SEBELUM ia muncul dan menjadi sebutan, kanak-kanak Malaysia lebih dulu mengenali animasi Spiderman, Superman, Batman dan pelbagai superhero lain. Baik di kaca TV atau menjadi ikutan, semua rujukan kanak-kanak dan peminat siri kartun hanya berkiblatkan animasi dari barat, Disney khususnya.
Cuma dua tahun kebelakangan ini sahaja, tumpuan peminat siri kartun mula teralih apabila Upin & Ipin mula disiarkan. Kemunculan filem Geng: Pengembaraan Bermula mencetuskan fenomena bahawa Upin & Ipin bukan sekadar kartun berskala biasa. Ia boleh diperhebat menjadi besar dan misi itu sudahpun berjaya dilaksanakan.
Bakal memasuki tahun keempat pada tahun 2010, Upin & Ipin bakal menerjah pasaran antarabangsa yang lebih besar. Buktinya di Festival Televisyen ASEAN di Singapura baru-baru ini, sebuah stesen TV dari Turki berminat untuk membeli hak siaran Upin & Ipin musim terbaru untuk tayangan di sana.
"Sebelum ini, Upin & Ipin musim pertama dan kedua telah disiarkan di Turki tetapi bukan di saluran komersial. Tawaran yang kami baru terima itu adalah dari stesen TV komersial. Itu petanda yang sangat baik," ujar Pengarah Urusan Le's Copaque, Burhanuddin Md Radzi.
Katanya juga, sebuah stesen TV dari Afghanistan juga membuat tawaran untuk membeli siri Upin & Ipin tetapi perkara itu belum berada di peringkat akhir.
Selain itu, siri Upin & Ipin musim pertama dan kedua juga telah ditayangkan di saluran TPI, Indonesia. Untuk tahun depan juga, saluran TPI telah menandatangani perjanjian untuk tayangan 42 episod musim terbaru siri Upin & Ipin.
Burhanuddin yang ditemui pada sidang media pengumuman tayangan eksklusif filem Geng: Pengembaraan Bermula antara pihaknya dan TV9 di Shah Alam, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Penjenamaan Kanak-Kanak Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Feisal Abdul Malik.
Pemberian hak tayangan eksklusif itu atas rentetan kerjasama erat antara Le's Copaque dan TV9 yang telah terjalin sejak tahun 2007. Sehingga kini, TV9 kekal menjadi satu-satunya saluran yang memegang hak eksklusif siri Upin & Ipin di Malaysia.
"Sepanjang siri Upin & Ipin disiarkan, ia mencatat rating sehinga 1.5 juta penonton dan untuk tayangan Geng: Pengembaraan Bermula nanti, kami menyasarkan sehingga dua juta penonton memandang musim cuti sekolah.
"Itu adalah penghargaan daripada kami untuk semua penonton dan peminat yang telah memberi sokongan terhadap Upin & Ipin," jelas Feisal.
Ketika ditayangkan di pawagam, filem animasi tempatan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi 3D itu mencipta sejarah apabila mencatat kutipan sebanyak RM6.3 juta.
Buat julung kalinya di kaca TV, filem berkenaan akan menemui penonton malam esok pada pukul 8.30 malam.
Bermula Januari hingga Disember 2010 juga, peminat siri Upin & Ipin akan berpeluang menyaksikan 42 episod baru siri berkenaan yang akan disiarkan pada setiap hari.
Tiga episod baru pula akan dilancarkan pada setiap musim cuti sekolah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: