turut 'didera' perasaan oleh pembantu rumah mereka.

Mana tidaknya, semua yang hendak dilakukan dalam rumah perlu disuruh dan diajar berkali-kali. Ini pasti membebankan majikan yang juga perlu keluar bekerja.

Itu belum lagi kes pembantu rumah yang malas, suka melepak dengan kawan-kawan sekerja di taman permainan, bergayut di telefon, menonton televisyen dan juga tidur sehingga melupakan tanggungjawab kerja.

Kebanyakan majikan akui enggan menggunakan kuasa untuk memarahi pembantu rumah kerana bimbang ahli keluarga khususnya yang mempunyai anak-anak kecil atau ibu tua mungkin didera semasa ketiadaan mereka.

Lebih perit lagi apabila majikan mendapat pembantu rumah yang panjang tangan di mana duit atau barang berharga yang diletakkan sembarangan pasti akan hilang sekelip mata.

Bagaimanapun semua perangai buruk pembantu rumah itu harus diterima bak ditelan mati emak diluah mati bapak oleh kebanyakan majikan kerana begitu terdesak memerlukan bantuan golongan itu.

Tambahan pula belanja yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan seorang pembantu rumah baru pula mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000. Itu belum diambil kira gaji RM400 hingga RM500 dan sebulan selain keperluan makanan, pakaian dan juga barangan peribadi mereka.

Pilih dari agensi bertauliah


Biarpun terdapat buku garis panduan tentang tugas-tugas pembantu rumah masih ramai yang tidak mengikuti malah melanggarnya dengan lari dari rumah. - Gambar hiasan


Majikan disaran tidak memilih agensi sebarangan sekalipun begitu terdesak untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah.

Berikutan itu Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo menasihatkan mana-mana majikan yang hendak mencari pembantu rumah dengan memilih agensi bertauliah.

''Sehingga kini terdapat lebih 200 agensi pembantu rumah di seluruh negara tetapi hanya 198 sahaja yang menjadi ahli PAPA,'' katanya.

Katanya, ada majikan tidak mahu memilih agensi bertauliah bagi tujuan menjimatkan kos.

Beritahu Jeffrey, sekurang-kurangnya jika apa-apa berlaku termasuk kes pembantu rumah lari dan sebagainya dapat dirujuk kepada agensi terbabit.

Katanya, majikan juga boleh merujuk segera kepada agensi jika mula menghadapi masalah dengan pembantu rumah seperti malas kerja atau keluar rumah tanpa memberitahu dan sebagainya.

Katanya, sekurang-kurangnya agensi dapat membekalkan dengan pembantu rumah yang lain yang lebih baik sebelum berlaku kes lebih serius iaitu lari dari rumah.

''Pembantu rumah yang bermasalah seperti ini akan dihantar balik ke negara asal malah tidak akan dibenar untuk bekerja di negara ini lagi,'' katanya.

Katanya, majikan juga berhak mendapatkan gantian pembantu rumah yang lari sebelum tempoh tiga bulan.

Sekurang-kurangnya majikan tidak akan mengalami kerugian yang banyak berbanding mengambil pembantu rumah dari agensi tidak bertauliah.

Katanya, walaupun urusan itu lebih mudah dan kos murah tetapi jika apa-apa berlaku majikan sendiri yang rugi malah boleh pula didakwa dari segi undang-undang kerana menyimpan pekerja tanpa permit.

Jefrrey juga tidak menolak ada kemungkinan agensi yang sengaja mencuri balik pembantu rumah yang disediakan untuk mendapat keuntungan yang lebih.

''Setakat ini belum ada lagi ahli PAPA yang terlibat dalam kes seperti ini,'' ujarnya.

Katanya, sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana ia telah menambahkan lagi beban majikan yang telah sedia ada.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap agensi yang didapati berbuat demikian supaya menjadi pengajaran kepada agensi lain supaya tidak berani untuk berbuat demikian.

''Majikan juga tidak boleh berkira soal kewangan sehingga sanggup mencari agen yang menawarkan pembantu rumah secara haram,'' katanya.

Kata Jeffrey, biasanya janji orang perseorangan juga menawarkan pembantu rumah tetapi sukar untuk dipercayai.

Nasihatnya, majikan perlu lapor segera kepada pihak polis dan Imigresen jika mendapati pembantu rumah lari dari rumah.

Jeffrey berkata, ini penting supaya Jabatan Imigresen yang memang mempunyai senarai nama pembantu rumah dapat mengesannya dengan segera.

''Jadi pembantu rumah ini akan disenarai hitam supaya tidak akan berpeluang lagi untuk bekerja di negara ini supaya tidak akan menimbulkan masalah yang sama terhadap majikan yang lain pula,'' katanya.

Pesta perkahwinan Mara meriah


Timbalan Ketua Pengarah Mara (Usahawan), Rosdi Ismail turut merenjis pengantin.


BARU-baru ini, para pengunjung di sekitar Medan Mara dan kawasan-kawasan berhampiran di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, telah dikejutkan dengan kehadiran enam pasangan pengantin yang diarak menaiki kereta klasik.

Keenam-enam pasangan tersebut yang terdiri daripada kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan pasangan bertuah yang diraikan sempena festival dan pameran pengantin Mara yang diadakan selama empat hari bermula 23 Jun lalu.

Mempamerkan enam konsep berbeza seperti Arab, tradisional, kontemporari, konsep diraja, Jawa dan dongeng, kesemua pasangan pengantin turut bersanding di atas pelamin indah yang ditaja oleh para penaja seperti Haidar Rahman, Persada Embun, Zera Wedding Couture, Mysara D'Arch Bridal, Nasrun & Rini dan RienZaid.

Penganjuran festival itu dilihat platform terbaik bagi mengumpul dan memperkenalkan pengusaha industri perkahwinan di bawah satu bumbung.

Di samping itu, ia merupakan antara aktiviti pihak Mara selain mempromosikan Medan Mara itu sendiri serta memperkenalkan pengusaha bumiputera yang ada iaitu penyewa di bangunan tersebut.

Program berkonsep festival dan pameran pengantin itu dilaksanakan oleh pengurus acara Dirich Vision Sdn. Bhd. (DVSB) dengan melibatkan 60 usahawan dari 52 syarikat pengendali majlis perkahwinan di seluruh negara.

Dalam masa yang sama, bertempat di ruang legar bangunan Medan Mara, pelbagai tawaran menarik disediakan berkaitan produk dan pakej perkahwinan pada harga istimewa.

Program anjuran Mara ini turut mendapat kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pelancongan serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Turut ditawarkan pada festival tersebut ialah kad undangan perkahwinan, butik pengantin, cenderahati dan hantaran, pakej solekan dan spa serta pakej fotografi.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan kursus perkahwinan, katering serta busana pengantin pada harga istimewa mengikut jenis pakej yang ditawarkan.

Sepanjang festival tersebut berlangsung, para pengunjung turut diberikan akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan, iaitu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad secara percuma.

Yang pasti, bakal pengantin yang mengunjungi festival tersebut turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa pakej berbulan madu.

Sheikh Muszaphar teruja jadi bapa


Pasangan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Halina Mohd. Yunos gembira menunggu kelahiran cahaya mata pertama mereka.


SEJAK dulu lagi Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor merupakan seorang yang begitu penyayang dengan kanak-kanak. Selepas pulang dari program angkasawan negara, beliau telah terlibat dengan pelbagai ceramah dan kebanyakannya membabitkan kanak-kanak.

Ini sedikit sebanyak menjadikan beliau begitu teruja lebih-lebih lagi apabila isteri tercinta, Dr. Halina Mohd. Yunos disahkan mengandung.

"Patutnya saya kahwin awal lagi kerana seronok hendak bergelar bapa tapi terikat dengan kontrak. Cuma tahun lalu iaitu pada tarikh 10.10.10 berpeluang mendirikan rumah tangga.

"Apa pun saya bersyukur kerana tidak perlu menunggu lama kerana isteri disahkan hamil tidak lama selepas berkahwin.

"Memang saya sangat teruja sampai tidak tahu bagaimana hendak mengekspresikan perasaan tersebut

"Sebagai persediaan buat masa ini saya dan isteri banyak mendapatkan panduan keibubapaan menerusi pembacaan," kata angkasawan negara itu yang ditemui pada majlis kempen CellSafe International di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Sheikh Muszaphar tidak menafikan, walaupun mereka berdua cukup teruja tetapi agak cemas sebab tidak tahu selok belok bergelar ibu bapa.

"Apa pun kami mengharapkan yang terbaik dan kami beruntung sebab semua ahli keluarga ada serta bersedia membantu.

"Mungkin selepas bersalin Dr. Halina akan berpantang di rumah kami dan ahli keluarga dari kedua belah pihak akan datang menemaninya.

"Sepanjang mengandung, isteri saya tidak menghadapi banyak masalah, malah mengidam apa-apa pun. Semua jenis makanan dia boleh makan, makanan saya pun dia makan, sekarang ini saya berfikir macam mana nak kuruskan dia semula," ujarnya sambil berseloroh.

Sementara itu, Dr. Halina yang kelihatan segar sepanjang temu bual tersebut, tidak menafikan ada perasaan takut untuk bersalin.

Namun beliau tidak mahu terlalu memikirkannya dan berusaha melakukan persediaan yang terbaik.

Baginya, pengalaman mengandung anak sulung setakat ini agak mudah dan berjalan lancar.

"Suami saya memang sangat membantu sepanjang tempoh kehamilan.

"Alhamdulillah ini satu kehamilan yang sangat menyenangkan saya setakat ini. Saya tidak mengalami alahan dari tiga semester pertama kandungan hinggalah hari ini," katanya yang dijangka bersalin pada pertengahan Julai ini.

Sebagai persediaan, Dr. Halina memperdengarkan bayi dalam kandungannya bacaan ayat suci al-Quran, selain mempraktikkan bacaan surah-surah yang disarankan untuk mendapatkan anak yang bijak.

"Kami juga telah mula menyiap bilik bayi. Dekorasinya telah kami sediakan semuanya bertema angkasa, tetapi setakat ini kami tidak memperuntukkan warna tertentu.

"Kami juga seronok membeli-belah barangan bayi secara online dan seperkara lagi yang termasuk dalam senarai persediaan kami ialah dengan mendaftar bayi kami untuk bank sel stem.

Bantu promosi sel stem

"Sebagai doktor, kami berdua memang tahu tentang kebaikan tabung sel stem yang mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah penyakit.

"Di Malaysia hanya lebih kurang dua peratus rakyat sahaja yang mengetahui tentang kebaikan sel stem, pengetahuan tersebut belum cukup tersebar.

"Ia sebenarnya ibarat penyelamat nyawa kerana kita tidak akan tahu apa penyakit yang bakal anak kita alami.

"Penyakit seperti leukemia, limfoma dan banyak lagi boleh dirawat jika kita menyimpan sel stem anak sejak dilahir," katanya.

Bagi pasangan tersebut dengan menyertai bank sel stem ibarat hadiah paling istimewa bagi bayi mereka.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Cellsafe, Lau Kin Wai berkata, sel stem merujuk kepada amalan sains di mana darah yang diambil dari tali pusat bayi baru lahir disimpan dalam suhu paling rendah yang dirujuk sebagai penyimpanan cryogenic.

Darah tali pusat dari bayi yang baru lahir kaya dengan sel stem yang boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Menurutnya, ibu bapa di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Taiwan sudah melaksanakan tabungan sel stem ini secara serius dan apabila berhadapan dengan penyakit mereka sudah mempunyai penawarnya.

"Kami juga ingin memberitahu rakyat Malaysia bahawa makmal kami menawarkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi namun mampu untuk rakyat Malaysia," jelasnya yang ditemui pada majlis yang sama.

Pada majlis yang sama, satu laman web keibubapaan terbaru Parenthood.My turut dilancar. Laman web ini merupakan salah satu forum laman sosial yang memberikan peluang kepada bakal-bakal ibu bapa untuk berkongsi pengalaman dan mendapat sokongan.

Nutrien untuk tumbesaran sempurna


Salah seorang kanak-kanak kembar yang ditemui JKM dalam keadaan kurus kering seperti tidak cukup makan di Melaka baru-baru ini.


KISAH kanak-kanak lelaki kembar berusia empat tahun dari Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka, yang ditemui baru-baru ini oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam keadaan fizikal kurus kering seperti tidak cukup makan, telah membangkitkan perhatian orang ramai.

Biarpun ia mungkin dianggap kes terpencil, isu tidak cukup makan atau kekurangan khasiat makanan terutama di kalangan kanak-kanak sepatutnya tidak berlaku dalam keadaan negara semakin maju dan makmur.

Apatah lagi pada usia satu hingga enam tahun merupakan tempoh tumbesaran kritikal bagi setiap kanak-kanak.

Pada ketika itu mereka memerlukan nutrien mencukupi untuk pembangunan kemahiran fizikal dan kesejahteraan sosio-emosi.

Ia termasuklah keupayaan menguasai daya keseimbangan badan dan pergerakan teratur bagi melakukan aktiviti kompleks yang memerlukan koordinasi minda dan otot.

Aspek perkembangan penting itu meliputi pembentukan dan kematangan saraf otak dan sistem imunisasi yang cekap untuk mempertahankan tubuh badan dari serangan virus, bakteria dan parasit.

Justeru, pemakanan sihat mampu memberi kesan positif secara langsung terhadap kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Malah, konsep pemakanan dan tumbesaran sempurna sebenarnya perlu dimulakan dari rumah dan dari peringkat awal kanak-kanak lagi.

Menurut pensyarah Jabatan Nutrisi dan Dietetik, Fakulti Sains kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Narimah Abdul Karim, ibu bapa seharusnya mengambil peranan untuk menyediakan makanan terbaik kepada anak-anak.

"Amalan pemakanan seimbang penting bagi membantu tumbesaran kanak-kanak.

"Justeru, pada tempoh tersebut mereka harus didedahkan dengan diet pemakanan yang sihat dan seimbang bukan saja bagi melahirkan tubuh badan sihat dan cergas, tetapi juga minda yang cerdas,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Jelas beliau, untuk mengoptimumkan tahap pertumbuhan dan kesihatan kanak-kanak, sebagai ibu bapa mereka perlu memberi anak dengan makanan yang berkhasiat.

"Keadaan ini penting memandangkan jika tidak memperoleh nutrien dengan kadar yang ditetapkan, anak-anak mudah terdedah pada bahaya pemakanan yang tidak seimbang," Dr. Narimah.

Katanya lagi, tindakan memakan makanan yang tidak berkhasiat juga boleh mempengaruhi kadar pembesaran, pertumbuhan dan juga kesihatan.

"Oleh itu, kanak-kanak perlu makan dalam kuantiti yang mencukupi bagi mendapatkan kadar nutrien harian yang diperlukan.

"Cara terbaik untuk memastikan anak-anak mendapat diet yang seimbang adalah dengan merujuk piramid panduan makanan. Ia bukan sahaja panduan mengenai jenis, kuantiti makanan yang diperlukan setiap hari tetapi turut menerangkan tentang kepelbagaian makanan pada setiap kumpulan bagi memudahkan anak-anak mendapat nutrien yang diperlukan," kata beliau.

Katanya lagi, makanan berzat akan merangsang kesihatan, tumbesaran dan pembangunan diri kanak-kanak.

Ia juga dapat meningkatkan keyakinan mereka. Ini kerana pemakanan yang baik membolehkan si kecil memiliki kesihatan yang baik dan identiti tubuh yang sebenar yang mana ia penting untuk harga diri mereka.

Bagaimanapun kata Dr. Narimah, pemakanan yang bagus adalah dengan mempelbagaikan jenis hidangan agar seimbang dengan keperluan nutrien yang diperlukan (karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral).

Malah, diet yang sihat juga dapat membantu sistem ketahanan badan yang diperlukan anak-anak untuk bergaul dengan rakan-rakannya serta ketika terdedah dengan virus dan bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan.

Jadi, perlu dititikberatkan tentang pemakanan yang terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran yang penuh dengan vitamin dan mineral bagi mendorong kekuatan sistem ketahanan badan.

Selain itu, susu juga merupakan sumber nutrien terbaik terutama susu yang diperkaya asid lemak yang diperlukan (seperti DHA, AA) dan anti-oksida dan nukleotide.

Tambah beliau lagi, zaman kanak-kanak merupakan saat penting untuk membiasakan mereka mengambil makanan berkhasiat.

Jangan pandang ringan pneumococcal


KANAK-kanak perlu diberi suntikan vaksin bagimengelakkan jangkitan PnD. - Gambar hiasan


TAHUKAH anda bahawa dalam setiap minit, seorang kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia akibat Pneumococcal (PnD)?

Biarpun simptomnya nampak ringkas seperti demam berpanjangan dan batuk, namun sikap ibu bapa yang lambat membawa anak-anak ke hospital adalah penyebab utama penyakit ini menjadi serius.

Justeru, ibu bapa dan orang ramai perlu diberi pendidikan tentang bahaya penyakit yang boleh membawa maut itu.

Menurut Pakar Runding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin, biarpun ia berbahaya, hanya segelintir daripada golongan ibu bapa di Malaysia menyedari betapa serius penyakit itu.

Dia berkata demikian ketika melancarkan kempen Sasarkan Liputan Lebih Luas Semudah ABC , di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir menyertai kempen ini ialah penghibur terkenal, Datuk Shiela Majid.

Tegas Dr. Musa, ancaman PnD yang dikenal pasti secara global menyebabkan kematian lebih satu juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun, khususnya di negara-negara membangun.

Malah, dalam rekod bidang perubatan, terdapat banyak kes PnD memberi kesan kekal kepada pesakit.

"Ia menjejaskan upaya seorang kanak-kanak normal hingga mengalami terencat mental, pekak, lembam pertuturan dan paralisis.

"Lebih membimbangkan apabila didapati bakteria Streptococcus Pneumoniae (yang mengakibatkan PnD) sudah menjadi kebal terhadap antibiotik, sekali gus membuatkan pengurusan penyakit ini bertambah sukar,'' ujarnya.

Tegasnya, disebabkan penyakit ini disebarkan melalui udara, kanak-kanak perlu diberi suntikan vaksin menentang penyakit untuk mengelakkan jangkitan pernafasan secara berulang.

Katanya, melalui kempen sedemikian, ia bertujuan memberi pendidikan serta panduan khususnya kepada ibu bapa mengenai gejala, tanda dan risiko penyakit ini serta kepentingan suntikan vaksin bagi mencegahnya.

Tambah Dr. Musa, PnD merangkumi sekumpulan penyakit yang berpunca daripada bakteria Stroptococcus Pneumoniae yang juga dikenali sebagai Pneumococcus yang berupaya menyerang mana-mana bahagian tubuh manusia.

"Pneumococcus bermula dengan menakluki saluran pernafasan atas dan boleh merebak secara setempat, menakluki saluran darah yang menyebabkan pelbagai penyakit,'' ujarnya lagi.

Dalam kes yang tidak dirawat atau kegagalan rawatan, virus ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, masalah pembelajaran, kelewatan pertuturan, palsi serebrum, kerencatan mental dan kadangkala menyebabkan kematian.

Namun begitu, untuk mendiagnosis PnD agak sukar kerana gejalanya seperti demam, batuk, sesak dada dan seram sejuk berbeza mengikut jenis penyakit dan tidak begitu khusus.

Kebiasaannya pengesahan diagnosis dibuat menerusi ujian rapi seperti sinar-X dan ujian makmal.

Namun, ada banyak faktor yang meningkatkan risiko kanak-kanak menghidap PnD. Bayi yang baru lahir sehingga berusia 24 bulan menghadapi risiko paling tinggi kerana kandungan antibodi PnD yang agak rendah.

Tegas Dr. Musa, kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian juga berkemungkinan besar untuk dijangkiti kerana lebih terdedah kepada bakteria dalam persekitarannya.

Justeru, langkah-langkah seperti amalan kebersihan baik di rumah dan di pusat penjagaan kanak-kanak adalah kaedah paling berkesan bagi mencegah penyakit ini.

Percaya kepada rezeki


SELEPAS empat tahun membina nama sebagai penyanyi dan komposer, Aizat kini boleh berbangga apabila memiliki artis di bawah naungan syarikatnya.


APABILA nama penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Aizat gagal tercalon dalam mana-mana kategori untuk Anugerah Planet Muzik (APM 2011), pelbagai persoalan mula timbul.

Jika hendak mengatakan pihak pengurusan Aizat tidak menghantar sebarang pencalonan untuk album keduanya, Urusan Aizat Amdan memang mustahil.

Ini kerana Aizat sendiri mengakui pihaknya sudah menghantar borang pencalonan untuk empat kategori utama termasuk Artis Lelaki Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Malaysia Terbaik.

Bukan hanya Aizat, tetapi seorang lagi penyanyi dan komposer muda terkenal, Yunalis Zarai atau Yuna juga telah menjadi mangsa 'kekejaman' pihak juri APM 2011.

Memang pelik apabila insiden itu berlaku sedangkan sebelum ini nama Aizat pernah dijulang di pentas APM pada tahun 2009 apabila dia memenangi kategori Artis Lelaki Baru Terbaik dengan menewaskan pencabar terdekatnya, Afgan.

Mengulas tentang perihal itu, Aizat dengan penuh tenang memberitahu dia langsung tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang serius.

Sebaliknya, dia berserah kepada takdir dan dia cukup optimis dengan segala ketentuan Yang Maha Esa.

"Apa yang berlaku bukannya sesuatu yang mematahkan semangat saya untuk terus berkarya. Mungkin kedengaran agak klise, tetapi, saya percaya kepada rezeki yang telah ditetapkan.

"Saya membikin sesuatu produk bukanlah untuk mengejar anugerah. Tetapi, saya lebih mahukan kepuasan dalam berkarya dan jika peminat juga berasa puas, itu satu kejayaan buat saya.

"Kalau menang, ia merupakan satu bonus dan saya menghargai segala pengiktirafan yang diberikan," ujarnya dalam nada yang cukup optimis.

Aizat berkata demikian pada majlis minum petang sempena pengumuman Konsert Borneo Tour Urusan Aizat Amdan yang berlangsung di Restoran Castle, Jalan Imbi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain isu APM 2011, Aizat juga sempat ditanya tentang khabar angin yang mengatakan lagu-lagu di dalam album Urusan Aizat Amdan tidak mendapat tempat di beberapa stesen radio tempatan.

Semuanya kerana kekuatan lagu Sungai Lui yang sehingga kini masih kuat putarannya di stesen radio walaupun pihak pengurusan Aizat sudah menghantar beberapa lagu lain untuk diputarkan.

Walhal kalau diteliti sepenuhnya, album Urusan Aizat Amdan merupakan salah sebuah karya yang cukup teliti pembikinannya dan dianggap sebagai sebuah album terbaik yang dihasilkan sepanjang tahun lalu.

Sentuhan muzik serta lagu yang dimuatkan dalam album tersebut berdiri atas landasan tersendiri sekali gus meletakkan nama Aizat sebagai karyawan muda yang wajar diberikan perhatian.

"Saya mengakui lagu Sungai Lui memang cukup kuat dan ke mana sahaja saya pergi, orang akan memperkatakan tentang lagu itu.

"Itu membuktikan bahawa percaturan saya untuk membuat kelainan dalam album ini dan juga lagu Sungai Lui itu mendapat perhatian.

"Saya dan Anas benar-benar puas hati dengan penghasilan lagu itu yang saya sifatkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihasilkan. Kalaulah hanya lagu itu sahaja yang kerap diputarkan, saya melihatnya dari sudut positif," jelas pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan tentang lagu yang cipta bersama Anas itu.

Antara lagu dalam album Urusan Aizat Amdan yang menjadi pilihan peminatnya adalah Years From Now, Mana Oh Mana, Senyum, Erti Hari Ini dan Emotions.

KSPP angkat seni hampir pupus


KUMPULAN persembahan makyung ini merupakan antara seni yang akan diarahkan oleh Zahari Hamzah pada Alunan Warisan kelak.


KUMPULAN Seni Persembahan Petronas (KSPP) merupakan kumpulan yang sering mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan pelbagai corak persembahan termasuklah berteraskan seni tradisional.

Bagaimanapun pada tahun ini, KSPP diberi satu lagi tugas khas iaitu mementaskan persembahan Alunan Warisan yang berkaitan tarian dan muzik tardisional tempatan yang akan diadakan di DFP, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Julai ini.

Menurut penerbit Alunan Warisan, Hartini Abdullah persembahan yang akan berlangsung pada pukul 8.30 malam itu lebih memfokuskan kepada seni tarian dan muzik tradisional yang dikatakan semakin pupus.

"Sejak KSPP ditubuhkan pada tahun 1989 peranan kumpulan ini adalah untuk memartabatkan seni dan budaya bangsa Melayu dan etnik-etnik lain daripada terus dilupakan. Contohnya seni persembahan Mek Mulung.

"Justeru, Alunan Warisan adalah kesinambungan kami demi memartabatkan seni dan budaya masyarakat di negara ini," katanya pada sidang akhbar persembahan Alunan Warisan itu di DFP, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Alunan Warisan yang mengenakan tiket berharga RM15, RM30, RM50 dan RM60 itu akan menampilkan 11 jenis tarian dan muzik tradisional masyarakat negara ini yang semakin jarang dipersembahkan kepada khalayak.

Antaranya tarian dan muzik Tandak Berinai dari Perlis, Layang Si Burung Mas (Kedah), Kurung-Kurung (Sabah), Rodong (Selangor), Ngajat Serumpun (Sarawak) dan Makyung (Kelantan) dalam nafas baru.

Persembahan yang akan mengambil masa selama hampir dua jam itu akan dikendalikan oleh Ahmad Muriz Che Rose selaku Pengarah Muzik, Zahari Hamzah (penulis skrip dan pengarah makyung) dan A. Sam Palal selaku pengarah tari.

Selain rentak tarian tradisional yang sedia ada turut diselitkan pada persembahan itu ialah empat buah lagu baru berjudul Ghazal Nasib Juragan, Gamil Goyang, Janji Tinggal Janji dan Joget Rimba Biru.

Selaku penulis skrip dan pengarah makyung, Zahari Hamzah berkata, penganjuran Alunan Warisan bukan sekadar satu ikut-ikutan, sebaliknya merupakan komitmen KSPP dalam memartabatkan seni tersebut.

"Kali ini kami akan mempersembahkan makyung berjudul Raja Muda Nyiur Gading. Pada 1999 kami pernah mementaskan Raja Muda Lakling di bawah bimbingan aktivis makyung, Allahyarham Khatijah Awang.

"Sementara pada tahun 2000 kami telah mementaskan Raja Besar Gading dan Gading Bertimang pula pada 2001. Ini salah satu tanda kami mahu terus menghidupkan seni persembahan makyung," jelasnya.

Menariknya juga, Alunan Warisan akan menampilkan gaya koreografi nafas baru melalui persembahan tarian-tarian tradisional etnik-etnik yang dipilih mewakili setiap negeri berdasarkan keunikan masing-masing.

Koreografer Alunan Warisan, A. Sam Palal pula berkata, pembaharuan yang cuba diselitkan menerusi tarian-tarian yang akan dipersembahkan itu diharap mampu mempelbagaikan lagi koreografinya.

"Cara ini juga diharap dapat menarik golongan muda menghayati tarian-tarian tradisional selain mengangkatnya seiiring dengan tarian-tarian moden yang lain.

"Sebab itu, kami cuba selitkan idea-idea baru dalam koreografi tarian supaya generasi muda tertarik dan tidak melupakan terus seni tarian tradisional. Ia juga bagi mempopularkan tarian tradisional di setiap negeri," ujarnya.

Transaksi bank di Pos Malaysia


MOHD. REDZA (dua dari kiri) dan Munir (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran kios pertama Bank Muamalat di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) sedang berbincang dengan Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) dalam usaha menawarkan perkhidmatan bagi menjalankan transaksi perbankan di cawangan sedia ada Pos Malaysia di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid, pihaknya melihatkan usaha sama antara dua entiti berkenaan adalah sesuatu yang ideal kerana Pos Malaysia memiliki rangkaian yang luas di seluruh negara.

Jelas beliau, melaluinya ia mampu meningkatkan akses perkhidmatan perbankan sedia adanya selain memudahkan lagi para pelanggannya menjalankan pelbagai transaksi perbankan pada masa depan.

“Bank Muamalat ingin kekal kompetitif dan sentiasa mengikuti perkembangan trend dalam industri masa kini.

“Oleh itu, kami juga ingin menyediakan perkhidmatan perbankan yang lebih mudah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kios Bank Muamalat yang pertama di pasar raya besar Giant Kemuning Utama di sini semalam.

Rosnida sahut cabaran berbekal pengalaman


ROSNIDA menunjukkan kek Daisy Arisya
ketika ditemui di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang peserta pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Utara akan menggunakan pengalaman selama lapan tahun bekerja sebagai pembuat kek bagi menghasilkan kek Daisy Arisya yang lazat pada hari pertandingan di pusat beli-belah Star Parade di sini pada Sabtu ini.

Rosnida Abdul Rani, 33, yang bekerja di Arisya Home Bakery di Taman Mergong di sini berkata, dia berasa amat teruja untuk menyertai cabaran itu dan bersaing dengan para peserta lain.

“Pada hari pertandingan nanti, saya akan mempertaruhkan kek Daisy Arisya berperisa Vanila yang lazat dan gebu yang diharap dapat menarik perhatian para juri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, untuk tujuan itu, dia akan menggunakan minyak jagung Daisy kerana ia membuatkan rasa kek lebih lazat, berbau harum dan menghasilkan tekstur kek lebih halus.

Mengenai dekorasi kek, katanya, dia akan melapisi kek tersebut dengan aising warna putih dan menambah hiasan warna hijau.

Wardina beri blogger tempoh 14 hari


WARDINA (kanan) menafikan dakwaan bahawa dia telah menyertai PKR sambil diperhatikan Muhammad Hanif pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Pengacara popular, Wardina Safiyyah Fadlullah, 32, memberi tempoh 14 hari mulai semalam kepada pengendali blog yang mengaitkan dirinya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mengeluarkan gambar dan artikel berkaitan dirinya daripada blog tersebut.

Menurut Wardina, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengendali blog terbabit masih berdegil dan enggan berbuat demikian.

Ujar pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 itu, blog tersebut telah memuat naik gambarnya semasa tidak memakai tudung yang disifatkan sebagai menghina dan memalukannya.

"Saya mempunyai anak dan suami. Membuka aib saya pada masa dahulu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka.

"Jadikan kisah saya sebagai tauladan dan saya berharap hal ini tidak terjadi kepada artis-artis lain (yang kini memakai tudung)," ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.

Serang ayah enggan ceraikan ibu


SEORANG pembantu kantin menunjukkan kerusi dan meja yang rosak akibat pergaduhan anak dengan bapa di Pasir Mas semalam.


PASIR MAS - Pekarangan kantin Mahkamah Syariah Pasir Mas di sini, kecoh semalam apabila seorang anak bergelut dengan bapanya setelah tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya yang enggan menceraikan isterinya selepas permohonan dibuat di mahkamah tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, lelaki berusia sekitar 50-an itu sedang minum di kantin terbabit sebelum didatangi anak lelakinya dan berlaku pertengkaran antara mereka sehingga menyebabkan berlaku pergelutan di antara mereka berdua.

Menurut peniaga kantin terbabit, Fadzilah Ismail, 52, pada mulanya kedua-dua beranak itu berbincang mengenai masalah mereka namun ia bertukar tegang apabila lelaki berusia 50-an terbabit mempersoalkan tindakan anaknya yang terlalu menyebelahi ibu.

Maka bermulalah pertelingkahan antara mereka dengan si anak mengambil jag air dan menyimbah ke arah bapanya.

Sedia pikul tanggungjawab




DALAM tempoh 24 jam, figura yang terkenal dengan lagu Bagaikan Bidadari, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 27, bakal melangsungkan perkahwinannya bersama wanita pilihan hidup, Siti Rahayu Abas.

Baginya, itulah saat yang paling ditunggu-tunggu setelah lebih lapan tahun menjalin hubungan cinta bersama pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) itu.

“Alhamdulillah semua persiapan berada di landasan yang betul dan harap-harap semua berjalan dengan lancar,” tuturnya tatkala ditebak persiapan terkini menjelang majlis perkahwinannya esok.

Belum merancang lokasi dan tarikh bulan madunya yang barangkali dipilih selepas Hari Raya Aidilfitri, Tomok sudah sedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga.

“Tugas ketua keluarga sangat besar, InsyaAllah jika kita jujur dan ikhlas dalam setiap kerja yang kita lakukan maka akan ada rezeki daripada Allah.

“Kerjaya saya sebagai anak seni masih menjadi landasan walaupun selepas saya berkahwin namun sekiranya ada tawaran lain yang dirasakan mampu dibuat, tidak salah untuk saya mencuba nasib,” bicara anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Cintaku di Indonesia

Biarpun sibuk merencanakan yang terbaik untuk menjadi raja sehari, ada agenda lain yang bermain-main di benak minda Tomok terutama kecintaannya kepada peminat di Indonesia.

Tidak mengambil masa yang lama untuk mencuri hati peminatnya di Indonesia, sebuah lagu didedikasikan khas sendiri oleh Tomok.

Lagu berjudul Cintaku Di Indonesia yang dipetik daripada album sulungnya, TOMOK OIAM3, menumpahkan sepenuhnya jiwa dan perasaan terhadap sokongan tak berbelah bahagi peminatnya di negara jiran itu.

“Sebenarnya kumpulan New Boyz mempunyai peminat yang ramai di Indonesia dan dengan adanya lagu ini yang ditujukan khas buat peminat di sana, diharapkan lebih banyak potensi dan peluang untuk saya dan New Boyz bertapak kukuh di sana,” ujar vokalis kumpulan New Boyz itu.

Diari Kampus Biru

Metafora lagu Cintaku Di Indonesia yang membuktikan penghargaan kepada peminatnya di negara garuda itu kini juga dipilih menjadi runut bunyi sebuah telefilem lakonan Tomok sendiri yang bakal memulakan penggambaran bermula pertengahan bulan Julai nanti.

Telefilem yang diberi judul Diari Kampus Biru diterbitkan sepenuhnya oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) hasil ilham Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak menerusi Uniutama Management Holding Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh UUM sendiri.

Mendapat suntikan pengarah Murali Abdullah dan penulis skrip Nassarudin Abdul Rasif@ Ramli, telefilem berdurasi 90 minit itu juga akan menjalankan sesi penggambaran di Bandung, Sumatera Utara Indonesia.

Diari Kampus Biru merupakan sebuah sinetron ringkas hubungan percintaan antara pelajar di sebuah universiti di Malaysia dan Indonesia yang berdepan dengan pelbagai konflik antara penerimaan keluarga, penolakan atmosfera masyarakat dan paradoks cinta benci-sayang merentasi dua negara.

Bercerita mengenai watak Tomok selaku penyandang watak utama, Zakhrul, mainan emosi, perasaan dan jiwa perlu dizahirkan dari dalam dirinya.

“Watak Zakhrul merupakan cabaran yang berat bagi saya kerana ada beberapa babak yang perlukan saya menangis.

“Tapi, InsyaAllah dengan bimbingan daripada pengarah, krew produksi dan pelakon-pelakon lamai seperti Wan Maimunah dan Wan Nor Azlin, saya harap dapat memberikan hasil yang terbaik,” katanya.

Selain itu, Tomok juga dikehendaki ‘bercinta’ dengan heroin utama telefilem itu, Fita Angela yang membawakan watak Aisha.

“Ya, saya perlu bercinta dengan Aisha, iaitu seorang pelajar dari Indonesia yang datang ke Malaysia untuk belajar,” akui Tomok ketika ditemui selepas sidang akhbar menandatangani persetujuan dan persefahaman antara pelakon Diari Kampus Biru baru-baru ini.


CINTA lapan tahun antara Tomok dan Ayu kini akan bersatu dalam ikatan suci perkahwinan esok.


Telefilem yang bakal disiarkan di saluran tempatan itu juga akan menjalankan penggambaran di sekitar negeri Kedah dan beberapa tempat di daerah Bandung, Indonesia.

Kolaborasi Tomok dan UUM hakikatnya bukan baru pertama kali terjalin. Sebelum ini Tomok juga pernah ke Palembang, Indonesia untuk sesi promosi UUM kepada penuntut di sana.

“Sebelum ini saya pernah ke Palembang untuk mempromosikan kampus UUM, selain membuat persembahan serta temu bual TV dan radio di sana pada tahun lalu, dalam masa yang sama saya sempat mempromosikan lagu-lagu saya,” katanya yang optimis dengan prospeknya dalam bidang lakonan.

Mantera

Sejak mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan bermula dengan filem pertamanya pada tahun 2004, Makar, mutu lakonan Tomok semakin bersinar sekali gus disunting untuk menggalas watak utama dalam filem Mantera.

Sementara itu, Tomok turut menyatakan keterujaannya melihat hasil lakonannya dalam filem sains aksi, Mantera yang kini baru selesai proses dubbing.

“Tugas sebagai pelakon dalam filem itu sudah selesai dan kini hanya menunggu hasil akhirnya.

“Saya tak berani untuk maklumkan bila filem itu akan masuk panggung, tapi harapan saya agar kesabaran menunggu berbaloi dengan kesan khas dan yakin dengan kualiti filem ini,” katanya.

Selain itu, Tomok juga turut terlibat dalam pembikinan telemovie Cer Citer Cinta bersama Shahir AF7 dan pelakon jelita Rozita Che Wan, yang sedang disiarkan di Astro Prima bermula 23 Jun lalu.

“Saya memainkan peranan sebagai budak kolej yang mengikuti sebuah perkhemahan sempena cuti semester dalam telemovie ini.

“Selain itu, saya juga perlu bercakap dalam dialek Kedah yang saya rasa merupakan latihan terbaik untuk lakonan saya,” cerita Tomok lebih lanjut.

Amal amalan DJ Dave


SAMBUTAN hari jadi DJ Dave pada tahun lalu yang menyaksikan dia menerbangkan anak-anak yatim dan ibu tunggal menaiki helikopter mengelilingi sekitar Kota Kinabalu, Sabah.


TIDAK dinafikan bahawa kehidupan sebagai seorang artis sememangnya sangat sibuk dan sering dipenuhi dengan jadual kerjaya yang tidak menentu tanpa mengira siang dan malam serta termasuk pada waktu hujung minggu.

Bagaimanapun, ia langsung tidak menjadi satu halangan yang besar kepada sebilangan daripada mereka untuk terbabit dengan aktiviti amal terutamanya dalam usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

Salah seorang artis yang dimaksudkan adalah Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave, seorang penyanyi serta penghibur terkenal tanah air yang cukup popular sekitar tahun 1970-an sehingga kini.

Menariknya, DJ Dave yang turut dikenali sebagai artis pertama Malaysia yang melancarkan album Hindi pada tahun 2005 telah menjadikan aktiviti amal yang dianjurkannya sebagai acara tradisi tahunan terutama pada sambutan ulang tahun kelahirannya.

Pada tahun lalu misalnya, penyanyi tersebut telah mencipta kelainan dalam meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-62 dengan menerbangkan 20 orang tetamu yang terdiri daripada anak-anak yatim dan ibu tunggal menaiki helikopter mengelilingi sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, biarpun jadual hariannya sering padat dengan pelbagai urusan seperti menguruskan perniagaan dan membuat persembahan di merata-rata tempat, namun ia langsung tidak menghalang dirinya untuk berbakti kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Selalunya kalau setiap tahun, saya memang akan menganjurkan majlis ulang tahun kelahiran saya dan mengundang anak-anak yatim dari beberapa buah rumah kebajikan sebagai tetamu untuk meraikan mereka.

“Lagipun saya merasakan dengan cara ini sahaja saya dapat berpeluang untuk mendekatkan diri dan berdampingan dengan mereka serta pada masa yang sama dapat menghiburkan hati mereka,” ujarnya.

Tambah DJ Dave, selain gemar menganjurkan aktiviti amal, dia sendiri menyatakan tidak keberatan dan sedia untuk memberi kerjasama sekiranya mendapat undangan daripada mana-mana pihak untuk terbabit dengan aktiviti sebegitu.

Jelasnya, dalam tempoh terdekat ini dia telah mendapat undangan daripada pihak Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (Usahanita) untuk terbabit dalam persembahan amal sempena Karnival Awal Silaturahim yang berlangsung pada 3 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Sudah tentu saya sangat teruja untuk mengadakan persembahan tersebut dan tidak sabar untuk menghiburkan tetamu yang hadir. Malah, saya menyeru agar para peminat saya dapat hadir untuk sama-sama berhibur dan membantu golongan yang memerlukan.

“Saya juga difahamkan bahawa tema pada malam berkenaan juga adalah tema Bollywood dan saya akan menyanyikan kira-kira lapan buah lagu. Selain saya, Jamal Abdillah juga akan turut membuat persembahan dan tentunya ia akan lebih menarik,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Projek Karnival Amal Silaturrahim, Che Ruhani Che Hassan pula menjelaskan seramai 80 anak yatim yang akan diraikan pada malam tersebut dan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis popular lain seperti Azad Jazmin, Eira Syazira dan Ogy Ahmad Daud.

“Sehingga kini kami masih lagi melakukan penjualan meja yang berharga antara RM250 sehingga RM5,000. Kami berharap agar ramai lagi yang dapat hadir kerana kutipan yang perolehi nanti semuanya akan disumbangkan kepada anak-anak yatim yang hadir,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kepada sesiapa yang berminat untuk sama-sama memeriahkan majlis makan malam berkenaan bolehlah menghubunginya sendiri melalui talian 012-991 2678.

Raymond Lam suka Malaysia


RAYMOND LAM sedang mengusahakan projek terbaharunya iaitu sebuah album Kantonis.


PENYANYI dan pelakon terkenal Hong Kong, Raymond Lam, telah dilantik sebagai duta produk lelaki Nugeno. Minggu lalu, Raymond telah datang ke Malaysia untuk siri promosi produk tersebut.

Katanya, dia suka berkunjung ke Malaysia dan bekerjasama dengan produk Nugeno.

"Selain datang mempromosikan produk Nugeno, saya juga mengambil kesempatan ini untuk bertemu dengan peminat saya di Malaysia," ujarnya dalam sidang media yang diadakan di pusat membeli-belah Summit USJ, Subang pada Sabtu lalu.

Raymond yang kini dalam proses menyiapkan album Kantonis terbaharunya bakal mengadakan konsert selama dua hari iaitu pada 30 dan 31 Julai depan di Coliseum, Hong Kong.

"Saya kini sibuk dengan persiapan album terbaru dan album itu nanti akan lebih banyak lagu rancak. Saya berharap agar peminat Malaysia akan terus menyokong saya," ujarnya.

Mengenai kerjasamanya dengan produk Nugeno, kata Raymond, dia tidak akan sesekali bersetuju untuk menjadi duta sesuatu produk jika dia sendiri tidak menyukai produk tersebut.

"Saya cuba semua produk yang mahu mengambil saya menjadi duta. Jika produk itu bagus dan dan saya sukakannya, baru saya bersetuju menjadi duta produk mereka.

"Bagi saya produk khas untuk lelaki keluaran Nugeno amat bersesuaian dengan kulit lelaki Asia dan saya membawanya ke mana sahaja saya pergi," ujarnya.

Pemberontak Libya terima bantuan asing RM303 juta


BEBERAPA wanita yang memegang pelbagai jenis senjata menjerit slogan pro-Muammar Gaddafi di bandar Bani Walid, LIbya pada Selasa lalu.


LONDON - Setiausaha Luar Britain, William Hague menyatakan para pemberontak Libya menerima sumbangan wang daripada para penderma asing untuk membayar gaji kakitangan sektor awam di kawasan-kawasan yang dikuasai mereka.

Hague memberitahu ahli-ahli Parlimen Britain semalam bahawa sumbangan pertama berjumlah AS$100 juta (RM303 juta) telah disalurkan kepada kepimpinan pemberontak Majlis Peralihan Nasional (TNC) di Libya.

TNC menyatakan wang itu akan digunakan untuk membayar gaji para guru, tukang sapu dan pekerja lain yang memberikan perkhidmatan yang penting.

Sumbangan wang berkenaan akan turut digunakan untuk membeli petrol dan diesel.

Pada satu pertemuan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam awal bulan ini, para penderma berjanji akan menyalurkan bantuan lebih AS$1.3 bilion (RM3.9 bilion) untuk membantu pihak pemberontak Libya.

Sementara itu, sejumlah wanita termasuk nenek menjalani latihan menggunakan senjata api termasuk pelancar roket di Bani Walid, 200 kilometer ke tenggara Tripoli.

Wanita-wanita itu merupakan penyokong kuat pemimpin Muammar Gaddafi yang kini berdepan tentangan daripada pemberontak yang mahu menyingkirkannya sejak Februari lalu.

Pejabat Facebook tidak mewah disangkakan


Kanan: SEBUAH meja dan bangku dalam sebuah bilik untuk pekerja di ibu pejabat Facebook.


MENLO PARK, California - Ibu pejabat baru Facebook di , Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai ciri-ciri kemewahan walaupun ia merupakan antara laman web paling kaya di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Tiada permaidani dan hiasan dalaman yang mewah dalam pejabat tersebut.

Terdapat banyak paip terdedah yang dibaluti kertas kerajang perak dengan wayar bergantungan dalam bangunan ibu pejabat berkenaan.

Gambar-gambar ruang dalaman ibu pejabat baru Facebook yang dibina di kawasan seluas 23 hektar di sini disiarkan dalam laman web berkenaan awal bulan ini.

Para pengunjung mungkin terkejut kerana kedatangan mereka disambut dengan siling terbuka dan lantai konkrit tanpa karpet atau sofa mewah.

Ruang dalaman itu yang lebih menyerupai kilang banyak menggunakan kotak kayu yang diubah suai sebagai meja manakala susun atur tempat duduknya pelik kerana ada yang menghadap dinding.

Walaupun bangunan berkenaan mempunyai kapasiti untuk menempatkan 9,000 pekerja, Facebook kini mempunyai sekitar 2,000 kakitangan yang bekerja di premis barunya itu.

Laman Facebook yang bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) diramalkan memperoleh pendapatan sekitar AS$2 bilion (RM6 bilion) pada tahun ini.

Berdasarkan maklumat majalah Forbes, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Marck Zuckerberg merupakan orang ketiga paling kaya di dunia dalam sektor teknologi maklumat.

Zuckerberg yang berusia 27 tahun dilaporkan memiliki kekayaan sehingga mencecah AS$18 bilion (RM54.5 bilion).

Spekulasi tunang Putera Albert larikan diri


PUTERA ALBERT II berjalan bersama tunangnya, CharleneWittstock di Monaco semalam.


MONACO - Pemerintah Monaco, Putera Albert II dan tunangnya, Charlene Wittstock yang merupakan atlet renang dari Afrika Selatan keluar bersama di bandar raya ini semalam.

Mereka keluar bersama selepas timbul spekulasi bahawa tunang Putera Albert II itu cuba melarikan diri pulang ke negaranya walaupun majlis perkahwinan mereka akan berlangsung pada bulan depan.

Sebuah akhbar semalam memetik laporan sebuah majalah Perancis bahawa Wittstock, 33, didakwa mahu pulang ke negaranya selepas mendengar pendedahan bahawa Putera Albert II seorang kaki perempuan.

Majalah L'Express menyatakan Wittstock cuba menaiki sebuah pesawat untuk menuju ke Afrika Selatan tetapi sempat dihalang oleh polis Perancis di Nice, Perancis.

Putera berusia 50 tahun itu dilaporkan membelanjakan sebanyak £50 juta (RM243.1 juta) untuk majlis perkahwinan tersebut yang akan diadakan secara besar-besaran.

Putera Albert memiliki dua anak luar nikah iaitu seorang anak lelaki dan anak perempuan.

Anak lelakinya, Alexandre, 6, lahir hasil hubungannya dengan bekas peragawati syarikat penerbangan Air France, Nicole Coste manakala anak perempuannya yang kini berusia 19 tahun, Jazmin merupakan anaknya bersama seorang ejen hartanah Amerika Syarikat, Tamara Rotola.

Anak ular sawa berkepala dua


STEFAN BROGHAMMER memegang seekor anak ular sawa berkepala dua.


BERLIN - Seekor anak ular sawa berkepala dua dilahirkan di Villingen-Schwenningen, selatan Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.

Ular itu milik Stefan Broghammer yang kini sepanjang 50.8 sentimeter dan berumur setahun.

Menurut Broghammer, haiwan itu merupakan ular yang kedua diketahuinya mempunyai dua kepala.

Ia tidak mempunyai bisa selain dikenali sebagai ular sawa diraja dan popular sebagai haiwan peliharaan.

Pub jual air sperma kuda jantan


SEORANG pelayan wanita memegang dulang yang berisi gelas mengandungi air sperma kuda jantan di pub Green Man di Wellington, New Zealand baru-baru ini.


WELLINGTON - Sebuah pub di New Zealand memperkenalkan minuman terbaharu dalam menunya iaitu air sperma kuda berperisa epal, lapor sebuah akhbar semalam.

Pub Green Man di sini menawarkan minuman itu pada harga £12 (RM58) untuk setiap hidangan 30 mililiter.

Bahan mentah minuman itu diambil dari sebuah ladang kuda di sini dengan setiap hidangan mengandungi sekitar 300 juta sperma kuda.

Pemilik bersama pub berkenaan, Steven Drummond berkata, minuman itu yang dihidangkan sejuk, popular dalam kalangan pengunjung lelaki dan wanita.

Dia mendapat idea untuk menggunakan sperma kuda semasa cuba mencipta minuman baharu dalam satu pertandingan makanan tempatan.

Memori sebuah stesen bersejarah




SUASANA dan pemandangan di sekitar stesen Keretapi Tanjong Pagar pada pagi itu agak luar biasa. Lazimnya, sebaik penumpang kereta api dari Kuala Lumpur yang bertolak pada waktu malam sebelumnya tiba di stesen tersebut, kawasan itu tenang seketika selepas orang ramai menuju ke destinasi masing-masing.

Namun, pada pagi itu hampir kebanyakan meja makan di kedua-dua buah restoran di stesen tersebut dipenuhi pelanggan yang menikmati sarapan pagi sambil berbual kosong bersama teman-teman.

Bahkan, stesen berusia 79 tahun yang menghubungkan dua buah negara jiran Malaysia dengan Singapura itu dibanjiri oleh pihak media, orang ramai dan para pelancong yang mahu mengabadikan setiap inci sudut yang ada di stesen tersebut.

Baik pelancong mahupun penduduk tempatan Kota Singa, mereka tidak lekang dengan kamera masing-masing. Senario itu menggambarkan seolah-olah stesen Tanjong Pagar akan ‘meninggalkan’ mereka.

Kesayuan wajah stesen itu dapat dirasai apabila kedai yang menjual cenderamata di pintu masuk negara itu juga kelihatan kosong.

Ketika membuat tinjauan di stesen tersebut dua minggu lalu, penulis dapat menyelami kesedihan yang dirasai oleh rakyat kedua-dua negara apabila tren terakhir meninggalkan stesen Keretapi Tanjong Pagar malam ini pukul 10.30. Stesen Keretapi Tanjong Pagar bakal dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) mulai esok.

Keputusan memindahkan stesen Tanjung Pagar itu dicapai pada pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, di Hotel Shangri-La Hotel pada Mei 2010.

Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte. Ltd.

Selain tanah KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands tiga bidang tanah tambahan di Bukit Timah yang kesemuanya berjumlah 271 hektar dan membabitkan landasan sepanjang 20 hingga 30 kilometer (km) akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan.

Antara individu yang paling terkesan dengan penutupan stesen ini adalah Ketua Stesen Tanjong Pagar, Mohd. Ayoub Embong, 49. Sudah enam tahun Mohd. Ayoub berkhidmat di stesen yang dulunya dipanggil Stesen Keretapi Keppel Road.


MOHD. AYOUB mengimbas kad pekerjanya sebelum dia meninggalkan stesen penuh nostalgia ini buat selama-lamanya.


Lelaki berkaca mata yang berdiri di tingkat tiga bangunan stesen tersebut sambil melemparkan pandangan ke arah kaunter tiket berkata :

“Selepas 80 tahun, bangunan ini tak berpenghuni lagi. Stesen ini adalah kebanggaan Malaysia di Singapura. Kami telah sebati dengan aura negara ini di Kota Singa.

Emosi terpancar

“Kita rasa rugi tapi mungkin ada keuntungannya, ada yang boleh terima (keputusan) tapi ada juga yang tak dapat terima, saya sendiri tak dapat menelah perasaan saya pada hari-hari terakhir nanti.”

Beliau termangu di kala diajak bercerita tentang memori berkhidmat di sebuah stesen yang penuh sejarah. Emosinya jelas terpancar pada wajah dan suaranya.

“Dalam tempoh enam bulan ini orang yang datang mahu membeli tiket bertali arus. Jika selama ini, ada yang tak ada hati nak naik kereta api, tapi pada hari-hari terakhir, mereka mahukan pengalaman menaiki kereta api,” ujar Mohd. Ayoub dengan lontaran wajah penuh kesyahduan.

Petugas kaunter juga lelah melayani barisan pelanggan yang beratur panjang sejak pukul 8 pagi setiap hari tanpa henti.

Hubungan keluarga

Ketika melewati lot kedai makanan dalam bangunan stesen, kami terdengar suara tangisan seorang wanita ketika diwawancara krew televisyen.

“Dengar tak, ada orang menangis tadi?,” kata seorang peniaga, Noraini Said Paiman, 53. Dia yang terkenal dengan menu signaturnya soto baseball memberitahu, Stesen Tanjong Pagar sangat erat dengan keluarganya.

“Sejak kecil, ayah bawa saya ke sini hinggalah saya sendiri buka kedai sejak lapan tahun lalu dan beroperasi selama 24 jam,” katanya.

Kerancakan perbualan tergendala tatkala diajukan pertanyaan tentang hala tujunya selepas ini. “Memang dah dapat tempat tapi rentaknya tidak sama seperti di sini,” ujarnya.

Sambil membancuh teh tarik, Rosnah Mamat, 45, berkata, dia seperti tidak percaya deruan bunyi semboyan kereta api Tanjong Pagar akan berakhir.

“Bayangkan kedai M.Hasan dah berusia 40 tahun, staf sudah bagaikan keluarga, pelanggan dah macam kawan,” ujarnya yang menghidangkan masakan Melayu seperti soto, lontong, tauhu bakar, laksa Singapura dan nasi lemak.

Akui wanita ini, sehingga kini kedainya masih belum bertemu dengan lokasi baharu. Dakwanya, notis yang diberikan kepada peniaga terlalu singkat.


MOHD. AYOUB mengakui kesedihannya sukar diungkapkan dengan kata-kata kerana Stesen Keretapi Tanjong Pagar ibarat rumah kedua baginya.


Pengusaha Habib Railway Book Store, Seenishahul Hamid, 36, lebih terkesan. Sudah 75 tahun perniagaannya bertapak di pintu masuk stesen. Dia adalah generasi ketiga yang mengurus kedai itu.

“Saya ingatkan tak jadi (pindah) dan berita ini ternyata mengejutkan kami semua, sedih tak terkata,” ujarnya yang bakal berpindah ke WTCP.

Secara keseluruhan terdapat lebih 10 buah lot kedai yang menghidangkan masakan Melayu dan mamak.

“Di sinilah tempat kami melepak dan makan makanan Melayu, lepas ni, mungkin kita boleh lihat bangunan ini dari celah-celah pagar saja,” kata seorang rakyat Singapura dikenali sebagai Pak Ya, 50-an kepada penulis.

Selama sembilan tahun, kerani kaunter Stesen Tanjong Pagar, Norhaiza Hadis, 37, menunggu pelanggan untuk membeli tiket.

Bagaimanapun, atmosfera itu berubah selepas pengumuman penutupan operasi kereta api di stesen ini.

“Kami dihujani panggilan telefon dan setiap masa kaunter dipenuhi orang ramai, purata jualan sehari mencecah 20,000 tiket,” kata Norhaiza yang sudah sedekad bertugas di stesen Tanjong Pagar.

Rakan setugas, Wan Adli Wan Sulaiman, 27, sependapat dengan Norhaiza.

“Orang marah-marah pasal tiket satu perkara normal, kami tetap melayan mereka dengan baik,” katanya.

Bangunan tiga tingkat yang mendapat sentuhan pengarca tersohor Itali, Angelino Vanette sememangnya sarat dengan penataan seni yang memukau.

Bidikan lensa kamera banyak terarah kepada empat arca figura manusia setinggi 22 meter, menara jam dan lukisan mural yang gah dalam bangunan.

“Kita berharap janji untuk menjadikan bangunan ini sebagai warisan kebangsaan ditunaikan,” kata seorang jurufoto amatur, Rahmat Raslan, 39.

Hari terakhir di stesen itu cukup merengsakan perasaan. Seakan enggan berpisah dengan stesen yang penuh nostalgia itu kepada rakyat kedua-dua negara, seboleh-bolehnya penulis berharap berdenyut waktu terhenti seketika.

Kereta api merajuk

Bagaikan memahami apa yang terbuku di hati, kereta api Senandung Sutera yang sepatutnya berlepas tepat pukul 10.30 malam itu tertangguh selama dua jam.


STESEN Tanjong Pagar menjadi kelangsungan pada sejarah awal perkhidmatan kereta api di kota Singa ini.


“Sudah tiga hari berturut-turut kereta api buat perangai, mungkin dia pun merajuk macam kita,” kata pemandu pada malam itu yang mahu dikenali sebagai Khairi bertungkus-lumus membaiki enjin yang meragam. Khabarnya, sejak 22 Julai lalu stesen tersebut sudah mulai sunyi sepi selepas masing-masing diarahkan berpindah.

Bahkan, pemandangan pelanggan setia dan penumpang kereta api menjamu selera sambil bergelak ketawa bersama teman-teman melepas lelah selepas waktu kerja di restoran-restoran di tanah Malaysia itu kini tinggal memori. Ketika kereta api terakhir yang membawa penulis dan penumpang dari Tanjong Pagar meninggalkan stesen terasa sebak yang menggamit hati.

Penulis masih berdiri di tangga kereta api sehingga wajah stesen lenyap daripada pandangan. Selepas Pulau Batu Putih, pelabuhan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Woodlands dan Istana Kampung Gelam di tengah bandar Singapura yang pesat, kita kehilangan Tanjong Pagar. Seperti harapan rakyat negara ini semoga Singapura tidak memadamkan sejarah stesen Tanjong Pagar seperti terpadamnya sejarah Temasik.